Bahagian 16

16.1K 756 33
                                    

Lama juga menunggu, baru nampak bayang Eimad dengan Ayah Jin. Buka sahaja pintu, satu bungkusan plastik dihulur ke arahku. Mata beralih memandang Ayah Jin semula.

"Apa ni?"

"Jajan untuk kamu." Ayah Jin menapak masuk.

Seketika aku menunggu barulah kelibat Eimad menyapa pandangan.

"Ada apa?" soalnya dengan riak pelik.

Erm, nak cakap macam mana eh?

Eimad tak endahkan aku selepas soalannya tinggal soalan tadi. Dia menapak ke arah ruang tamu, tak ada ura-ura akan naik ke bilik lagi.

Bungkusan plastik yang masih hangat di tangan, aku bawa masuk ke dapur. Letak isi bungkusan ke dalam piring yang memang aku sediakan selepas turun ke dapur tadi.

Petang-petang begini dengan cuaca yang sedikit redup kalau pekena secawan kopi o panas, perghh...

Cempedak goreng! Ya Allah, memang kena dengan selera tekak aku ni.

Tengah ralit susun cawan ke dalam dulang, kelibat Eimad dilihat dengan berdiri berhampiran sinki

Aku curi pandang. Tak berani nak kata apa. Lagi-lagi tiada perubahan semasa dia masuk ke rumah tadi. Sama je mencuka lepas aku tolak ajakan dia.

"Awak marah lagi ke?" perlahan aku bersuara.

Pili air ditutup kemas. Suasana kembali senyap. Eimad tak ada gayapun nak berpaling memandang aku.

Masih marahlah tu.

Aku tak endahkan. Cepat-cepat aku sambung susun cawan dan teko sebelum dulang beralih ke tangan pula.

"Izara dah balik."

Sepatah nama yang terzahir dari Eimad buat tingkah laku aku jadi sumbang. Hampir-hampir dulang yang elok aku tatang terlorot jatuh ke meja semula.

Perlahan-lahan aku berpaling. Jari kedua belah tangan kemas memegang kiri dan kanan hujung dulang.

"Izara dah balik ke Malaysia." Kali ini barulah Eimad berani memandang aku seketika dia sekadar melarikan anak mata.

"Baguslah!" laju aku melangkah keluar dari dapur.

Kak Izara dah balik?
Kenapa?

Ya, kenapa? Bukan katanya tak akan jejak dah kaki ke Malaysia? Kak Izara balik semula sebab Eimad ke?

"Mendung pula petang ni kan?"

Terkejut dengan suara Ayah Jin yang entah dari mana datang, kalut aku buang fikiran tentang Kak Izara tadi. Segera dicapai teko lalu dituang perlahan-lahan kopi o panas di dalam cawan.

"Mana Eimad?" Ayah Jin curi pandang ke arah ruang belakang sebelum Eimad melangkah keluar dari dapur semasa aku turut sama mencari kelibatnya.

"Eimad nak naik bersihkan badan dulu. Ayah duduklah berborak dengan Fir. Sekejap lagi Eimad turun."

Pandangan aku masih setia memerhatinya sehinggalah Eimad hilang di balik dinding tangga naik ke atas.

Ayah Jin capai cawan yang aku hidang di depannya.

"Dah masuk waktu asar ni, kamu tak nak naik solat sekali dengan Eimad?"

Melihat jarum jam dinding berhampiran, segera aku meminta diri. 

"Ayah minum dulu ye. Fir naik ke bilik sekejap."

Kaki melangkah laju. Sampai di depan bilik, ragu-ragu pula dengan situasi kami sekarang ini. Apa Eimad masih berharap dengan Kak Izara? Atau dia rasa bersalah sebab terburu-buru setuju dengan pilihan yang Ayah Jin beri?

Nafas aku tarik dalam sebelum tombol bilik ditolak perlahan-lahan.

Kelihatan Eimad sudah menukar pakaian, sejadah turut dia hamparkan ke arah kiblat. Bukan satu tetapi dua.

Eimad pandang aku yang masih berdiri kaku di balik daun pintu.

"Pergi ambil wuduk, kita solat jemaah sekali."

Melihat riak wajah Eimad, tiada apa yang pelik. Tiada pula kelihatan seperti dia cuba sembunyikan sesuatu.

"Cepat..."

