Bab 12

390 42 38
                                    

SEBAIK Anan dihantar ke rumah keluarga Syaf, dia dibawa oleh Puan Salmah ke bilik yang disediakan. Cat berwarna ungu digabungkan bersama hitam dan putih. Abstrak dan kelihatan mewah. Cadar juga tak lebih kurangnya nila bermotifkan bunga kecil putih. Anan bertawaf sekeliling bilik sambil bibirnya tidak henti mengucapkan kalimah kagum kepada-Nya.

Dahulu biliknya biasa-biasa sahaja. Kalau tidak kerana duit gaji bulanan yang diperolehi, dia sekadar beralaskan toto di lantai. Dia cuba menyimpan wang sedikit demi sedikit untuk menghiburkan diri dengan cuba menghiasi bilik yang serba kekurangan. Kini semuanya tersadai di rumah sana tapi Anan tak kisah. Dia niat hadiahkan dan menghalalkan barangan yang masih berbaki di sana.

Anan menghentikan langkah di sebuah potret kecil yang tergantung di sudut dinding di mana terletaknya meja belajar berwarna putih. Tangan kecilnya mencapai bingkai gambar tersebut dan diletakkan pada permukaan meja. Anan menarik kerusi dan melabuhkan duduk di situ.

Foto di mana sebuah keluarga di ruang tamu berpakaian sedondon warna hijau tersenyum bahagia. Pasangan suami isteri iaitu Puan Salmah duduk bersebelahan Tuan Saleh manakala Syaf dan seorang gadis yang pernah dilihatnya sebelum ini berdiri di belakang sofa membuat gaya peace no war. Anan memicilkan mata pada gadis itu sedalam-dalamnya. Siapa gadis itu? Raut wajah seiras Syaf dan yang paling penting ialah kelihatan ayu. Jarinya mengelus kepingan gambar pada bingkai kaca itu dengan senyum getir.

"Anan tak pernah ambil gambar raya macam ni dengan mama. Baju raya pun takde sebab tu Anan tak pernah datang setiap kali sambutan Aidilfitri kat sekolah," ngomel Anan perlahan. Kebetulan pintu yang terbuka sedari tadi memudahkan Puan Salmah memasuki bilik tanpa kesedaran Anan.

Puan Salmah mendekati Anan. Dia ingin mengajak Anan agar makan tengah hari bersama. Setahunya gadis itu belum sempat mengisi perut. Anak terunanya beria memberitahu Anan masih berperut kosong sebelum dijemput. Puan Salmah memanggil Anan lembut. Pantas Anan menoleh bersama senyuman kecil terukir di bibir. Mata tua itu menyorot pada tangan Anan yang memegang bingkai gambar. Tanpa sedar Puan Salmah mula membuka mulut menceritakan tirai kisah lalu.

"Perempuan dalam gambar tu Syifa' Ilani. Anak umi yang kedua dan juga bongsu," beritahu Puan Salmah.

Anan diam. Masih kaku menatap potret itu. Cemburu? Tidak, dia cuma terkilan kerana kenangan beraya bersama mama pun tiada. Dia sedar kenyataan itu pahit untuk ditelan tapi apa yang mampu dilakukan olehnya? Mempersoalkan takdir mengapa diuji sebegini biarpun berat tetapi tetap cuba kentalkan hati. Anan pujuk dirinya sendiri. Allah uji sebab Allah sayang. Dia kuat dan mampu hadapi.

"Mungkin Syifa' akan rapat dengan Anan kalau arwah masih hidup. Umur kamu sama kan tak silap sembilan belas nak masuk dua puluh kan. Tidaklah umi mempertikaikan takdir cuma umi terkenang aje dengan anak umi. Arwah dulu sekolah SMK Permai Sakti. Anan sekolah mana dulu?" kata Puan Salmah. Kenyataan itu membuatkan Anan sedikit kaget.

"Sama sekolah dan..." Anan menjujut nafas dalam. Dia sudah mengingati gerangan nama dan seraut wajah itu. Amat-amat mengenali malahan Syifa' merupakan salah satu daripada insan tersebut. Dadanya terasa mengetat. Sakit. Bagaimana dia boleh terlupa?

"Maaf. Anan sentuh barang dalam ni tanpa izin," ucap Anan dengan rasa bersalah. Dia tidak mampu lagi menghadap gambar itu. Tangannya melepaskan potret dengan terketar-ketar. Pelupuk mata bergenang. Dia berdiri biarpun tubuh badannya terasa lemah. Kenapa dia terlihat begitu lemau? Rimas dengan diri sendiri.

"Umi tak marah Anan pun. Siapa kata Anan kena minta kebenaran? Memang umi benarkan Anan rehat dalam bilik arwah Syifa'. Itu bermakna segala dalam bilik ni Anan boleh guna dan usik untuk keperluan Anan." Tubuh Anan yang hampir rebah sempat ditahan. Bahu Anan dipegang kejap. Anan mengeras dengan cecair jernih kian luruh.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now