Bab 49

214 18 0
                                    

BERLARUTAN. Hidupan seharian tetap berjalan, sarat sudah segala beban. Sukar sekali melangkah, lebih sulit dalaman untuk terus bertahan. Mentari tetap utuh sinarkan pancaran pagi, berganti kanvas gelita di malam hari.

Motorsikal dihentikan tepat di perkarangan surau, senyuman Anan mekar saat mata disapa para jemaah kawasan taman mulai berpusu-pusu memasuki rumah Allah itu. Hari ni, dimaklumkan ada jemputan penceramah luar selepas isyak nanti.

Anan tak mahu ketinggalan, sekali-sekala. Lagipun, dia rasa kosong di rumah seorang diri. Nak-nak usia kandungan dia sudah menjangkau tujuh bulan lamanya. Semakin sarat sehingga kadangkala dia kewalahan lakukan kerja seharian.

"Kau dah sampai?" tegur satu suara, lembut.

Anan menoleh. Pinggir bibir melarik senyum tipis dengan mata dikerjap perlahan. Mengiakan sebelum turun dari pacuan dua rodanya. Topi kalendar turut dibuka, diletakkan cermat pada bakul hadapan.

"Baru juga, acik. Anan pun tadi siap-siap lepas balik kerja, teruja pula dapat tahu program hari ni," jawab Anan, ceria. Dia mengerising kecil sebelum memperkemaskan fabrik tudung di kepala. Seusai itu, cekap tangan kian mencapai kain mukenah, disangkut pada lengan halusnya. Tindak-tanduk Anan diperhatikan sang wanita dengan garis kedutan melingkar di dahinya.

Anan angkat kening. Dikerdip kelopak mata, membundar lagi dengan renungan redup. Berdehem perlahan dengan senyuman melebar. Risau pula bila direnung sedemikian.

"Risau pula aku tengok kau. Dah nak bersalin ke macam mana? Maaf andai aku terkasar bahasa tapi suami kau masih dalam misi lagi ya?" soalnya risau. Jelas raut tua tersebut gusar dengan Anan.

Tersentak. Birai mata Anan suam, hati kecil tersentuh apabila ada yang sudi menanya. Dada Anan disengat ngilu, meligih kecil susuk tubuh bilamana dirundung sayu. Digenggam hujung kain, meramas gemas mengawal resah. Sudah beberapa kali, dia cuba cekalkan hati. Tabah mengharungi, biarpun hari-hari disirami pilu. Sejauh mana dia endahkan tentang kelibat suami, semakin kuat rasa perih mencengkam sanubari.

"Insya-Allah, Anan baik-baik aje. Suami Anan pun masih mencari rezeki di luar sana, demi keluarga dia. Moga takdir membawa dia kembali, temani Anan di sisi. Lagipun, acik..." Jeda. Anan hirup nafas dalam. Menyendat celah rengkung, pedih seakan dicucuk jarum. Dihela panjang, surutlah keperitan yang membaham hati. Dia tak kuat untuk terus menafi dan menipu tentang Sya. Setiap kali disoalkan, dia cuba tapis daripada diketahui dan tanpa membuka aib suami.

"Allah selalu ada, dia jaga kita setiap masa. Jaga Anan, jaga suami Anan dan acik juga." Tenang, Anan tuturkan. Bibir bergayut dengan senyuman, nipis tapi hambar. Cantik tetapi jelek. Manis, namun hakikatnya tawar. Dan semua itu, hanya Sang Pencipta yang ketahui. Biarlah wajah indah yang ditutup ini, usaha melindungi maruah wanitanya dan juga isteri. Kirana hanya untuk suaminya, cuma keadaan tertentu sahaja dia akan membuka. Misalnya, tika solat.

Sejurus menerima balasan tersebut, wanita itu turut tersenyum. Mempamit tangan kiri Anan, memimpin mak buyung jalan bersama. "Alhamdullilah, lega acik dengar. Mari masuk, kejap lagi nak azan dah..."

Akur. Anan mengekori, perlahan dengan air mata mengguyur laju. Seiring laungan azan kuat bergema, semakin deras berjuraian membasahi pipi.

"Anan rindu abang..." gumamnya. Benarlah, dia masih berperang dengan hati. Lara sendu kerana merindu, sakit kerana masih menagih cinta. Sukar sekali meredakan sebak yang kian menganyam dalam diri, betapa sulit topeng tebal yang dipasang tika ini.

Ya Tuhan, kuatkan aku untuk hadapi. Sunnguh, aku hamba yang dahagakan kasih sayangmu. Maafkan aku andai dikira kufur nikmat, tapi hati tetap dambakan secebis dama seperti Adam dan Hawa. Maafkan aku kerana ingin meraih cinta sesama manusia, sedangkan cinta abadi yang sejati aku masih pincang dan goyah sekali.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now