Bab 30 : Siapa Suruh Lari, kan dah kena Pinang Lagi?

1.3K 113 10
                                    

Malam itu, sebelum hari Arlisya Firdaus bertemu dengan Faheem, Arissa berjalan mundar-mandir di hadapan Mak. Saja dia ingin mengganggu Mak yang menonton filem The Flu di saluran TVN Movies sambil makan keropok Super Ring. Mak langsung tidak peduli anak sulungnya yang hilang tanpa berita itu. Bukan Arissa tidak cuba menghubungi kakaknya tapi ditegah oleh Mak.

"Mak, sis tak balik lagi ni. Dah dua malam tau tak? Entah-entah sis kena culik? Ha, macam mana?" Ariss duduk di sebelah orang tuanya itu. Dia cuba mengalihkan perhatian Mak dari televisyen.

"Tak payah merepeklah, Rissa. Nanti dia baliklah tu!"

Arissa merengus tidak puas hati dengan jawapan Mak. "Mak ni, macam tak kisah dengan anak Mak tu aje? Nanti kalau tiba-tiba pihak hospital telefon suruh Mak buat pengesahan mayat sis, Mak jangan beriya menangis pulak. Rissa bagi warning dekat Mak ni!"

Mak pandang Arissa. "Hesy, mulut! Cakap baik-baik tak boleh ke? Nanti dia baliklah tu. Dah, jangan kacau mak nak tengok cerita ni. Bising aje mulut kamu tu. Jangan berani nak call dia, biar dia balik sendiri. Itupun kalau dia tak hilang ingatan, tak ingat jalan balik rumah."

Arissa menjegilkan matanya. "Eh, mak ni! Cakap orang, dia tu pun sama aje!" Dia bangun naik ke biliknya.

Mak hanya mengerling anak bongsunya yang sudah menghilang naik ke atas. Mak bukan tak risau, tapi Mak pun dah pernah buat waktu arwah ayah kau pinang Mak dulu.

🐾🐾🐾🐾

Petang esoknya, Arlisya Firdaus mengangkat begnya ke pintu utama rumah. Perlahan-lahan dia membuka pintu gril dan pintu kayu rumah itu. Dia menolak perlahan pintu kayu, mengintai siapa yang ada di dalam rumah. Setahunya, waktu-waktu begini, Mak pergi pasar.

Setelah memastikan tiada siapa di rumah, dia membawa masuk beg berisi baju itu ke dalam rumah. Pintu kayu ditutup rapat.

"Baru balik?"

Tersentak Arlisya Firdaus. Dia menoleh sambil tersengih apabila melihat Mak muncul dari tingkat atas.

"Eh, Mak ada kat rumah rupanya! Selalu Mak pergi pasar waktu macam ni. Mak tak pergi pasar ke?" soal wanita itu pelik. Sekaligus mengelak dari dimarahi kerana lari dari rumah selama dua hari.

Mak berjalan ke sofa. Alat kawalan jauh dicapai. Televisyen bertukar menayangkan drama korea. "Buat apa nak beli? Dah ada orang tolong belikan.

Berkerut kening wanita berusia 27 tahun itu. Orang tolong belikan? "Siapa? Arissa? Afham?" Mustahil si Arissa, dia tu memang liat nak suruh beli barang dapur. Tapi Afham? Buang tabiat apa dia tu belikan barang dapur rumah orang lain?

"Mr Shrek." Sepatah Mak menjawab.

"Eh, dia tu takde kerja ke bazirkan duit beli barang dapur orang lain? Baik simpan duit tu untuk kahwin."

Eh?

Mak pandang Arlisya Firdaus yang masih berdiri di depan pintu. Sedar akan keterlanjuran kata, Arlisya Firdaus segera berdalih, "Ermm... Fir naik atas mandi dulu, ya Mak?"

Laju langkah wanita itu naik ke tingkat dua rumah itu.

Mak mencebik. Dah tau hati suka, gedik nak jual mahal, ejeknya dalam hati.

🐾🐾🐾🐾🐾

Arlisya Firdaus turun ke tingkat bawah semula selepas membersihkan diri. Apabila melihat ruang tamu itu kosong tanpa manusia, dia berjalan masuk ke dapur. Kelihatan Mak sedang memasak sayur dalam kuali.

"Mak nak masak apa ni? Fir tolong eh?"

"Tak payah. Dah nak siap dah. Tinggal masak sayur aje. Tolong hidang makanan. Kita berdua aje makan, Arissa kata dia pergi makan dengan kawannya, si Zulaikha tu."

