Bahagian 02

20.9K 846 17
                                    

“Astagfirullah... kenapalah Firzah pengsan pagi tadi? Kelakar pula dengar cerita Eimad. Katanya kamu betul-betul jatuh pengsan waktu dia keluar bilik. Mujur anak mama tu ada, boleh dia temankan kamu. Kalau dia dah keluar ke office, siapa nak jaga kamu?”

Aku dengar sahaja celoteh mama Eimad. Memang kebiasaan Mama Inna akan ke sini jika tiada urusan lain. Kebetulan rumah keluarga Eimad tidak jauh mana dengan banglo dia ini.

“Fir kurang tidur je.”

Mama usap dan urut perlahan lengan kiriku. “Penat nak final exam ye?”

Aku angguk perlahan.

“Firzah dengan anak mama macam mana sekarang? Dah biasa ke tinggal berdua? Ke masih malu-malu lagi?” senyuman hadir pada wajah mama.

“Kami baik-baik je.”

Lama mama membuang pandang ke arahku. Seperti ada perkara lain yang mahu disampaikan.

Aku jatuhkan pandangan pada gelas di atas meja. Seminggu ini adalah tempoh yang singkat untuk aku terima status diri yang sudah berubah. Begitu juga untuk menerima kehadiran Eimad sebagai suami yang sah.

Majlis pernikahan pun dijalankan secara kecil-kecilan. Tertutup. Hanya saudara-mara dekat yang hadirkan diri.

Eiya langsung tidak tahu aku sudah bernikah cuti semestar lepas. Dia pun tidak bertanya lebih apabila tahu yang aku jarang bermalam di kolej kediaman siswi.

“Ambillah masa yang sebanyak mana Firzah mahukan, mama doakan kamu berdua berjodoh hingga ke akhir usia.”

“Semua ni terlalu cepat bagi Fir, Fir pun tak tahu sama ada betul ataupun tak tindakan Fir ni.”

“Tak payah peningkan kepala fikir, benda dah jadipun.”

Mama memang seorang yang optimis. Saat orang lain termakan kata-kata dusta yang Kak Izara lemparkan kepada aku untuk melepaskan dirinya, hanya mama yang sanggup dengar penjelasanku. Ayah Jin langsung tidak mahu beri aku peluang pertahankan diri. Sama juga dengan Eimad. Dia seperti sokong apa yang Kak Izara katakan.

“Izara pun dah selamat sampai ke Dubai, kita doakan dia di sana.”

Aku tak tahu hendak katakan apa lagi. Sebelum ini memang Kak Izara yang bersungguh-sungguh mahu bernikah dengan Eimad. Namun, selepas rombongan lelaki sampai dia mula mengamuk marah dan herdik aku. Saat itu baru aku tahu, Kak Izara hanya pergunakan aku untuk dia capai cita-citanya selama ini.

Keluarga mak ngah langsung tidak membantuku.

Argh, aku tak nak ingat lagi peristiwa seminggu yang lepas! Biarlah berlalu pergi. Tiada ruang di dalam ingatanku untuk mengenang kembali semua itu.

“Mama nak balik dah, malam lusa jangan lupa. Parti Nazim.” Mama bangun.

Di muka pintu sudah kelihatan Pak Wahab sedang menunggu, pemandu kereta keluarga mama.

Nazim. Nama yang aku cuci bersih dari hati usai cincin pernikahan melekap indah pada jari manisku. Ingatkan aku boleh lari dari kenangan lama tetapi semakin aku cuba lari, semakin dekat pula takdir membawa aku kepada dirinya.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now