Bahagian 33

14.2K 563 13
                                    


Terdengar bunyi pintu kereta tertutup, segera aku bukakan mata. Pandangan melewati pekarangan luar di mana Eimad berhentikan kereta. Bukan perhentian. Tapi, kami dah sampai ke halaman rumah Ayah Jin.

Aku bingkas tegakkan kerusi penumpang. Terkial-kial keluar dari perut kereta. Mata berlari mencari kelibat Eimad pula.

Di hadapan pintu masuk ke rumah, aku lihat Eimad sedang berbual dengan Ayah Jin. Nampak kerisauan jelas pada wajah mereka sekarang.

Sesekali Eimad menoleh ke arahku. Dia senyum ketika aku hadiahkan senyuman terlebih dahulu tetapi tidaklah seceria mana.

Baru aku hendak datang mendekat, Ayah Jin dah masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Eimad pula menapak mendekatiku.

"Fir, kita masuk dahulu. Mak ngah ada sediakan makanan. Kita makan, lepas tu mandi. Rehat."

"Kenapa? Abang dengan ayah nampak runsing," dugaku.

"Tak, tak ada runsing apa. Dah, Fir masuk cepat. Biar abang bawakan beg pakaian." Eimad tuju ke but kereta.

Nak tak nak aku menapak masuk ke dalam rumah.

Menapak sahaja ke ruang tamu, mata disapa dengan wajah muram dan suram seisi keluarga mak ngah. Lagi-lagi mak ngah yang sedang duduk termenung di atas sofa bersebelahan anak bongsunya.

Salam aku hulur, dan sewaktu mak ngah sedar dengan kehadiran aku terkejar-kejar dia dapatkan tubuhku. Dipeluknya kemas. Entah berapa kali permohonan maaf kedengaran dari mulut mak ngah.

"Mak ngah, minta maaf kenapa?" Aku pandang muka mak ngah. Basah pipinya. Seumpama tangisan tak berhenti turun dari tubir mata.

"Mak ngah tak patut susahkan kamu, dari awal lagi. Sekarang ni, sekarang Allah dah balas perbuatan mak ngah. Allah dah balas!" hampir terduduk mak ngah.

Cepat-cepat aku papah tubuh mak ngah. Anaknya yang lain turut berkejar sama, kecuali Kak Izara. Langsung tak kelihatan kelibatnya di mana-mana.

"Kak Izara mana?" soalku kepada adik-beradik Kak Izara yang lain.

Entah kenapa, hanya wajah muram, tangisan sahaja yang aku peroleh. Jawapan langsung tak kedengaran.

"Fir." Ayah Jin muncul di laluan ke ruang tengah.

Melihat mak ngah sedikit tenang, terus aku menapak ke arah Ayah Jin pula.

"Kenapa Fir rasa tak sedap hati dengan keadaan mak ngah? Ayah ada sembunyikan apa-apa daripada Fir?" soalku.

"Lauk dah hidang di dapur tu. Pergi makan. Rehat. Solat dulu."

Aku akur dengan arahan Ayah Jin. Sekilas aku mencuri pandang Eimad yang masuk ke bilik tidur. Bilik yang Ayah Jin khaskan untuk aku sewaktu aku tinggal bersama mereka dahulu.

Dan setapak demi setapak aku paksa kaki melangkah mengekori Eimad walaupun di fikiran sudah diasak dengan pelbagai soalan yang ada. Lebih-lebih lagi keberadaan Kak Izara waktu ini.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now