Bab 41

215 29 0
                                    

SEPI. Kala Anan sedar, tahu-tahu dia sudah berada elok di atas tilam katil. Nek Su turut berada di bersebelahan, sekadar kunci mulut. Melontarkan pandangan lihai pada Anan.

"Mana abang ni?" getus Anan, gelabah. Takut pula apabila Nek Su menikam mata padanya sedari tadi.

"Aku urut kau," pinta Nek Su atau lebih tepatnya pernyataan yang sememangnya tidak bisa dibantah. Kain seluar yang Anan pakai, diselak dilipat hingga ke paras lutut.

Anan buntang mata. Spontan, dia mahu tutup semula namun pergerakannya terbatas saat bertentang mata bening Nek Su. Terasa ada api menyala mengatakan kepadanya 'sila patuh arahan aku' yang menyebabkan perut Anan kekejangan.

Ekor mata Anan melirik Nek Su yang licah menggagau sebotol minyak panas. Yang anehnya, dalam botol plastik mineral selalu bawa minum tu. Risau lagi-lagi melihat Nek Su bersahaja tuangkan dalam kuantiti yang begitu banyak di telapak tangannya.

Asal macam banyak sangat tu? Keringat merenik di pelipis Anan. Resah andai kulit terbakar dengan kuantiti sebegitu. Wajah Anan memucat kala tapak tangan tua itu mula merayap pada kulitnya. Terasa dingin saat lumuran minyak disapu rata pada setiap epidermis.

Bunga kerutan mulai terbentuk di permukaan dahi. Sesekali Anan kemam bibir apabila pedih menjalar liar pada seluruh urat sarafnya. Nek Su sekadar menayangkan air muka serius sambil mengurut bahagian kakinya.

"Aku tahu kau dah tiga bulan bersama. Si Syaf pun dah usik kau sana sini, kan?" Nek Su menanya, tidak berlapik sama sekali. Kali ini, tidak dapat tidak mata tua wanita tersebut melahap raut Anan yang sudah berubah kemerahan.

Muka Anan persis udang galah terbakar. Darah menyerbu ke wajahnya tika dipersoalkan sebegitu. Anan larikan mata. Gila. Rasa segan menyelimuti dirinya. Perlukah dia menjawab atau biarkan ia terbang dibawa angin lalu seperti tidak didengari langsung?

"Sepanjang hari kau pun lesu semacam, Syaf tu pula loya tak bermaya. Kau faham apa yang aku cuba nak sampaikan?" suara Nek Su sedikit tajam dan keras. Anan angguk sebelum kepala digelengkan pula. Dia pun tak tahu reaksi apa yang harus diberi. Nek Su nak cakap tentang kesihatan mereka ke?

Tiada balasan diterima. Nek Su meneruskan urutan biasa, tidak melebih-lebih walaupun dahulunya dia merupakan tukang bidan di kampung ini. Entah mengapa, hati Anan diselubungi rasa yang merundum pilu. Sebak. Kilauan kilat terbit di celahan mata. Anan tutup mulut lantas merunduk. Mengawal sedu-sedan tangisan terluah.

Nek Su kekal beriak nihil. Setelah itu, wanita itu terangguk-angguk lantas tersenyum segaris. Dia percaya dengan firasat hatinya. Naluri seorang wanita kebiasaannya benar.

"Baring. Kau pergi rehat."

Anan kunci suara. Dia melangut atas, tidak mahu air mata terus menyirami pipi. Mata merenung siling kosong bersama emosi bercampur-baur. Kipas berputar menjadi pusat perhatian.

"Kau dengar tak aku cakap ni?" Anan jatuhkan kepala. Terkebil-kebil saat pandangan dihiasi milik Nek Su. Jari-jemari diramas sama sendiri dengan liur yang diteguk payah. Anan tunduk dengan mata bergenang cecair bening. Serasa mahu menangis kembali. Salah satunya disebabkan sepasang mata tua itu menatap dirinya seakan menembusi jasad. Ibarat kertas lut sinar hanya dengan sekali imbas.

Nek Su hembuskan keluhan kecil kala Anan masih dengan riak polosnya. Tangan menolak lembut bahu Anan ke tilam agar berehat. Tidak membantah, sekadar menurut perintah.

"Jadi, nama kau Anan Nurfiza?" soal Nek Su senada.

Anan terngadah. Air mata jatuh menitis namun cepat-cepat diseka. Dia angguk sekali, mengiakan.

"Kenapa Nek Su pandang Anan macam tu? Anan takut," gumam Anan, perlahan. Sungguh, ingin memandang terus ke mata Nek Su merupakan sesuatu yang digeruni. Gelisah saat wanita berusia di hadapannya meratah dia ibarat pemangsa yang mahu menerkam mangsanya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now