Bab 44

209 23 0
                                    

DIPEJAM celik aksa bundarnya beberapa kali. Cuba mencerna situasi. Anan dibawa ke sebuah rumah kayu gelap gelita, hanya diterangi lampu gantung yang suram.

Anan toleh tepi, jendela rumah terbuka luas membenarkan segala rasa menumpang sama. Diperhatikan panorama alam sebelum bibir mencarik senyum tipis.

Dirgantara seakan muram ditiup sarayu, dingin mencumbui kulit ke tulang sulbi. Rintik permata mulai menjunam bumi, bunyian simfoni melankolik membelai diri. Sesekali pepohon menari kiri kanan, dedaun gugur kian berterbangan.

Hangat, tapi jerih dirasai. Sejuk, tapi indah menghinggap diri.

Mengapa dia berada di sini?

Fikiran Anan bercelaru. Langkah kaki dibuka, sekadar mengikut firasat diri. Dia bawa jasad menapak ke salah satu bilik.

Sayup-sayup, suara rayuan dan esakan kedengaran. Ia berselang-seli umpama irama ngeri menampan halwa pendengaran.

Garis-garis halus timbul di permukaan dahi, pelbagai andaian bermain di fikiran masa ini. Anan yang sememangnya keliru, sekadar mengikut naluri mahu tahu.

Celahan pintu terbuka sedikit, memberi ruang untuk Anan mengintai masuk. Gerangan bayang-bayang aneh menjentik kegusaran, walang jiwa merasa tidak sedap hati. Dia disonggok dengan situasi yang seakan mimpi ngeri.

Bingkai pandangan Anan dibentangkan dengan seorang wanita yang sedang bergelut dengan lelaki hoodie. Wanita itu mamanya, Liza. Juring mata Anan berburam, rindunya membuak lebar tak terkata. Cuma, bukan ini yang diharapkan saat terbeban rasa berat menyerang hati.

Rambut Liza dijabak kuat sehingga terdongak. Rahangnya dielus lembut dan lihai, sengaja lebih-lebih lagi wanita itu seakan jijik dengan sentuhannya. Berjuraian air mata diseka hati-hati, hujung bibir menyungging sinis kala semakin deras lakrimasi menumpahkan isinya. Tidak lama sebelum fitur lemah dalam tawanan ditolak menghentam dinding.

Dek adegan yang dihamparkan, ritma pembuluh Anan mula tak sehaluan. Efek seluruh tubuh menggeligi maha hebat sekali, hampir lembik dirasakan kini.

"Mama?" suara Anan serak memanggil. Mata membulat dengan apa yang dilihat. Tangan menekup mulut, cuba untuk tidak keluarkan sebarang bunyi.

Automatik, jeritan histeria Liza bergema. Memenuhi kawasan seiring guruh menghujah buana. Kejerihan menyelusup dalam, mencucuk segala urat saraf. Retak dirasakan tulang-temulang, berderai umpama kaca sehingga lumpuh mahu melakukan pergerakan.

"Kau... Kau nak buat apa?" bergetar nadanya. Liza mengengsot perlahan bersama riak ketakutan. Rambut lebatnya kusut bersama lelehan air mata. Tangan dibawa melindungi tubuh sendiri, baju yang dipakai sudah robek disobek sehingga mendedahkan mahkota yang dijaga selama ini. Bagaikan maruahnya diperkotak-katikkan oleh durjana sesuka hati.

Persoalan Liza hanya menyebabkan sang durjana mengekek ketawa. Terhinjut-hinjut bahunya sebelum bibir itu melarik senyum sinis.

"Aku nak kau. Aku tak akan lepaskan kau!" Sekonyong-konyong, dia menerpa dengan mencengkeram leher mangsa. Tidak menjangka langsung, nafas Liza tersekat tak dihiraukan. Lengan halus terkapai-kapai mahu melepaskan diri, tetapi semakin bertambah genggaman dia pada leher. Durjana tadi ibarat dirasuk, melakukan sehingga membiru wajah wanita itu mencari oksigen.

Kala tersedar, refleks dia leraikan pegangan. Tubuh Liza terkulai layu, tercungap-cungap mencari udara. Lemah tak bermaya, fikiran masih kabur dengan keadaan sendiri. Dengusan durjana amarah terhela, nasibnya baik wanita ini tidak menemui ajal lagi. Bukan sekarang, dia masih ingin bermain boneka di hadapan sepuas hati sebelum meninggalkan kesan terbesar kepadanya. Silap Liza hanya satu, mencintai dia kerana harta. Bezanya, dia tak mampu lepaskan Liza seperti wanita-wanita sebelum ini.

Penawar Kasih Pawana | Cजहाँ कहानियाँ रहती हैं। अभी खोजें