Bahagian 30

16.3K 674 16
                                    


Lenakah tidur Eimad? Dalam ruang bilik yang hanya diterangi lampu hiasan, aku duduk menyandar pada badan sofa mini. Cawan yang sudah suam kukira masih belum aku sentuh.

Sebelum Eimad masuk tidur tadi, sempat dia turun ke bawah sekejap sebelum naik ke bilik semula dengan secawan air panas. Cawan itu hanya diletak di atas meja kecil sebelah sofa ini tanpa berkata apa.

Dan aku yakin, tingkah laku Eimad sedikit berubah selepas pertelingkahan singkat kami sebentar tadi. Eimad kembali dingin. Langsung tiada dialog dua hala di antara kami.

Masing-masing hanya diam. Membisu. Seolah-olah kotak suara ghaib, hilang entah ke mana.

Dan satu yang aku fikirkan sekarang. Kalaulah aku tak berdegil dan setuju dengan cadangan Kak Izara. Pasti tidak akan jadi apa yang telah berlaku pada malam ini.

Bodoh bukan aku ni?

"Fir."

Baru beberapa saat aku terlena hanya memangku dagu pada kedua belah lutut rapat ke dada, suara Eimad menyapa lemah.

"Fir, naik ke katil. Tidur."

Jelas arahan Eimad. Tapi, aku lagi selesa di sini. Jauh dengan dirinya sebab aku pasti kami akan kembali seperti saat kali pertama kami hidup serumah dahulu.

Aku tak endahkan permintaan Eimad. Wajah kembali disembam pada kepala lutut. Perlahan-lahan aku peluk rapat kedua belah kakiku. Baru terasa dingin malam ini mula menggigit kulit tubuhku.

Hangat. Terasa hangat membalut belakang tubuhku. Aku celik mata semula, mencuri pandang ke sebelah.

"Tak patut kalau abang dapat tidur di atas tilam empuk tapi Fir cuma beralas permaidani di lantai." Renungan Eimad tepat-tepat menangkap pandangan aku saat ini.

Kain gebar yang membalut tubuhku dibawa ke belakang tubuhnya juga sebelum terasa bahagian kiri badanku menyentuh tubuh Eimad. Dia cukup rapat duduk sambil menyilang kaki di sebelah.

"Kenapa?" soalku perlahan. Kenapa Eimad buat aku cukup keliru saat ini? Kenapa dia layan aku seperti tiada apa yang terjadi kepada kami tadi? Kenapa Eimad?

Eimad gosok-gosok kedua belah telapak tangannya sebelum dia rapatkan badan ke arahku. Dan, satu pelukan kemas singgah pada tubuhku dan memaksa aku tenggelam ke dada bidang Eimad.

Tangan kirinya galak mengeratkan dakapan pada lengan sebelah kananku. Menarik tubuhku agar tidak terlepas walau sesaat daripada balutan hangat tubuhnya.

"Kenapa?" Aku soal lagi walaupun suara seakan tenggelam dengan perbuatan Eimad ini.

"Abang sayangkan Fir."

"Kenapa?" Aku dongak. Walaupun samar, aku mahu lihat riak wajah Eimad. Aku nak pastikan yang aku nampak kejujuran di dalam kata-kata Eimad nanti.

"Abang tak ada sebab untuk sayangkan Fir. Abang tak ada jawapan untuk setiap pertanyaan kenapa daripada Fir. Yang abang tahu, apabila abang dah mula sayang seseorang. Abang tak perlukan sebab untuk itu semua." Eimad menunduk membalas pandanganku.

"Fir masih tertanya kenapa semua ni terjadi?" Eimad menyoal pula.

Aku balas dengan anggukan.

Kelihatan Eimad mengeluh perlahan. Seketika kemudian dia membetulkan balutan kain gebar ada belakang tubuhnya.

"Ini jalan hidup yang tertulis untuk kita berdua. Allah dah jadikan semua ini atas asbab tertentu. Yang penting Fir kena tahu, abang akan tetap pilih Fir. Hanya Fir. Tak akan ada yang lain. Tak akan ada yang lepas. Yang ada untuk kita, yang akan datang."

"Abang akan tetap pilih saya walaupun abang tahu apa sebenarnya yang terjadi sebelum kita bernikah dahulu?" soalku.

Eimad pandang aku. Ternyata ada garis persoalan yang terlihat pada riak wajahnya sekarang.

"Abang akan tetap terima saya kalau saya ceritakan apa yang sepatutnya saya lakukan selepas Kak Izara balik semula?"

