Bab 18

362 39 0
                                    

SEUSAI menunaikan solat, terdengar pintu dikuak lebar dari luar. Anan senyum rabak apabila abah memberi salam lantas umi mara ke arahnya. Mereka bersalaman sesama sendiri membuatkan Anan sebak. Umi menyambut kepulangan abah hampir setiap hari setiap kali pulang ke rumah. Tidak dilupakan satu kucupan didaratkan pada dahi berkedut wanita tercintanya.

Ah, wajah Anan berubah tona melihatnya. Dia pula yang naik segan.

"Saya ada bawa balik moreh. Ada makan-makan sikit kat surau tadi. Marilah makan sama," pelawa Tuan Saleh lalu kaki mengorak langkah menarik tangan isterinya dan membantu Puan Salmah menyediakan juadah. Dia meletakkan bungkusan plastik berisi makanan ke atas meja.

"Awak tunggu sini lah, Humaira kita. Biar saya yang ambil pinggan dan cawan," kata Tuan Saleh dan meminta sang isteri menanti di meja makan. Puan Salmah menurut namun sempat bahu suami ditampar manja seraya berbisik. "Saya buatkan air, awak buat yang lain."

Puan Salmah berdiri semula. Dia bergerak ke kabinet dapur mengambil uncang teh.

Anak mata meliar sekeliling. Anan garu pelipis memikirkan perkara yang sepatutnya dilakukan sekarang. Kewujudan dia seakan hilang dari pandangan. Ghaib. Dia tiada selera makan sebenarnya. Lagipun Anan kekok melihat kemesraan umi abah sekarang ni.

"Anan naik dulu simpan telekung ya, umi. Nanti bila dah lapar baru Anan turun," ujar Anan tanpa menunggu balasan umi dan abah. Dia berlari seperti lipas kudung mencapai kain solat mereka lantas terus mendaki tangga. Bukan mahu mengelak cuma dia tak mahu menggangu privasi keluarga itu. Ingat umi abah tak sweet ke? Kedua-dua orang tua itu sekadar mengangguk. Karang jatuh memang padah.

Tombol pintu bilik umi abah dibuka. Sepantas kilat Anan meletakkan barangan umi sebelum kakinya tersadung rak di bahagian tepi. Bahana betul jadi manusia cuai ni. Habis jatuh berselarakan beberapa buah bahan bacaan.

Anan mula mengutip sehingga pupil mata disapa sesuatu yang menarik minatnya. Ada kepingan terkeluar daripada helaian buku. Terketar-ketar tangan mengambil kepingan foto yang terlipat dua itu. Lebih parah, bebola mata Anan tidak lepas memerhati susuk tubuh yang dikenali sedang tersenyum manis bersebelahan umi yang memangku seorang bayi. Jantungnya dipaksa mengepam laju dan aliran darah dalam badan mengalir pantas apabila potret yang jelas menggambarkan kebahagiaan keluarga tersebut.

"Mama? Macam mana umi boleh ada dengan mama?"

Mata bundar Anan semakin kabur dek empangan mulai bertakung. Dada mengetat. Nafas kian tersekat. Anan mengerut dahi sehingga keningnya saling bercantum. Bibir mungilnya digigit sekuat hati.

Pantas Anan menyelitkan semula ke dalam buku. Anan melangkah keluar dan terus menuju ke bilik menempatkan dia bersama Syaf. Pintu ditutup rapat dan mulut ditekup sebelah tangan menahan esakan. Dia takut. Mungkin semua itu bayangan dan ilusinya sahaja.

Telapak tangan kiri pula ditekap ke dada. Tercungap-cungap Anan mencari oksigen apabila kesakitan itu semakin menyucuk. Limpahan kolam di tubir mata berlumba-lumba jatuh menyentuh pipi. Hidung mula berair akibat terlalu banyak menangis.

Dia datang lagi. Kesakitan menghimpit diri buat kesekian kali. Resah dan galau atma wanitanya setiap saat kata nista yang dilemparkan terutama daripada insan disayangi sudahpun membelenggu kotak memori.

Anan berdiri dengan kaki terhuyung-hayang menjuju ke tandas. Cermin dipandang dengan lakrimasi membasahi wajahnya. Penghadang singki dipegang kuat merayu pada diri sendiri untuk menghentikan tangisan. Mengah dia mencuri nafas yang menghilang. Segala urat sendinya lemah tak berdaya. Menanti masa untuk rebah.

"Diam! Diam! Semua tipu Anan. Abang takkan tipu Anan kan?" soalnya lirih. Sesak.

Anan melangut kepala dengan jiwa sebu. Kelopak mata berkerdip merenung pantulan sendiri di hadapan kaca. Inilah gadis bernama Anan Nurfiza. Seorang yang begitu lelah dengan aturan kehidupan dia sehingga kini masih mampu melangkah.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now