Bahagian 29

14.3K 631 9
                                    


Dada terasa perit. Seolah-olahnya ada yang menekan berkali-kali. Dalam keadaan serba lemah, aku cekalkan hati. Perlahan-lahan kelopak mata aku buka. Bersama pandangan penuh kabur, kerongkongku memuntahkan segala air yang pernah berlumba-lumba memenuhi rongga pernafasan.

"Fir!"

Eimad? Suara Eimad!

"Abang..."

Dakapan penuh erat memeluk tubuhku rapat. Eimad ada di sebelahku. Dia dah selamatkan aku, aku selamat. Selamat!

"Kenapa Fir buat macam ni? Kenapa?" soal Eimad sambil meraup wajahku berkali-kali.

Habis lencun seluruh pakaian dan tudung di kepala. Eimad nampak begitu juga. Bersungguh-sungguh aku belek kemeja di tubuhnya. Eimad memang turut basah bersama.

Soalan Eimad aku tinggalkan tanpa jawapan. Pandangan mata beralih ke ruang sekeliling. Dan tepat menangkap wajah Nazim. Di sebelahnya ada mama yang sudah basah pipinya. Mama menangis?

"Mana Kak Izara?" soalku sambil dibantu Eimad untuk bangun.

"Fir, pandang abang."

Aku masih mencari di sekeliling. Tiada. Aku langsung tak nampak kelibat Kak Izara.

"Pandang abang, Fir!" Eimad paut kedua belah pipiku. Dibawa wajahku memandangnya tepat.

Eimad menggeleng. Aku nampak riak wajahnya berubah. Suram. Dan tubir matanya kelihatan memerah.

"Kak Izara tak apa-apa, kan?"

"Fir, jangan buat macam ni!" naik nada suara Eimad.

Tergamam aku. Kenapa Eimad tiba-tiba naik marah? Padahal aku tanya perkara yang betul.

"Tadi, saya jatuh ke dalam kolam sekali dengan Kak Izara. Sekarang, Kak Izara ada di mana? Kami hampir lemas bersama tadi," jelasku.

Eimad sekadar menggeleng. Dibawa tangannya melorot ke bahagian kedua belah lenganku pula. Dipautnya padu. Hampir tak mampu aku bergerak ke mana-mana.

"Cuma Fir seorang. Tak ada Izara. Kenapa Fir buat macam ni? Fir tak sayang abang?"

Bersungguh-sungguh aku cuba hadam ayat Eimad.

"Apa abang cakap ni?" terus aku loloskan tubuh daripada terus berada dalam pegangan Eimad.

"Nazim!" kali ini Eimad seru nama Nazim pula.

"Fir, kalau aku terlewat tadi. Aku tak tahu apa jadi dengan kau. Aku nampak kau meluru ke arah kolam ni tadi. Dan apabila aku teringat yang kau tak pandai berenang, terus aku dapatkan kau walaupun aku yakin yang aku dah terlewat."

Mendengar penjelasan Nazim, aku jadi keliru pula. Lakonan apa yang Nazim buat sekarang ni?

"Jangan tipu aku, Zim!" selarku.

"Shhyy..." serta-merta Eimad datang mendekat. Dibawa tubuhku ke dalam dakapannya semula.

"Fir kena rehat. Tenangkan fikiran. Kita balik ke bilik, sayang." Eimad cuba pujuk aku menapak bersamanya tetapi aku tak nak.

"Mana Kak Izara?" tekanku lagi. Kali ini pandangan tepat aku lemparkan pada Nazim.

Riak wajahnya berubah. Cukup terkesan dengan desakan aku sekarang.

"Fir, kau ikut cakap Eimad. Baliklah berehat. Tolong, Fir. Jangan buat hal. Tetamu yang lain semua ada lagi. Tolong Fir."

Kenapa Nazim nampak berkeras mahu aku senyapkan perihal yang terjadi tadi. Dan Eimad, langsung tak beri aku peluang untuk jelaskan perkara sebenar.

