Bab 29 : 20 Tahun Faheem

1.3K 99 1
                                    

Arlisya Firdaus termenung di sebuah restoran di bumi Melaka itu. Dia menumpang rumah Kak Sofia selama dua malam. Kak Sofia memang sudah lama mengajaknya untuk datang ke rumah baru itu. Kak Sofia keseorangan dua malam itu kerana suaminya, Abang Safuan bertugas di luar negeri. Kehadiran Arlisya Firdaus telah mengubat kesunyian Kak Sofia buat sementara.

Arlisya Firdaus melepaskan keluhan berat. Niat di hati ingin menenangkan fikiran, tetapi sepanjang dua malam dia tidur di rumah Kak Sofia, tidak pernah dia lena. Mahu kata tak biasa tidur di tempat lain, tidak juga. Kepalanya asyik memikirkan perkara tempoh hari.

Fikirnya sudah sepuluh tahun tidak bertemu, dia sudah tiada perasaan pada lelaki itu. Tetapi debaran hatinya masih terasa tatkala berhadapan dengan lelaki itu.

Tempat duduk di hadapannya diambil seseorang. Arlisya Firdaus leka mengelamun sehingga tidak sedar lelaki di hadapannya sudah siap memesan makanan.

Tap!

Mati lamunan Arlisya Firdaus dengan petikan jari itu. Keningnya berkerut. "Faheem? Mana kau tau aku ada kat sini?"

Faheem geleng. "Tak tau pun. Aku baru datang sini nak minum, tengok ada seorang perempuan nampak macam kenal. Aku datanglah dekat, rupanya kau.

"Oh..."

"Kau buat apa termenung kat kedai makan ni? Fikirkan Mr Shrek?" soal Faheem.

Arlisya Firdaus pandang wajah Faheem. Setahunya, sudah masuk sebulan tidak bertemu dengan lelaki ini. Satu-satunya kawan baiknya yang jarang dia jumpa kerana lelaki itu sangat sibuk ke sana ke mari memajukan bisnes kecilnya. "Mana kau tahu?"

"Aku tahu aku jarang lepak dengan kau orang, tapi tak adalah sampai ketinggalan kereta api. Jadi, siapa Mr Shrek? Aku kenal?"

Arlisya Firdaus menghembus nafas lega. Sekurang-kurangnya dia tahu, ada juga yang tidak tahu siapa Mr Shrek yang sebenar. Dia ragu-ragu mahu bercerita. Bimbang kawan lelaki yang seorang itu beritahu pada keluarganya atau Afham dia lari ke sini.

"By the way, aku tahu kau lari dari rumah. Kalau kau rasa serabut sangat otak kau dengan masalah Mr Shrek tu, luahkan sajalah. Jangan risau apa kita cerita kat sini, habis kat sini. Aku takkan cerita pada sesiapa kau ada kat sini, dan apa yang kau ceritakan pada aku." Makanan dan minumannya sudah sampai ke meja. Faheem mengangkat sudu dan garfu untuk menjamah nasi goreng tomyamnya.

Kata-kata lelaki itu sedikit sebanyak menambahkan rasa percaya Arlisya Firdaus terhadapnya. Biasanya segala masalah dia cerita pada Afham, tapi dah lelaki itu pun tidak mahu memihak padanya. Bagus juga cerita pada Faheem, mamat ni tak kenal siapa Mr Shrek. "Hazim. Kau tak kenal pun dia. Tapi aku pernah cerita dengan Nisa pasal dia dan kau tiba-tiba menyampuk."

"Oh, dia tu. Last kau jumpa dia time form 5 kan? Kiranya dah sepuluh tahun baru dia confess?" tebak lelaki itu sebelum menyuap sesudu lagi nasi gorengnya.

Wanita itu mengangguk. "Dulu dia kata aku ni lelaki, lepas tu, dua hari lepas dia cakap first dia jumpa aku dia dah jatuh cinta. Pergi mampuslah dengan cinta pandang pertama dia. Baru tahu aku perempuan, tiba-tiba melalut kata dah lama suka," bebelnya tak puas hati.

Walaupun Faheem dan Nisa baru kenal Arlisya Firdaus yang sudah bertudung waktu universiti, mereka tahu kisah silam wanita itu selepas Afham terlepas kata.

"Hmm... Pergi ajelah."

"Huh?"

"Kau kata tadi pergi mampuslah dengan cinta pandang pertama dia kan? Kaulah cinta pandang pertama dia. Pergi lah mampus sekali dengan dia." Faheem berkata tanpa perasaan.

Terkebil-kebil mata Arlisya Firdaus. Eh, dia ni! "Ish, tak ada guna aku cakap dengan kau!"

"Kau tau tak, aku cemburu dengan Hazim tu."

Arlisya Firdaus pandang Faheem tidak mengerti.