Tangkas jari telunjuk Eimad singgah pada bibirku. Terhenti lidah untuk meneruskan segala persoalan yang telah lama aku pendam selama ini.

"Dari awal, abang dah tahu rancangan Izara. Abang minta maaf. Abang terpaksa berlakon depan Fir. Ayah tak nak rancangan selama ini gagal kalau Fir dah tahu."

Berkerut dahi aku dengar penjelasan Eimad.

"Saya tak faham. Abang cakap apa ni?" Aku masih setia memandang Eimad. Berharap dia ada penjelasan yang cukup untuk menerangkan segala kekusutan aku ini.

"Ayah ada terdengar apa yang Fir janjikan kepada Izara. Dan abang dah tahu Izara cuma mahu jadikan abang jalan untuk dia selamatkan diri. Tapi, sebelum sempat abang teruskan rancangan asal. Izara dah kembali kepada kekasih lama. Ayah kepada anak di dalam kandungannya sekarang."

Jadi, Eimad dah tahu? Segala apa yang pernah jadi rahsia antara aku dengan Kak Izara. Dia dah tahu dari awal?

"Macam mana abang tahu Kak Izara mengandung?"

Eimad capai kedua belah tanganku sebelum digenggam kemas di dalam hangat pelukan jari-jemarinya.

"Dia sendiri cerita kepada abang."

"Jadi, kenapa abang setuju?"

"Sebab abang tahu yang akan jadi mangsa keadaan nanti adalah Fir."

Aku tak faham. Cukup tak faham. Eimad, kenapa? Aku tak boleh nak hadam semua ini!

"Abang tahu, Fir tak akan percaya. Sebab abang takut kalau Fir tahu dari awal, Fir akan benci dengan abang. Mesti Fir akan tuduh, abang sengaja ambil kesempatan."

Lama aku pandang Eimad. Entahlah, aku tak boleh nak paksa diri terima semua yang Eimad dah ceritakan. Aku perlukan masa.

"Susah saya nak percaya," luahku sambil cuba meleraikan genggaman tangan Eimad pada kedua belah tanganku.

"Tengok, Fir pun dah kata susah nak percaya lepas abang jelaskan semuanya?" Eimad senyum nipis.

Aku getap bibir. Ya, payah selepas apa yang aku lalui setelah bertemu muka dengan Kak Izara semula.

"Abang jujur dengan Fir. Pada awalnya memang abang buat semua ni sebab abang jatuh kasihan dengan Izara. Bodoh kan abang? Jadi pak sanggup. Tapi, lepas abang cuba bukakan hati dan terima dengan jiwa yang reda. Abang nampak Fir. Abang baru tahu yang Allah gantikan segala perkara yang dah berlaku dahulu dengan hadirkan Fir kepada abang." Eimad paut kedua belah pipiku. Digomol-gomolnya sebelum tubuhku dibawa ke dalam pelukannya pula.

"Fir sayang abang tak?" bisik Eimad perlahan.

Lama aku diam. Panas pelukan Eimad. Rasa nyaman pula.

"Sayang." Aku terus benamkan wajah ke dadanya.

Ya Allah, kenapa malu sangat tetiba ni?

"Kalau sayang, kita naik katil tidur."

Aku geleng. Tak nak. Lagi suka berpelukan macam ni.

"Fir," bisik Eimad. Kali ini betul-betul di cuping telingaku.

"Pelukan abang lagi selesa daripada katil empuk tu," balasku tenggelam timbul suara dek kerana menyorok wajah daripada dilihat Eimad.

Eimad tak balas apa. Tapi, perasan wajahnya berkali-kali singgah pada ubun kepalaku. Dan terasa kucupan hangat berlabuh di dahiku seketika.

"Okey, balik ke hostel nanti tak dapatlah nak peluk abang macam ni kan? Peluklah sayang. Peluk. Kasihan kalau kempunan nanti."

Ish, perli pula!

Sejujurnya, bukan Eimad yang galak memeluk aku sekarang. Aku yang sengaja tak mahu lepaskan dakapan pada tubuhnya. Sama seperti aku tak mahu saat yang berlalu tadi pergi begitu sahaja.

Biarlah sampai ke subuh kami sebegini. Kerana aku dah mula terima kenyataan, siapa lagi berhak ke atas Eimad. Bukan Kak Izara lagi. Dan aku kena buktikan, aku tak akan lemah dengan segala ugutan dan kecaman daripada Kak Izara lagi.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now