Bahagian 14

15.5K 694 9
                                    


Siap kemas dapur, aku naik ke atas semula. Ingatkan Eimad ada di dalam bilik, kosong saja. Tiada sesiapa. Mungkin dia lepak dengan Ayah Jin kot. Tapi, Ayah Jin kata nak berehat. Tak akanlah Eimad ganggu rehat Ayah Jin pula.

Tak jadi nak masuk ke bilik, aku bawa kaki melangkah ke ruang anjung balkoni di hujung laluan. Dah lama tak duduk ambil angin kat sana. Kalau ulangkaji nota pun dah okey kat situ. Tak payah susah-susah nak angkut meja lipat ke bilik Eimad.

Tengah ralit memikirkan perancangan malam nanti, terdengar pula suara Ayah Jin. Aik, kata berehat? Elok pula Ayah Jin berlepak kat anjung.

Aku perlahankan tempo langkahan. Rapatkan tubuh pada dinding. Cara yang sama macam aku curi dengar perbualan Eimad dengan Ayah Jin tadi.

Berhati-hati aku menilik dari balik langsir pintu. Terlihat jelas belakang tubuh Ayah Jin yang duduk mengadap seseorang. Aku jengulkan kepala lagi. Kali ini lebih jelas dengan siapa Ayah Jin berborak.

"Kita tak boleh terburu-buru dalam hal ni. Semuanya salah ayah juga. Kalau tak berdegil nak teruskan dahulu, rasanya tak jadi semua ni," keluhan berat kedengaran.

Eimad diam. Tak balas apa. Mungkin sekadar meminjam telinga buat Ayah Jin.

"Ayah rasa bersalah sangat kepada kamu berdua. Sebab tu ayah datang, nak beritahu yang ayah sanggup buat apa saja supaya kamu tak berpisah."

Berpisah?

Betul ke apa aku dengar ni?

"Eimad tak salahkan ayah sebab Eimad pun ada salah juga. Eimad tak buat semua ni sebab Fir. Eimad tak terima cadangan ayah sebab Izara. Eimad buat semua ni bukan sebab sesiapa."

Aku terus bawa kaki melangkah pergi. Tak sanggup tadah telinga dengar penjelasan Eimad lagi.

Apa yang terzahir dari bibir Eimad buat aku sangsi. Jadi, kenapa dia kahwin dengan aku? Kenapa waktu Ayah Jin tanya dia, dia setuju?

Kenapa Eimad cakap macam tu? Kenapa?

Pintu bilik aku bolosi. Berputar laju setiap kata-kata yang keluar dari bibir Eimad. Setiap baris ayat yang aku curi dengar, masih hebat berputar di benak fikiran.

Ke kiri, ke kanan aku melangkah. Dah tak tahu macam mana nak tenangkan diri sekarang ini. Jadi, kalau betul Eimad terima aku bukan kerana aku. Buat apa kami teruskan semua ni?

"Fir?"

Terhenti langkahan. Betul-betul aku berdiri mengadap katil. Suara dari arah belakang kedengaran lagi diselangi bunyi pintu dikatup kemas.

"Kau dah kenapa? Dah tak boleh duduk diam?"

Aku diam. Tak ada sebaris ayatpun aku balas.

Perlahan-lahan terasa lengan aku ditarik dari arah belakang. Seolah-olah Eimad mahu aku berdiri mengadapnya pula.

"Terasa dengan gurauan aku tadi ke?"

Gurauan? Aku pandang Eimad dengan perasaan tak puas hati. Membuak-buak rasa amarah yang cuba aku rendam dengan kolam kesabaran.

"Aku gurau jelah kata kau tak ada nafsu dengan aku tu. Aku tahu kau curi dengar tadi. Takut eh, aku cemburu dengan budak Nazim tu pula?"

Tak. Bukan sebab ayat tu. Bukan sebab gurauan dia di meja makan tadi. Aku tak ambil kisah mana. Yang aku kisah perbualan dia dengan Ayah Jin tadi.

"Aku nak ajak ayah keluar jalan-jalan sekejap. Kau nak ikut?" rendah nada suaranya.

Lengan yang Eimad masih pegang, aku tarik perlahan-lahan. Melihat dia seperti mahu berganjak ke almari pakaian. Aku terus bawa kaki ke meja solek.

Buku yang bersusun elok aku capai lalu bawa ke pelukan.

"Saya tak habis baca nota lagi." Aku beri alasan.

"Nanti-nanti boleh sambung baca. Malam ni aku temankan. Alang-alang kau kena study kat bilik ni. Aku janji aku tak seksi-seksi." Eimad gelak perlahan.

Lawak bagi dia tapi dah tak berapa lawak bagi aku.

"Kenapa ni?" Eimad muncul di sebelah pula sambil menyarung kemeja lain ke tubuh.

"Awak tolong jujur dengan saya."

Eimad kelihatan bingung. Seketika kemudian dia tahan sisa tawanya tadi.

"Sebab apa awak terima cadangan Ayah Jin dulu?"

Naik sebelah keningnya pula. Entah kenapa aku cuma nampak dia tersenyum nipis sebelum berganjak ke pintu bilik.

"Aku tunggu kau di bawah."

Terus pintu ditutup kemas selepas Eimad melangkah keluar.

Eimad?

Dia langsung tak endahkan soalan aku.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now