Arlisya Firdaus angguk. Dia mencapai mangkuk di kabinet sebelum menyenduk lauk-pauk dalam periuk ke dalam mangkuk. Akhir sekali, barulah dia senduk nasi pula. Diasingkan nasi itu ke dalam dua pinggan untuk Mak dan dirinya.

Mak membawa sayur yang sudah dimasak itu ke ruang meja makan. Dengan bacaan bismillah dan doa, dua beranak itu pun mula menjamah makanan.

"Semalam ada orang datang." Mak memecah kesunyian

Arlisya Firdaus memutarkan bebola mata. Siapa lagi kalau bukan Mr Shrek tu?

"Bukan si Hazim. Orang kelapan sudah datang."

Hampir tercekik Arlisya Firdaus makan nasi berlaukkan ikan pari masak asam pedas itu. Dia ambil cawan berisi air kosong yang dihidang sekali tadi. "Orang kelapan? Siapa pulak ni?"

"Entah. Rasanya bukan kawan sekolah atau satu universiti dengan kau."

Arlisya Firdaus mengerutkan kening. Siapa?

Kata-kata Mak seterusnya benar-benar membuatkan wanita itu tercekik, "Mak terima pinangan dia orang."

Terbatuk-batuk Arlisya Firdaus. Merah padam wajahnya. Dia bangun dari kerusi untuk mendapatkan air lagi. Botol besar berisi air dituang ke dalam cawan plastik itu. Diteguknya rakus. "Mak!"

"Siapa suruh lari, kan dah kena pinang lagi." Selamba Mak berkata. Mak bangun lalu angkat pinggan yang sudah kosong itu. Dibawa pinggannya ke sinki di dapur.

Arlisya Firdaus segera menghabiskan sisa nasi dalam pinggan. Dia bangun dan angkat pinggan ke dapur mengikut langkah Mak. "Kenapa Mak terima? Tak boleh bincang dengan Fir dulu ke?" soalnya tetapi Mak terus berlalu keluar dari dapur. Arlisya Firdaus membasuh pinggan. Kemudian, membantu mengemas meja makan. Mak dan dia bukannya makan banyak pun untuk malam. Cukup satu pinggan. Dah biasa dari dulu.

Bukan diet atau takut gemuk eh?

Arlisya Firdaus duduk di sofa ruang tamu. Mak pula menghilang sebelum muncul dengan bakul berisi kain baju yang menanti masa untuk dilipat.

Rasa geram di hati melihat Mak buat tidak endah dengan soalannya. "Mak?"

"Hmm..."

"Mak, kenapa mak terima? Mak kata mak tak kenal. Kata bukan kawan satu sekolah atau satu U, kenapa mak terima jugak?"

"Dah tu, nak tunggu seratus orang datang rumah ni, baru kau nak mak terima ke?" Sinis mak menyoal kembali.

Arlisya Firdaus melepaskan keluhan berat. Dia mengetap bibir perlahan. Dipandang Mak yang melipat kain baju sambil menonton televisyen itu. "Macam nilah... Mak ada ambik nombor orang yang pinang Fir tak? Biar Fir selesaikan sendiri dengan dia."

Mak angguk. Dia bangun sebelum naik ke tingkat atas. Mungkin Mak simpan nombor yang diberi itu di dalam bilik.

Sepuluh minit baru Mak turun. Pelik Arlisya Firdaus dibuatnya. Mak menghulurkan kertas kecil yang tertulis nombor telefon.

"Kenapa lama?"

"Tak ingat mana letak. Tu nasib jumpa."

"Betul eh nombor ni?" tanya wanita itu. Dia pandang sepuluh nombor di atas kertas itu. Bawah nombor itu ada garisan menegak. Macam pemilik nombor itu mahu menulis namanya, tetapi dihalang.

Arlisya Firdaus menjungkitkan kening sebelah. Banyak kebarangkalian untuk huruf pertama nama pemilik nombor itu. D, H, I, R... Malah huruf A pun boleh jadi!

Serabut kepala wanita itu berfikir mengenai nama pemilik nombor itu. Dia pandang jam di dinding. Baru pukul 9 malam, tapi takpelah, esok aku call dia kat kafe.

❤️❤️❤️❤️

Double decker, double update, bila pulak nak ada double couple?

Eh tetibe je..

TIH 2 : Broken LandWhere stories live. Discover now