Bahagian 34

14.4K 565 15
                                    

Pinggan yang siap dibilas aku letak elok di atas rak berdekatan singki. Eimad di sebelah sudah siap membersihkan tangan tetapi dia langsung tak berganjak ke ruang makan semula.

"Oh ye, tadi Nazim ada jumpa saya di kolej." Baru teringat perihal pertemuan dengan Nazim di kolej tadi.

Eimad mengelamun jauh nampaknya. Sah, sah tak akan dengar penjelasan aku sekarang.

"Abang?"

"Hah?" Eimad tengadah. Dipandang aku dengan pandangan kosong.

"Abang tak cukup rehat ke? Kita masuk bilik. Mandi, solat." Aku terus tarik lengan Eimad.

Belum sempat menapak ke lantai dalam bilik, kelihatan mak ngah dan anak-anaknya mula beransur ke muka pintu.

Aku berganjak ke arah ruang depan semula. Sempat bersalaman  dengan anak mak ngah yang lain sebelum aku menerpa ke arah mak ngah pula.

"Mak ngah tak makan lagi. Yang lain pun tak sempat nak berborak lama dengan saya. Mak ngah dah nak balik?" soalku.

Entahlah kenapa setiap aku berdepan dengan mak ngah, pasti wajah muram mak ngah sahaja menjamah pandangan.

Aku pandang Ayah Jin di sebelah. Ayah Jin pun sama. Susah sangat nak jelaskan kenapa semua orang bermuram sahaja hari ini.

"Mak bukan nak balik, kami nak lawat..." tak sempat yang bongsu bersuara, Ayah Jin dah mencelah.

Katanya mereka dah lambat.

Akupun tak berani nak tanya lebih, lagi-lagi mak ngah dah beransur bergerak ke kereta anaknya.

Pelik...

Aku toleh ke belakang, lihat Eimad yang hanya senyap di depan pintu bilik. Langsung tak berganjak. Langsung tak terkejut dengan keadaan mak ngah sekeluarga yang agak tergesa-gesa tadi.

"Fir, kita solat dulu. Dah lewat ni. Lepas solat Fir boleh tanya abang apa-apa soalan yang sedang Fir fikirkan sekarang."

Mendengar penjelasan Eimad, aku akur. Menapak ke arahnya walaupun bibir ni bagai menggasak hebat mahu terus muntahkan segala persoalan yang ada.

Usai solat, Eimad duduk menekur di atas sejadah. Lama dia menunduk. Nampak yang emosinya sedikit lain selepas kami sampai ke rumah Ayah Jin.

"Abang." Aku mengengsot di sebelahnya. Capai tangan Eimad. Pandang wajah dia yang masih belum memaling ke arahku.

"Fir nak tanya apa?" perlahan Eimad bersuara. Diusap kekura tanganku yang masih kekal menggenggam jari-jemarinya.

"Ada apa sebenarnya? Fir rasa tak sedap hati tengok mak ngah bersedih tadi. Apa yang abang tahu tapi saya masih tak tahu?" pintaku.

"Fir janji Fir akan dengar penjelasan abang sampai habis?" pinta Eimad pula.

Aku angguk mengeyakan. Janji.

Eimad tarik nafas panjang. Dibetulkan dudukan tubuhnya agar setentang dengan kedudukan aku pula.

"Zara kemalangan semasa keluar dari rumah mak ngah. Dia masih di ICU sekarang. Selepas apa yang dah berlaku di majlis Nazim, Zara tak pernah tenang. Ada saja kelakuannya buat mak ngah risau. Dan petang kelmarin, dia dilanggar kereta selepas bergaduh dengan mak ngah."

Kak Izara kemalangan? Kenapa baru sekarang Eimad beritahu? Kenapa Ayah Jin tak bercerita? Kenapa mereka buat aku seolah-olahnya aku langsung tak pernah risaukan keadaan Kak Izara selama ni?

"Saya bukan orang luar sampai abang sembunyikan perkara macam ni! Abang tahukan walaupun seburuk mana layanan Kak Izara, saya tetap anggap dia seperti kakak kandung saya sendiri." Aku pandang Eimad.

Tak faham kenapa kemalangan yang menimpa Kak Izara dijadikan satu rahsia besar daripada pengetahuan aku?

"Fir, sabar. Abang tak habis cerita lagi. Tunggu, dengar dulu." Eimad paut kedua belah lenganku. Meminta aku supaya tak bertindak di luar jangkaan.

Sebolehnya aku mahu pergi ikut mak ngah. Aku mahu lihat dengan mata kepala aku sendiri keadaan Kak Izara sekarang.

"Apa yang abang sembunyikan lagi? Apa lagi rahsia besar yang saya tak tahu?" desakku.

"Tak, tak ada rahsia apa. Tak ada sembunyi apa-apa daripada pengetahuan Fir." Eimad menggeleng. Menindakkan persoalan aku itu.

"Zara nak jumpa kamu sebelum dia kemalangan, dia kata kepada mak ngah yang dia nak tamatkan semuanya. Dia nak Fir rasa apa yang dia dah rasa selama ini. Segala kedukaan dan kesedihan yang dia alami. Zara masih berdendam dengan kita."

Beristighfar aku seketika.

"Ayah dah banyak kali dapat panggilan dari orang tak dikenali. Katanya Zara tak habis-habis ugut tentang kandungannya. Jadi, ayah cukup pasti Fredo yang upah orang supaya ugut ayah untuk diamkan mulut Zara."

Kenapa aku masih berharap Kak Izara tak akan pernah alami semua ini, masih ada lagi harapan untuk Kak Izara. Dia cuma mangsa kepada kenaifan dirinya sendiri. Buta dengan cinta dunia selama ini.

"Saya nak lawat Kak Izara. Saya nak tengok dia, abang. Tolong abang, saya nak jumpa dia," pintaku.

Eimad pandang aku lama. Andai inilah kali terakhir aku bertemu Kak Izara, aku akan kata kepadanya yang aku tak pernah sekali abaikan Kak Izara. Tak pernah aku tak hiraukan perasaannya selama ini. Dan aku selalu memaafkan dirinya.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now