Bahagian 04

17.4K 813 16
                                    

Aku tahan katuk. Mata sudah memberat. Apabila sedar Eimad masih khusyuk menelaah skrin komputer ribanya, aku cuba cekalkan diri. Jangan cepat mengalah! Kena bancuh kopi nampaknya ni.

“Nak ke mana?"

Aku baru mahu menapak bangun dari meja ruang tamu, soalan Eimad sudah mematikan langkahanku.

“Nak buat air... lagi.”

Aku sedar mata Eimad tertumpu pada cawan yang ada di atas meja bersebelahan buku rujukan.

“Dah, dah. Naik tidur je. Dah lewat sangat ni.” Eimad tutup lid komputernya. Dia bangun lalu dilakukan regangan ringkas.

Mataku sempat singgah pada kemeja tidurnya yang terjungkit seketika tadi. Terus segar mata apabila dapat lihat apa yang tidak patut aku lihat.

Eimad pandang aku yang masih memaku pandangan kepadanya.

“Dah tak mengantuk ke?”

Aku angguk.

Eh, aku geleng cepat-cepat. Menguap lagi sekali menandakan sudah terlalu mengantuk.

“Jom, naik. Tidur.”

Niat mahu dia jalan terlebih dahulu tetapi dia pula beri arahan agar aku menapak dahulu. Baru beberapa tapak mendaki anak tangga, tiba-tiba bahuku rasa berat. Mata melirik ke sebelah kiri, ekor mataku singgah pada jari tangan Eimad.

“Apa awak ni?” Aku tepis dengan buku rujukan.

“Lambat sangat jalan. Aku tolong papah.”

“Tak sukalah awak pegang-pegang macam ni!”

Terjungkit kening Eimad. “Aku dah kata tadi, kan? Dah lupa?”

Aku diamkan diri. Ingin melangkah terus ke bilik tetapi Eimad sudah kepung tubuhku pada dinding tangga pula.

“Awak ni kenapa? Saya dah mengantuklah.”

Dia pandang aku lama. Matanya merenung tepat ke dalam mataku.

Last paper bila?”

Terkelip-kelip mataku dengar soalan dia.

“Bila hari last exam?” soalnya kali kedua.

“Awal bulan Januari nanti. Kenapa?” Aku masih bersandar pada dinding. Entah bila dia mahu lepaskan aku dari kepungannya. Menunggu Eimad membalas pertanyaanku pula.

“Selalunya lepas exam, mesti dah merdeka kan?”

“Apa kaitan?”

Eimad hanya senyum.

Itulah kali pertama aku nampak senyumannya cukup lain. Terteguk liur apabila Eimad mengundur ke belakang. Jarinya singgah pada hujung batang hidungku. Dikepil hidungku sekuat hati. Aku tepis kasar. Hampir putus nafas dia buat macam itu.

“Belajar rajin-rajin!”

Eimad berlalu pergi.

Jujur aku katakan, nyawa bagai mahu tercabut daripada jasad apabila Eimad senyum tadi. Kenapa dia lain sahaja malam ini. Pagi tadi bukan main marah lagi, malam ini lembut pula riak wajahnya. Lelaki dua personaliti kot. Sebelah malam lain, sebelah pagi lain.

Apabila Eimad sudah hilang dari pandangan. Aku segera menapak ke pintu bilik berhadapannya. Memang kami tidur berasingan. Mama pun tahu.

Lagipun Eimad sendiri yang kata umur aku terlalu muda untuk jadi ibu kepada anak-anaknya. Apabila difikirkan semula, aku yakin yang itu hanya alasan Eimad. Dia memang tiada apa-apa perasaan kepadaku selain Kak Izara.

Pintu bilik aku tutup kemas. Menyedari bilik gelap, suis lampu aku tekan. Buku rujukan tadi aku campak ke atas katil. Ini baru dua hari berkurung di dalam rumah. Menyesal pula mahu habiskan study week di rumah. Pasti tak akan jadi macam ni kalau aku tinggal di kolej kediaman sahaja.

KERANA BUKAN AKU (COMPLETED)Where stories live. Discover now