Bahagian 09

15.8K 710 20
                                    


Kami tak berhenti sarapan di mana-mana warung selepas apa terjadi tadi. Eimad terus bawa aku pulang ke rumah. Masuk sahaja ke ruang tamu, perut aku mula berdondang sayang. Lapar.

Aku paling ke pintu. Ingat Eimad masih ada di situ. Nak tanya  dia nak makan apa untuk sarapan? Kat dapur tu bukan ada banyak bahan pun. Disebabkan tuan badan sudah menghilang ke bilik, aku buka langkah ke dapur dengan kadar segera.

Roti yang mama bawa minggu lepas aku capai. Lihat tarikh luput, masih berbaki tiga hari. Selamat lagi nak makan. Kalau hari ni pun dah luput, memang aku makan juga. Tapi, itu aku tak tahu pula Eimad. Mana tahu dia tak telan makanan yang dah tamat tempoh ni.

Aku letak dua keping roti di dalam pembakar roti. Dua cawan bulat aku capai semasa menuju ke peti ais. Kotak susu cokelat UHT aku bawa keluar. Perlahan-lahan aku tuang ke dalam cawan. Sejuk air ni. Boleh ke dia minum?

Erm... inilah akibatnya kalau tak pernah cakna dengan cara pemakanan Eimad. Kalau kami makan di luar, dia seorang yang cukup cerewet. Makan itu tak boleh, makan ini tak boleh. Aku serba-serbi boleh makan. Tolak batu, besi, kayu je.

Pusing ke meja semula mataku kalih ke arah laluan dapur. Patutlah rasa seperti ada sosok tubuh seseorang, Eimad rupanya.

Dia sudah berpakaian kemas. Rambutnya disisir rapi. Seperti kebiasaan.

“Saya bakar roti untuk sarapan. Awak okey je kan?”

Eimad angguk. Dia menapak ke meja makan dapur. Beg galas diletak di kerusi bersebelahan.

“Okey daripada makan kat warung tadi bertemankan Bai.”

Aku diam. Tak tahu pula Eimad kaki cemburu. Bai kan muda daripada aku, mustahil untuk aku jatuh cinta dengan budak tak cukup umur tu.

“Saya nak naik ke bilik. Awak makanlah dulu.”
Aku terus tinggalkan dapur. Naik tangga dan masuk ke bilik.

Aku bersandar pada daun pintu yang tertutup kemas. Bibir digetap berkali-kali. Mustahil, cukup mustahil untuk dia cemburu. Dia dah mula suka aku ke?

“Firzah!”

Suara Eimad dari bahagian bawah kedengaran. Aku kuak pintu sedikit.

“Ya?”

“Aku keluar dulu.”

“Okey.”

Aku terus tutup pintu. Kebiasaanya memang begini. Kadang-kadang dia tak sarapan pun dengan aku sebelum ke office.  Entah apa yang dia buat kat office pun aku tak tahu. Boleh kata semua yang berkaitan Eimad memang aku masih belum khatam.

Tuala bersangkut di pintu bilik dicapai sebelum aku meloloskan diri masuk. Pili di singki aku pulas perlahan-lahan. Aku pandang cermin seketika. Entah apa yang Eimad lihat pada diri aku selama ni. Aku bukanlah seseorang yang cukup sempurna baginya. Aku banyak susahkan keluarga Ayah Jin sebelum ni, jadi aku tak nak susahkan keluarga mama pula. Lebih-lebih lagi Eimad.

Selesai bersihkan diri, aku terus duduk di meja belajar. Baru nak sambung menelaah semula topik baru, perut kembali berirama. Lupa nak bawa roti bakar ke bilik sekali tadi. Jadi, kena turun semula.

Kaki laju menapak turun anak tangga, baru nak cecah lantai dapur telefon di ruang hadapan berdering. Berkerut dahi. Jarang telefon rumah ni berbunyi. Selama aku berada di sini, ini kali pertama ada panggilan masuk.

“Helo." Ganggang telefon aku lekap pada cuping telinga.

“Helo...” lagi sekali aku menyapa pemanggil di hujung talian.

“Assalamualaikum! Ni ayah ni.”

“Ayah Jin?”

“Fir... mana Eimad?”

“Hah... erm... Abang Eimad dah pergi office.”

Ayah Jin gelak kecil.

“Sabtu pun dia pergi office?”

Aku diam. Eh, ya tak ya! Hari ni hari sabtu.

“Dia ada beritahu yang ayah nak datang sana?”

Berkerut dahiku.

“Bila ayah nak datang sini?”

“Ni, ayah dah kat stesen bas. Tunggu Laila ambil.”

Terjongket kening. Ayah Jin nak datang sini? Habislah... sempat tak aku nak kemas apa yang patut. Rumah ni bukannya kecil, besar.

“Ayah datang sini terus ke?”

“Yelah, dah nak jumpa kamu berdua. Tak boleh ke?”

“Eh, boleh. Boleh.”

Berdegup kencang jantung kala ini. Matilah aku... sudahlah Eimad tiada. Memang haru-biru kalau Ayah Jin tahu situasi kami macam mana.

“Ha... dah sampai pun Laila. Ayah telefon nanti bila dah sampai rumah kamu.”

Talian dimatikan. Aku terpinga-pinga lagi setelah mengetahui Ayah Jin akan ke sini.

Sekarang, apa perkara pertama yang perlu aku buat?

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now