Bab 38

249 17 0
                                    

KEDUA-DUA kaki dihayun girang. Tapak tangan menampung jisim tubuh pada sisi, senyum terbit di bibir menanti Syaf yang berada nun jauh sana. Syaf dalam barisan panjang dikerumuni manusia untuk bayar tiket keluar.

Setiap plastik barangan dibeli ada di dalam troli hadapannya. Kebanyakan terdiri daripada beg plastik berjenama khas buat Anan, tapi ada juga bahan dan perkakas asas keperluan rumah. Tersusun kemas walhal Syaf memesan agar dia terus ke kereta. Entah mengapa, Anan enggan mengikuti. Dia berdegil dan keras sanggup menunggu di tapak rehat sahaja, menjadi pemerhati dari jauh.

Ikutkan Anan mahu berada di samping Syaf, tapi Syaf menegah. Katanya kasihan melihat isterinya berpenat lelah untuk beratur sama.

Sekonyong-konyong, telefon miliknya menjerit kuat. Anan segera mencapai gajet telefon tersebut dalam beg sandang. Ikon hijau digesek lantas ditekap ke telinga sendiri.

Tidak perhatikan pun baris nama yang memanggil. Kala itu, corong pendengaran sekadar menyambut bunyi keluhan berat. Seterusnya, hanya sepi menemani. Anan pula setia dan sabar menanti butir bicara pemanggil.

Berkerut seribu dahi Anan bilamana hampir seminit berlalu, bagai pungguk rindukan bulan sahaja dia di sini menunggu. Tidak bentah lagi, baru sahaja niat murni mahu menghentikan segera tergendala apabila sekali lafaz suara itu berkata.

Terenjat. Anan kaku. Mata membulat besar segera dikelipkan berkali-kali. Birai mata mula bertakung. Bergegas mata bundar Anan liar mencari kelibat Syaf. Sudah dalam perjalanan ke arahnya.

"Harriz, awak tipu Anan ke?" soal Anan, cuba tenang. Celah rengkung yang sendat, ditahan dengan tangan dikepal kuat. Kekuatan didamba, seakan tidak percaya. Namun Anan kalah kala Syaf kian berada di hadapannya. Dia tidak mahu Syaf lihatnya kalut. Pasti akan terus ditanya biarpun kebiasannya Syaf akan berikan dia tempoh masa sebelum meluahkan cerita.

Gerangan di talian sana sedang mengawal atur nafas yang semakin memberat. Air mata terlalu murah menjatuhkan isi, buat jurus kalinya berkaitan sang isteri. Dia hanya sampaikan berita, bukan pinta lebih tapi cukup diketahui oleh Anan kendatipun tahu mereka tiada pertalian darah sekalipun.

"Fiena Arisya dah tak ada."

Sejurus itu, talian dimatikan serta-merta. Syaf berdiri dengan bersilang tangan kini menjongket alis. Anan masih pegun. Mata bundar mengerjap bilis, titisan mutiara yang berkumpul akhirnya gugur. Umpama dedaun musim luruh yang tiba masa mereka melambai ke bumi fana. Berakhir riwayat indah menjadi layu, sampai waktu akan tumbuh semula menjadi subur pula. Kitaran berulang, kembali dan tiada henti.

Sama seperti proses kehidupan.

Tersentak. Tangan mulus Anan bersulam dengan sesuatu yang hangat. Dia toleh tepi, kelihatan Syaf tayang riak bersahaja walaupun jelas penuh kekeliruan dan persoalan. Tidak bertanya hal dengan lebih lanjut, Syaf terus menarik perlahan agar Anan membuntutinya.

"Abang Syaf..." Anan akur. Syaf tolak troli sebelah tangan, berjalan keluar menuju ke tempat parkir mereka.

"Aku tahu kau tak okey, awan. Take your time, I will wait."

"

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now