Bahagian 13

15.9K 695 17
                                    

Tertib Ayah Jin menjamah makanan. Kira okeylah kot masakan aku ni. Sebab dua-dua lelaki di meja makan ni diam je tak komen apa. Ke tak sedap? Sebab tu senyap sunyi.

Aku tengok daging masak merah di dalam piring bulat berdekatan pinggan Eimad nampak menyelerakan. Kot, kot aku je yang nampak berselera tengok lauk tu sebab aku sendiri yang jadi tukang masak, tak tahulah pula kan.

Ayah Jin hulur gelas kosong ke arahku. Cepat-cepat aku capai jug berisi sirap bandung ais dan tuang, memenuhi ruang kosong gelas di tangan Ayah Jin itu.

"Pedas ke?" cuak pula aku sebab dah banyak kali Ayah Jin tambah air.

Eimad di sebelah, aku curi pandang. Dia tak usikpun lagi air di dalam gelasnya walaupun dah banyak kali aku tengok dia tambah lauk daging tu.

"Tak adalah. Ayah haus je. Jauh perjalanan tadi nak ke rumah kamu ni, tak hilang lagi rasa dahaga ni."

Eimad kelihatan menahan tawa.

Apa yang kelakar? Ayah jin bukan jalan kaki pun dari kampung ke sini, elok je naik bas dan kereta.

"Yang kamu tak jamah nasi di dalam pinggan tu lagi, dah kenapa?"

Tersentak dengan soalan tambahan Ayah Jin, terus aku sua sesuap nasi ke mulut. Ralit sangat perhati dan tunggu respons Ayah Jin dengan Eimad sampai aku jadi tak berselera. Bukan apa, rasanya inilah kali pertama aku masak untuk makan tengah hari. Lebih-lebih lagi ada pula Ayah Jin datang bermalam. Jadi, memang aku fikir nak hidangkan masakan yang terbaik pernah aku sediakan seumur hidup.

"Dengarnya ada majlis makan-makan ye malam esok?"

Aku dongak. Eimad di sebelah turut terhenti makan sama. Lama pula Ayah Jin berdiam selepas soalan tadi dizahirkan.

Perlahan-lahan aku cuba ingatkan kembali, tarikh dan juga peristiwa apa yang bakal jadi pada malam esok.

"Majlis nazim bukan?" sambung Ayah Jin lagi.

Nazim? Oh, yelah! Baru teringat.

"Mama ada jemput Fir semalam waktu mama datang ke sini."

"Jemput kamu seorang je?"

Eh, lain macam pula soalan Ayah Jin.

Aku curi pandang Eimad. Tak akan dia terasa pula dengan jawapan aku tadi. Tapi, memang betullah. Mama cuma kata kepada aku seorang. Tak ada pula disebut ajak sekali Eimad. Eh, nak diajak kenapa kalau dah majlis sepupu dia sendiri. Ermm...

"Mama jemput kami berdua." Aku tambah jawapan selamat.

"Tulah, ayah pun dah lama tak jumpa Nazim tu. Entah macam mana rupa agaknya budak tu sekarang ni."

"Tak akan ayah dah tak ingat waktu jemput Fir di kolej dulu? Kan masa tu Nazim pun ada sekali. Dia kan biasa temankan Fir waktu tunggu ayah sampai."

Entah kenapa Ayah Jin berdeham perlahan sebelum batuk seolah-oleh dibuat kedengaran. Nak tak nak cepat saja tangan aku menghulur gelas air di sebelah tangan kanan Ayah Jin.

"Ayah bercakap sambil makan, ni yang tersedak." Ayah Jin tepuk-tepuk dadanya seketika.

Aku perasan Ayah Jin curi pandang Eimad. Entahlah, apa maksud isyarat mata Ayah Jin pun aku tak faham.

"Eh, nasi dah sikit ni! Fir pergi tambah dulu." Terus aku bawa mangkuk kaca yang tinggal suku saja nasi di dalamnya.

Menapak masuk ke dalam ruang dapur. Sebenarnya, hanya alasan untuk aku tak terus hanyut dengan topik Nazim tadi. Dah agak riak wajah Eimad tak berapa selesa. Sama je macam dia berjumpa Bai pagi tadi.

Dari ruang laluan dapur, aku boleh nampak jelas kedudukan Eimad. Walaupun hanya sipi-sipi, aku perasan dia sedang berbual dengan Ayah Jin. Apa benda yang dikatakan sukar aku nak curi dengar.

Perlahan-lahan aku menapak ke ruang makan semula. Cuba cari posisi yang senang aku nak dengar butir bicara mereka.

"Tak tahu pula Fir dah kenal lama dengan Nazim. Jadi, ayah pun tahu jugalah mereka dah pernah berjumpa sebelum ni?"

Aik, macam tu sekali dia soal siasat Ayah Jin?

"Bukan nak tipu ke bohong. Ayah pun tak pasti mereka tu sekadar kawan biasa ke ataupun ada hubungan istimewa sebelum ni. Eh, nak risau apa? Kamu memang dah jadi yang halal untuk Fir tu. Kenapa nak timbulkan isu lain pula?" tinggi nada suara Ayah Jin kali ini.

"Bukan apa. Patutlah nampak Fir macam tak berapa nak bernafsu je dengan Eimad. Dah ada yang pertama rupanya."

Berkerut dahi dengar ayat balas Eimad. Entah macam mana tiba-tiba dia boleh terjerit kesakitan. Yang jelas aku nampak tubuh badannya terjongket sebelah.

Apabila aku semakin hampir dengan meja makan. Terlayar di mataku saat ini Ayah Jin sedang galak menarik cuping telinga kiri Eimad.

Lama pula tu. Dah macam tak nak lepas pun ada. Geram betul Ayah Jin nampaknya.

"Err.... ayah? Abang Eimad?" tuturku cuba menyedarkan situasi mereka sekarang.

Cuak Ayah Jin selepas dilepaskan cubitan pada telinga Eimad.

Eimad pula terkial-kial menggosok bahagian cubitan tadi.

Ayah Jin duduk sebelum diteguk air seketika. Baru aku rebahkan duduk Ayah Jin bersuara pula.

"Ayah dah kenyang. Nak naik berehat dulu."

Aku diam. Tak membantah apa. Sesekali aku curi pandang Eimad. Tak nampak riak wajahnya berubah, masih sama. Seolah-olahnya cubitan Ayah Jin tadi boleh bawa maut.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now