Bab 58

258 21 1
                                    

SUDAH berapa lama dia tidak sedarkan diri? Usah tanya, dia juga tidak ada jawapannya. Pagi lagi atau sudahpun berganti rembulan pula? Yang Anan pasti, menyengat pedih dirinya kini. Tahu-tahu kepalanya begitu berat persis dihempap batu tan tak terkira banyaknya, mencucuk kuat sehingga menimbulkan bunga kerutan di dahi.

Seketika, Anan payah mengangkut jasad sendiri. Sengal segala sendi, sudah lembik seperti jeli. Tercungap-cungap menghela nafas, tandus bicara kerana kehausan. Tangan ditampung pada dinding seiring langkah yang jelas gontai menanti rebah. Terumbang-ambing umpama ranting, mungkin hanya sekilas jentikan mampu menumbangkan dia.

"Huh..." mendesis lelah, renik peluh menguncur laju menyirami pelipis. Menapak perlahan, tidak berdaya dek kudratnya sudah habis barnya. Pandangan Anan juga berbalam-balam, kabur dengan perih galak menjalar seluruh tubuh.

Perut kian menikam sakit, memohon agar dirawat segera. Tetapi jujur dia tiada selera. Sebelah tangan kuat mencengkam bahagian tersebut, mahu paksa untuk bersabar sedikit masa lagi.

Dia angkat kaki, menggeluyur masuk ke dalam kamar. Bukan ke arah dapur seperti yang sepatutnya. Keliru, Anan terus menuju sebelum membejat langkah di hadapan almari. Sontak, dia melorot lasat. Tidak larat, termengah-mengah menghirup udara dunia yang sememangnya sempit baginya.

Berteleku elok di lantai jubin, laci almari dibuka lantas mata memusat pada susunan helaian pakaian yang dilipat kemas. Lengan halus terketar-ketar, cuba mencapai sehelai kain baju lantas terus dibawa rapat ke dada.

Rongga nasal menjujut nafas, mengawal diri yang diulit rawan. Ritma pembuluh darah kian berdetak kencang, dieratkan lagi dakapan pada tubuh sendiri. Anan runduk, memejam mata sembari bibir menggeletar mengucap sebaris nama.

"Nina..." Tidak semena-mena, peristiwa dia mengorbankan nyawa demi sang kecil terlayar di fikiran. Entah bagaimana, masih terdengar jelas erangan kuatnya yang bersusah-payah mengerah tenaga demi melahirkan zuriat mereka.

Sendirian, tanpa dia. Sekian lama dia pergi, hingga saat paling diperlukan tetap tiada di sisi. Jujur, Anan terkilan namun dia cuba gagahkan diri. Darah yang membasahi, membaluti Nina benar-benar di hadapan mata.

Mengenangkan itu, cukup buatkan dadanya dilanda sebak. Peritnya membedil setiap arah, menyelusup pelusuk jiwa. Takungan menari-nari di pelupuk mata, menghangat rasa membelenggu atma. Tidak mampu menahan, Anan biarkan ia gugur. Titisan sahmura menitik, jatuh satu per satu mengena lantai.

"Kenapa tinggalkan mama?" soalnya sendu. Sebu bersulam hiba, merayap hingga ke akar umbi sehingga dia akhirnya tewas lagi. Bibir dikemam agar esakan pilunya endak meletus, bekali sekadar membujuk diri agar tidak meladeni emosi.

Entah berapa lama, detik waktu terus berlalu. Serasa begitu lama, walaupun belum seharian Nina pergi meninggalkannya.

Adakah dia dikira gagal menjaga amanat yang diberi? Tidak, mungkin ini bahagian dia. Pinjaman sementara, cukup membahagiakan walang mengubat hati yang lara. Apa Nina gembira punyai mama sepertinya?

Persoalan sering merantai fikiran, sesak semestinya itu pasti. Namun bagaimana mahu menenangkan kecelaruan yang kian memamah diri. Seakan rakus menjamah kepingan hati, lompong sekali.

 Seakan rakus menjamah kepingan hati, lompong sekali

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.
Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now