Sedar dengan tegurannya, kalut aku menyusun langkah ke bilik mandi.

Aku ke yang terlebih fikir sekarang? Tengok Eimad macam tak ada apa je lepas beritahu Kak Izara dah ada di Malaysia.

Tertib bacaan Eimad. Doa yang dia imamkan pun sangat menusuk terus ke hati aku. Tak tahu pula ada banyak hikmah apabila solat berjemaah sebegini.

Kalau hari-hari, solat aku diimamkan Eimad. Mesti aku rasa damai macam sekarang. Lagi-lagi aku suka dengar suara dia mengalunkan bacaan ayat suci.

Memang rugilah kau Fir bila kau tolak cadangan Eimad supaya duduk sebilik dengan dia dulu. Rugi sangat.

"Ehem!"

Terkebil-kebil mata apabila lihat Eimad duduk mengadap aku pula. Dan tangan aku masih setia menadah walaupun sedar bacaan doa sudahpun habis.

"Panjang doa, tak habis lagi ke?"

Cepat-cepat aku sapu tadahan tangan pada muka sebelum berdiri dan bersiap untuk turun semula.

Entah mana mana Eimad paut lengan kiri yang sedang kalut melurut turun kain sembahyang.

"Lepas solat, aku nak kau salam tangan aku. Macam ni." Eimad tarik pula tangan kanan aku.

Sedar yang dia menunggu aku untuk menunduk tanda hormat kepadanya sebagai seorang suami, tertib pucuk hidungku singgah pada kekura tangan Eimad.

Dan, aku tahu Eimad mesti rasa pelik sebab setiap kali dia datang melawat ataupun jemput aku di kolej. Aku jarang salam dan kucup tangan dia.

Wajah aku dongak semula. Eimad nampak senyum. Senyuman gembira walaupun sekejap tetapi aku tahu dia suka begini.

"Kalau boleh, aku nak Ayah Jin duduk lama dengan kita."

Pelik dengan ayat Eimad. Aku cuba hadam selepas dia bergerak ke arah almari pakaian.

"Seronok sebab dapat jalankan tanggungjawab dan peranan aku bukan sahaja sebagai seorang suami tetapi pembimbing kau. Aku tahu, kau mesti rasa tak selesa sebab kena sehidup semati dengan lelaki yang sepatutnya jadi suami sepupu kau sendiri. Aku juga tahu, aku tak layak nak meminta. Lagi-lagi bila dikaitkan dengan hati dan perasan kau. Cuma, aku nak kau janji dengan aku saat ini yang kau tak akan pernah sia-siakan peluang yang dah ada. Lebih-lebih lagi dengan situasi kita sekarang ni."

Panjang lebar ayat Eimad. Sudahlah aku tak dapat nak cerna dengan baik ayat pertama dia. Bila masuk ayat seterusnya, bercelaru saraf otak aku nak berhubung.

"Maksud awak?"

Eimad pandang aku. Kali ini bukan pandangan biasa dia. Ada panahan yang cukup menggetarkan seluruh perasaan aku sekarang.

Liur terasa kesat. Jari-jemari mulai sejuk. Dada berombak-ombak. Kenapa terlalu sukar untuk aku menindakkan satu perasaan ini?

"Sebab aku dah mula sayang kau."

Hah? Eimad kata apa? Ulang putar ayat dia tadi. Eimad mula sayang aku? Dia sayang aku?

Tarik nafas Fir! Tarik lama-lama!
Macam nak pecah jantung aku mengepam darah sekarang. Betul ke apa yang aku dengar?

"Jawapan untuk soalan yang pernah kau tanya sebelum ni." Eimad dekatkan jarak.

Kali ini betul-betul pandangan kami saling berlaga. Hanya pandangan sahaja tetapi cukup buat aku mahu tercabut nyawa.

"Mesti ayah dah tunggu lama di bawah." Eimad berlalu pergi.

Nafas yang aku tahan selepas mendengar ayat keramat Eimad tadi, aku lepaskan sehabis-habisnya sebelum hujung telekung aku kibas-kibas ke arah muka.

Terasa panas. Meruap-ruap darjah kehangatan di wajah.

Alamak, aku pun dah jatuh sayang dengan Eimad ke?
Berterbangan juga isu Kak Izara yang aku sangat risaukan tadi. Lenyap ditelan renungan Eimad.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now