Bab 27

265 22 0
                                    

SAKTI. Mungkin juga ibarat magis. Sepertimana anugerah kurniaan Ilahi menghadirkan jejaka dalam hidup suram seorang gadis. Dia, Anan Nurfiza. Digelar awan pawana tanpa asbab dia sendiri ketahui. Satu hari nanti, dia ingin mencungkil maksud disebalik panggilan itu.

Tersengguk-sengguk Anan duduk bersila di atas sofa. Karin yang selesa berada pada ribanya diusap lembut bulu lebatnya. Lesu. Ruas mata juga mengeluarkan cecair bening kala menguap besar. Ngantuk.

Sunyi. Perut yang berkeroncong endak dihiraukan sama sekali. Letih merasuki diri, Anan akhirnya tewas merebahkan kepala di sisi sofa. Dia kini pulas terlelap dihambat arus lena.

Kebetulan hasrat Syaf untuk makan bersama isteri tercinta, nasib dia membawa kunci lebihan rumah. Grill ditarik, tombol pintu dipulas perlahan. Syaf mahu buat kejutan pada Anan.

Salam diberi dengan intonasi rendah. Syaf mengusung kaki memasuki kediaman mencari kelibat Anan. Namun hanya seimbas lalu, susuk tubuh Anan telah dikenal pasti. Dia menjuju ke arah isterinya yang nyenyak ketiduran di ruang tamu. Karin turut berada di situ selesa dalam dakapan Anan.

"Awan aku." Syaf membelai serumpun rambut Anan. Bibir didekatkan ke dahi isterinya dan dilabuhkan kuncupan hangat. Pupil mata menatap kirana gadis awan serupa bayi kecil yang nihil. Nafas Anan beralun tenang menandakan dia dalam keadaan baik-baik sahaja.

"Kenapa kau tak rehat dalam bilik, my cloud?" Jari dimainkan pada roman muka Anan. Bermula dari kening nipis terukir elok, turun ke puncak hidung Anan dan terhenti di belahan bibir mongel sang juita. Syaf lorek senyum segaris kala Anan menepis pelan gangguan tersebut.

Mata dicelikkan. Anan terkerdip-kerdip saat pacaindera penglihatan kian disapa seraut Syaf. Tawa kecil Anan meletus dari celahan bibir. Helaian rambutnya jatuh menutupi wajah, air mata kian bertakung di sepasang irisnya. Syaf menyelak semula rambut Anan ke belakang telinga, mata hitam itu tepat menikam muka Anan yang sudah berubah durja.

"Anan lapar. Anan tak sengaja pun, abang Syaf. Kenapa ibu marah Anan?" Nada Anan halus berbicara. Air mata menari-nari di pelupuk mata sedari tadi galak meluruh merentasi pipi.

"Kau okay, awan? Nak cerita anything pada aku ke?" soal Syaf prihatin.

Hening. Kolam mata semakin deras mengguyur. Anan mengemam bibir. Dipejam kelopak mata, membiarkan saja air mata mencemari wajah.

"Ada..." Anan membalas perlahan. Mata berbalam-balam cuba dibuka. Anan yang mahu bangkit, mengerah sekuat tenaga biarpun payah. Karin di pegangan sudah sedar kini meloncat turun. Syaf menyambut kucing kesayangan lalu dibelai manja. Anan senyum segaris dan mengampu tangan pada penghadang sofa.

Syaf lepaskan Karin ke lantai jubin, membiarkan Karin bebas menggeluyur sekitar kawasan rumahnya. Syaf mulai berdiri lalu mengambil tempat duduk di sisi Anan. Tika itu, Anan terus merehatkan kepala di bahu kekar sang suami. Lakrimasi membasahi lesu cerun pipi tanpa suara, sebak mengusai rengkung dada. Mengapa terlalu berat rasa yang membedil jiwa ini?

"Anan penat, awak." Anan berbicara lirih.

Tangan kasar Syaf memeluk Anan dari tepi. Bahu isterinya digosok lembut, menyalurkan sedikit kekuatan kepada Anan. Luluh jasad gadis awan ini, Syaf berikan secebis semangat. "Awan aku kuat. Anan Nurfiza boleh lalui semua ni."

Anan ketawa perit. Hujung baju diramas gemas. Dia menegur liur yang terasa payau. "Awak tahu kan, Anan tak sempurna. Anan hodoh dan kotor. Anan asalnya jijik dan hina, dilahirkan dalam hubungan yang berdosa. Anak haram kan, mana layak untuk abang."

Syaf kerut dahi. Berkira-kira sama ada berikan Anan lanjutkan tutur kata atau berdiam diri. Dia turut luluh kala setiap bait meluncur terus dari celahan bibir tipis Anan. Tidak bentah Anan larut dalam jeladeri emosi, batang tubuh kurus kesayangan dikalihkan posisi agar menghadapnya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now