"Baru kenal sepuluh tahun lepas, dia dah berjaya confess dekat kau. Tapi aku, dah dua puluh tahun kenal pun belum mampu untuk aku luahkan isi hati aku," beritahu lelaki itu. Berkias. Dia menguis-nguis nasi gorengnya yang tinggal separuh. Dia meneguk air teh tariknya.

Dua puluh tahun? Kening wanita itu terjungkit. "Kau suka dekat Nisa ke?" Baru Arlisya Firdaus sedar sudah hampir dua puluh tahun Faheem mengenali Nisa atau nama Cinanya, Janice Tan.

Faheem senyum tipis.

"Dah dua puluh tahun ke kau suka dia?"

Faheem melepaskan tawa kecil. "Agaklah dua puluh tahun. Taklah... Aku tak tahu bila aku mula suka dekat dia, tapi aku sedar bila Nisa masuk Islam dua tahun lepas."

"Kenapa kau tak bagitahu saja kau suka pada dia? Nisa tu sekarang single and available kut. Sekali kena sambar, baru kau nak menyesal."

"Bukan aku tak nak. Tapi siapalah aku kalau nak dibandingkan dengan Aaron Wong. Parents dia dah kenal Aaron lebih lama dari aku. Aaron tu pulak lagi kaya, bisnes sampai ke luar negara. Aku ni habuk pun takde," ujarnya penuh rendah diri. Walaupun kata-katanya dituturkan penuh rasa rendah diri, mukanya kekal serius. Dia menghabiskan suapan nasi goreng yang terakhir.

Oh, sebab Aaron saja rupanya!

Arlisya Firdaus menggeleng kecil. Dia berkata, "Kau tu yang merendah diri sangat. Nisa bukan minat sangat pun dengan mamat tu. Kalau betul-betul suka, jumpa parents dia dan cakap elok-elok. Bukannya parents dia tak kenal kau. Lagipun, Nisa tu baru dua tahun masuk Islam, aku sebagai kawan baik dia harap dia berkahwin dengan lelaki yang mengenali Islam lebih baik daripada dia. Mudah untuk lelaki tu bimbing dia. Walaupun Aaron tu kaya, tapi dia tu liar. Kaki clubbing, girlfriend bertukar-tukar macam tukar baju. Nisa perlukan bimbingan agama. Kalau aku dah lama tahu kau suka dia, aku paksa kau kahwin dengan dia. Kau dengan Aaron tu macam langit dengan bumi.

Aku tengok kau ni, family dah memang kuat agama. Kau pulak selalu join program masjid waktu kat U dulu. Aku rasa kau lebih layak daripada Aaron tu. Ha nanti kau balik sana, aku tolong kau, okay?" tawar wanita itu setelah berkata panjang lebar.

Faheem melepaskan nafas berat. "Sudahlah, sebelum kau tolong aku, lebih baik kau tolong diri kau sendiri. Aku tak nak back up kau mahupun si Hazim aka Mr Shrek tu. Tapi aku cuma mampu nasihat, solat istikharah. Minta petunjuk dari Dia yang memegang hati-hati hamba-Nya. Kau kena ingat Fir, Dia yang hadirkan setiap perasaan dalam hati manusia," nasihatnya penuh hikmah.

Arlisya Firdaus mengukir senyuman. Itu yang dia mahukan dari seorang sahabat. Bukan asyik suruh dia buka hati saja. Nanti kalau dia pergi hospital minta doktor buka hatinya baru tahu! Dalam masa sama, Arlisya Firdaus bersyukur kerana ditemukan dengan Faheem pada hari itu. "Yalah. Aku ambik nasihat kau tu. Aku nak balik kejap lagi. Lama dah kat sini, kesian mak aku. Walaupun aku tahu dia tak risaukan aku." Dia bangun.

Faheem angguk. Dia turut sama bangun menuju ke kaunter bayaran. Arlisya Firdaus mengekori untuk membayar airnya. Tanpa disangka, Faheem membayar makanan dan minumannya serta air yang dipesan oleh wanita itu.

"Takpe, aku belanja kau harini."

"Wah, bukan senang Encik Faheem Iskandar nak belanja orang. Thanks!"

"You're welcome. Ingat, cerita kita kat sini, habis di sini. Jangan bagitahu sesiapa pasal apa yang aku beritahu tadi," pesan Faheem.

Sama-sama mereka berjalan ke kereta yang diparkir berdekatan restoran itu. Arlisya Firdaus mencebik apabila mendapati kereta Faheem diparkir sebelah keretanya. "Patutlah, kereta kau sebelah kereta aku rupanya!"

Faheem senyum sebelum menghilang masuk ke dalam kereta.










❤️❤️❤️

Hari pertama sekolah, dah dapat homework ke? Allahuu... Aku rasa rindu sekolah pulak🙃😂

TIH 2 : Broken LandWhere stories live. Discover now