Bab 53

222 24 0
                                    

Dua tahun kemudian...

BEBOLA mata dilemparkan menala hamparan langit sore, deruan ombak berpuput menyentuh halwa telinga. Sesekali diselangi riang tawa sekeliling, berbeka sakan diiringi riuh-rendah pelancong lain. Anan jatuhkan pandangan, samudera nilakandi beralun tidak sekata. Gulungan ombak deras membadai persisir pantai, bayu petang menyapa lembut segenap epidermis wajah.

Ralit merenung, perut berkeroncong mendendangkan irama dangdut. Anan liarkan mata serata arah, harap tiada yang mendengar. Serasa tadi baru sahaja menikmati bihun goreng, tetap kecur liur tika melihat hidangan lain yang turut dibawa.

Minggu ini, butik Dursya' mengadakan hari keluarga. Widuri, selaku bos besar dengan berbesar hati mengajak setiap pekerja agar sertai sama. Merehatkan diri jauh dari bandar metropolian sekali-sekala, menghayati panorama alam ciptaan Ilahi indah tak terkata.

Pemadangan matahari terbenam menjadi perhatian, detik yang sama membawa ke memori lalu. Lekas-lekas, tangan Anan capai sandwic telur di dalam piring. Fabrik purdah diselak sedikit, menyua roti ke dalam mulut sebelum menggumam seketika. Pelan-pelan, digigit dan dikunyah penuh nikmat. Pupil mata masih dipasakkan ke laman dada jumantara, merakam segala kejadian indah ke dalam benak fikiran.

"The sunset is beautiful, isn't?"

Suara gemeresik yang dirindui terngiang-ngiang jelas umpama desir di halwa telinga. Tatapan rembut kasih turut diabdi sama, malahan riak tenang dipaparkan kala itu merejam kasar ke dasar hatinya.

"Cantik sangat, bang." Anan mengomel halus, bibit kulum senyum nanar saat mengimbas kembali kenangan lama. Sejak kelahiran cahaya mata mereka, kelibat Syaf nyata hilang dari radar. Ke mana belahan jiwanya pergi, Anan tetap menyulam nama dia dalam alunan batin saat berbicara kepada-Nya.

Dia mampir gila. Ketiadaan suami di sisi, Anan hampir hilang arah dan pendoman. Berkali-kali menyeru nama Syaf, namun mengapa terasa begitu jauh untuk insan kerdil sepertinya menggapai. Widuri insan paling banyak hulurkan bantuan, malahan penyokong semangat utama kepadanya. Resah, bertimpa-timpa segan timbul dalam diri sebenarnya.

Secara tak langsung, hubungan persahabatan mereka menjadi akrab. Sokongan padu dan pelbagai ikhtiar dicuba. Melakukan rawatan psikitiari seperti yang ditetapkan, namun turut ada perkara lain menyapa lagi. Berita tentang rekod kesihatan Nina sejak lahir, amat membimbangkan. Jujurnya, dia sangat prihatin pada Nina biarpun sekelumit perkara. Walau apapun berlaku, dia mahu anak gadis ini terus kuat semangat bersamanya. Wafiza Hanina, punca kekuatannya sehingga hari ini.

"Ma, nak ukung!" jeritan halus menerjah koklea. Membantut fikiran menerawang saujana entah di mana. Pandangan Anan bilis, mengerjap pedih lantas jari spontan menyeka birai matanya yang basah. Anan menoleh, iris bundar menghinggap pada susuk tubuh gadis seusia dua tahun yang sedang berlari-lari anak dengan kanak-kanak lain.

Sontak, Anan bingkas bangun daripada sila. Nina sudah mendepakan tangan, menanti mama kesayangan agar mengangkat dirinya. Alis nipis Anan menjungkit tinggi, meneliti atas bawah anak gadisnya sebelum koyak senyum tipis disebalik kain purdah.

"Sini Nina sayang, anak mama."

Postur tubuh direndahkan, automatik Nina melilit lengan halusnya pada batang leher miliknya. Bungkam. Amboi, budak bertuah ni laju betul ya?

Nina jarakkan wajah, mata hitam pekat mengerdip comel pada Anan. Seakan pinta izin dan tidak sabar, Anan picingkan mata sebelum geselkan hidung pada si kecil. Tawa hibur Nina kedengaran, suka bilamana mama bermanja dengannya.

Anan mengampu fitur Nina dalam pegangan, erat dan kemas membelit sang kecil. Sejurus itu, bingkai pandangan dipusatkan galak dengan renungan kasih pada Nina. Wajah merah padma memenuhi ruangan, kernyih dengan baris gigi asmaradatna tersusun rapi.

Penawar Kasih Pawana | CWo Geschichten leben. Entdecke jetzt