Epilog

1.8K 101 10
                                    

Arlisya Firdaus berdiri di sebuah pondok sekolah. Matanya mencari-cari wajah cahaya matanya. Waktu sudah menginjak pukul 1 petang, bermakna waktu persekolahan Irisz, anaknya itu sudah sampai ke penghujungnya. Sudah boleh nampak beberapa orang murid berpakaian baju uniform sekolah berjalan dan berlari-lari keluar dari sekolah untuk pulang ke rumah. Di sebalik lautan kanak-kank sekolah rendah itu, Arlisya Firdaus tersenyum apabila matanya sudah nampak Irisz.

Irisz yang berbaju pinafore dan rambutnya diikat tocang dua berlari-lari anak meluru ke arah ibunya. "Mama!"

Arlisya Firdaus mengusap kepala Irisz sebelum menghulurkan tangannya. "Jom, sayang!" ajaknya dengan nada lembut.

Irisz menyambut huluran tangan wanita itu. Dia mengangguk laju. "Irisz lapar, ma. Mama nak masak apa tengah hari ni? Papa balik tak?" tanya si kecil molek itu.

Arlisya Firdaus memimpin tangan anaknya ke kereta. Dia membuka pintu untuk Irisz sebelum bergerak ke tempat pemandu. Tangannya menarik tali pinggang keledar. "Irisz tahan kejap boleh? Mama nak pergi bank kejap. Papa tak balik tengah hari, sayang. Nanti petang kita jumpa papa, ya?" sekali lagi wanita itu mengusap kepala anaknya dan mendaratkan kucupan pada dahi gadis kecil itu.

Irisz angguk laju membuatkan senyuman pada bibir Arlisya Firdaus melebar. Dia tahu anaknya itu baik. Sangat patuh dan mendengar kata. Sikapnya sangat kontra dengan abangnya yang sudah menginjak umur 10 tahun itu, Irfan namanya. Irfan tidak hadir ke sekolah hari itu. Mengada nak ponteng, pagi tadi beriya anak lelakinya itu mengadu sakit perut. Alih-alih dia balik sekejap tadi, Irfan sedang bermain permainan Xbox. Tak ada rupa orang sakit pun.

Arlisya Firdaus mencebik apabila teringat anak sulungnya itu. Tunggulah Hazim balik petang nanti, baru dia tahu nak kecut perut.

Kereta itu dipandu jauh dari kawasan sekolah. Matanya fokus memandang jalan raya di hadapan. Tidak mengendahkan Irisz yang menekan-nekan butang radio mencari siaran menarik. Kereta itu berhenti diparkir sedikit jauh dari bank. Arlisya Firdaus menanggalkan tali pinggang keledar. Irisz juga mengikut perbuatan ibunya.

Keluar saja dari kereta, Arlisya Firdaus memimpin tangan Irisz berjalan ke bank yang terletak di hujung deretan kedai itu. Pintu kaca itu ditolak perlahan. Dia berjalan ke kaunter bank itu. Tubuh Irisz didukung tanpa dipinta. Bimbang sekiranya anak kecil itu berjalan jauh darinya. Walaupun Irisz ini baik, tapi sifat ingin tahu yang tinggi diwarisi oleh Hazim itu boleh jadi tidak terkawal. Arlisya Firdaus mendapatkan nombor gilirannya sebelum duduk di tempat kosong. Irisz didudukkan rapat di sebelahnya.

"Nombor berapa, ma?"

Wanita itu menghulurkan kertas yang tertera nombor giliran itu pada kanak-kanak perempuan yang berusia 7 tahun itu. "Satu. Lima. Empat. Sembilan. Nombor sekarang, satu, lima, tiga, sembilan." Jari kecilnya diangkat mengira berapa nombor perlu ditunggu untuk sampai ke giliran mereka.

Tindakan anak kecil itu membuatkan seseorang yang memerhati dari jauh tersenyum. Senyumannya itu tidak kelihatan kerana dilindungi oleh topeng hitam yang menutup hidung dan mulutnya. Comel!

"Sepuluh! Betul tak?"

Arlisya Firdaus tersenyum. "Hmm... pandai anak mama ni." Dia mengucup tepi kepala anaknya itu.

Dum! Kuat pintu kaca ditolak. Dua orang lelaki bertopeng mengangkat pistol di tangan. Seorang lagi memegang kayu sofbol di tangan. Melepaskan sedas tembakan. "Senyap! Aku nak kau orang semua melutut di atas lantai sekarang!"

Panik. Itu yang dirasa oleh Arlisya Firdaus. Ditarik tubuh anaknya melutut di atas lantai. Didakapnya erat. Berdegup jantungnya kencang. Dia tidak kisah andai nyawanya diambil, tetapi dia risau sekiranya anaknya yang menjadi mangsa. Semua orang yang berada di dalam bank itu terduduk di atas lantai. Cemas.

TIH 2 : Broken LandWhere stories live. Discover now