Bab 28

326 24 0
                                    

ANAN gigih menolak kenderaan pacuan dua roda ke rumah mereka. Untunglah taman itu di hadapan sahaja. Fitur Anan gemelugut hebat sehingga dia tidak mampu menyeimbangkan diri membawa motorsikal. Jikalau degil juga mahu menunggang, bekali bakal tumbang.

Perlahan-lahan Anan meletakkan motorsikal elok di halaman rumah. Kaki menapak mendekati pintu grill, Anan ingin cepat-cepat masuk rumah sebelum Syaf pulang. Masak dia keadaan sebegini pasti akan dimarahi, bukan?

Tangan Anan menggagau mencari gugusan kunci rumah dalam poket kardigan.  Sebaik dijumpai, tangan Anan yang mengeligih kesejukan telah menyebabkan kunci jatuh berlaga dengan permukaan lantai.

Decitan halus dilepaskan. Menggigil susuk tubuh Anan membongkok untuk mengambil semula kunci. Namun entah di mana silapnya, dia terjelepok jatuh.

Anan memaut grill dalam keadaan terketar-ketar kesejukan. Dia gagahkan diri untuk berdiri namun ternyata sia-sia. Gigi mengacip bersama bibir membiru pucat. Padah seorang Anan sangat minat melakukan sesuatu tanpa berfikir. Melebihkan emosi merasuk diri berbanding akal fikiran.

Tangan Anan yang memegang palang besi juga tidak berdaya. Lemah. Bagaimana sekarang ni dia mahu masuk rumah? Habis segala aura kekuatan telah disedut keluar dan berciciran jauh. Kini sisa tenaga yang ada juga bercempera pergi selepas menyerahkan diri kepada kesedihan.

"Ya Rabbi, Anan Nurfiza..." suara garau seseorang menampan gegendang telinga. Anan meremang hebat. Gentar dan sejuk bersatu, gelugut batang tubuh kurusnya menanti masa untuk rebah dan pitam.

Bunyian derapan kaki itu mendekati dan terus mendakap Anan yang basah lencun dari belakang. Syaf mengeratkan tangan kekarnya pada pinggang ramping sang isteri sehingga tiada jurang antara mereka. Bauan maskulin kuat memasuki rongga nasal Anan mula diamati, kesayangan sang suami. Hangat menjalar membungkus tubuh Anan yang kedinginan.

Air mata lesu bercucuran deras apabila Syaf menujah dengan persoalan menghentam koklea telinga. Keras dan tegas serupa geram akan tindakan Anan. "Kau gila ke? Dah tahu nak hujan, kenapa tak balik?"

Bibir bergetar untuk menuturkan diksi. Ya Allah, sungguh dia katakan perasaan berkecamuk dengan pelbagai jeladeri emosi. Nada berbaur ketakutan meluncur dari ulas bibir, memohon pengampunan melakukan kesalahan yang menyusahkan pihak Syaf, "Anan minta maaf."

Syaf menghembus keluhan kecil. Tangan Syaf menyeluk poket sendiri, menggagau kunci rumah yang dia bawa. Dia pun tak larat untuk berbalah buat masa sekarang. Perhatian kini difokuskan pada Anan, pasti demam teruk jikalau dibiarkan lebih lama lagi dalam keadaan sebegini.

"Aku nak jawapan, awan. Bukan maaf kau." Senada Syaf berkata. Selamba tangan yang melingkari erat pada tubuh genit Anan ditarik agar bangun sama. Tidak dilepaskan waima seketika untuk menghantar isyarat haba tubuh badannya kepada Anan agar tidak larut dalam kesejukan. Pergerakan Syaf lincah kala kunci di pegangan kanan, kini membuka mangga pintu grill.

"Abang..." seru Anan perlahan.

Syaf meleraikan pelukan, tubuh Anan diangkat gagah. Dia berbisik tegas pada koklea Anan yang dibaluti tudung. "Diam, awan. Kita bincang nanti, kau kena bersihkan diri."

"Anan minta maaf, abang." Anan bersuara serak. Mata bundar yang memerah bengkak dan sembab mencari raut suaminya. Riak wajah Syaf mempamerkan ketegangan dan kebekuan semata-mata. Kecut perut Anan apabila Syaf mengunci suara dan terus mencempung dirinya memasuki rumah.

Senyum perit dia ukirkan. Pandangan Anan berbalam-balam dengan takungan cecair jernih di tubir mata masih tunak menatap Syaf. Sungguh, dia tahu Syaf sedang berperang keegoan diri agar tidak menyakitinya. Dengan itu, Anan yang gagal menahan beratnya emosi bersalah yang menghempap dia. Dada sendat menampung seksa, nafas lelah dihela sama. Lemas dibelenggu pelbagai rasa sebelum sekitarnya berubah gelap-gelita.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now