Aku akur mengikut jejak langkah Eimad. Mama turut menapak sama. Tapi tiada satu ayat kedengaran daripadanya. Mungkin mama tak jangka dan masih terkejut dengan perkara yang dah terjadi ini.

"Kita balik, Fir. Mama risau tengok keadaan kamu ni," suara mama apabila aku masih cuba menoleh ke arah halaman belakang rumah Nazim.

Ke mana Kak Izara menghilangkan diri? Kenapa semua orang seperti percaya dengan cerita Nazim tadi.

Demi Allah, aku langsung tiada niat mahu membahayakan nyawa aku sendiri. Aku yakin semua ini pasti lakonan Nazim semata-mata.

Sampai di pintu bilik, Eimad hulurkan tuala ke arahku. Sempat mama berpesan supaya buatkan minuman panas untuk aku.

Dan saat ini, pandanganku sekadar mengekori gerak tubuh Eimad di hadapan.

"Abang tahu, bukan?" tebakku.

Terhenti laku Eimad yang sedang mengelap wajahnya dengan kain tuala. Walaupun membelakangi aku, aku cukup tahu yang soalan pendek tadi mampu menarik Eimas jatuh ke dalam ruang kenyataan.

"Abang nampak Kak Izara dengan Fir tadi, kan?" kali ini aku melangkah ke sebelah Eimad.

Masih menitik-nitik air dari hujung lengan blaus. Tuala tadi sekadar aku sangkut pada bahu. Selagi aku tak dapat penjelasan yang pasti, aku akan terus-menerus soal Eimad.

"Apa sebenarnya yang jadi ni abang? Kenapa semua orang nak salahkan Fir seorang? Demi Allah, Fir tak ada niat nak susahkan hati abang ataupun mama."

"Diam, Fir!"

Tersentak aku. Ya, cukup terkesan dengan herdikan Eimad. Dia masih membelakangiku. Belum pernah kamu saling memandang selepas pulang dari halaman belakang rumah Nazim.

"Abang..." Aku rebah. Menekur lantai dengan segala harapan yang sudah tidak nampak di mana lagi untuk aku terus bergantung harap.

Aku tahan esakan. Ya, aku sendiri tak pasti kenapa aku sangat sebak dengan semua ini. Aku tak nak nampak lemah. Aku kena kuat. Mama kata aku dah tak boleh ikut rentak sesiapa lagi. Lebih-lebih lagi Kak Izara.

Dalam keadaan aku cuba sembunyikan tangisan, terasa kedua belah lenganku dipapah Eimad. Dia turut duduk sama di hadapanku. Kepala lututnya hampir bertemu kepala lututku apabila jari tangannya singgah pada dagu dan membawa wajahku naik memandangnya pula.

"Abang minta maaf. Tak ada niat nak naikkan suara tadi. Tolong Fir, jangan menangis. Abang tak suka." Eimad seka hujung mataku berkali-kali.

"Kenapa?" soalku dalam esakan yang tenggelam timbul.

"Kenapa abang tak cakap perkara sebenar tadi?" rintihku perlahan.

"Sebab abang sayang Fir. Abang tak nak orang luar buat sesuatu yang boleh lukakan Fir."

"Kenapa abang bohong? Kenapa abang percaya dengan cerita Nazim?"

"Abang tak bohong. Abang tak percaya langsung! Fir, abang kenal sangat dengan Zara. Dia bukan jenis yang akan cepat mengalah. Jadi, kita ikut rentak dia buat masa ni. Abang pasti. Suatu masa nanti, dia akan sedar diri dengan kesilapan yang pernah lakukan dahulu."

Eimad cakap apa ni? Kenapa nak ikut sahaja rentak dan cara Izara?

"Abang masih cintakan dia?" terus aku bangkit dari duduk.

Eimad diam. Tiada lagi tutur kata lahir dari bibirnya. Nampak dia sedikit tergamam mendengar soalan aku itu.

"Abang masih sayangkan dia?" tebakku lagi.

Eimad tak endahkan aku. Segera dia menapak ke almari. Jadi, apa betul tekaan aku yang itu? Eimad masih cintakan Kak Izara?

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now