Bab 61

195 18 0
                                    

Hadiah saya, untuk kamu semua sebelum trial tak lama lagi. Selamat baca!

ANAN sandarkan belikat pada dahan pokok, rebah dengan helaan lelah kedengaran. Tangan dibiarkan gontai ke sisi, lemah tak berdaya menongkah arus dalam pembuluh darahnya. Dia angkat kepala sedikit, sembap dan bengkak sepasang aksa bundar. Larut dalam segara kehidupan, prahara hikayat duka arus kehidupan begitu keras kepadanya.

Dalam sendu perjalanan diselusuri, dia cuba koyak senyum halus. Tawar, tidak sampai ke jiwa. Berlanjutan detik tiada henti, dia sekadar menjalani nafas yang diberi meskipun separuh nyawanya sudah jauh dibawa pergi.

Desir membelai liang roma, mata dikerjap lembut menikmati asyik hembusan sentosa. Kacau-bilau dengan fikiran bercelaru, gelora sukma berantakan merana pilu. Sesekali, dia liarkan bebola iris memerhatikan sekeliling. Sepi kawasan menjadi peneman sehingga derapan kaki mampir mulai kedengaran.

"Awak datang," getusnya perlahan.

Pohon-pohon cemara berdansa pelan, gugurnya dedaun menyembah bumi. Andu berlagu indah, melatari cakralawa sore hari. Anan langut kepala tinggi, simbahan potret lembayung menghiasi kornea mata. Menyapu malas panorama, dia hanyut dalam dunia ciptaannya.

"Macam mana awak tahu, Ummar? Awak ekori Anan ke?" soal Anan, senada. Dia tidak menoleh pada gerangan tegap yang kian hampiri, membiarkan umpama tunggul bernyawa sedari tadi memerhati tanpa sebarang bunyi.

"Entah," jawabnya ringkas. Tangan menyilang fitur sendiri, dia pusatkan pada batang tubuh rendah wanita itu tajam. Lama sebelum bibirnya meletuskan keluhan panjang. Dipusing anggota badan, tegak berdiri lantas dilemparkan pandangan lasar ke hadapan.

Sepi. Kelana dalam titian keliru, Anan pilih untuk terus membisu.

"Semua pergi tinggalkan Anan sendiri." Anan mulakan beka, nafas berat dilepaskan. Ralit aksa menala jumantara, kilauan kristal memenuhi empangan mata. Entah mengapa, cukup langit cereta membawa kepada seribu satu kenangan lama.

"Mama. Ayah. Karin. Nina. Ibu." Anan sebut satu per satu. Memberat sarat empangan di tubir, mengguyur deras kala dipejam seketika. Jatuh merentasi pipi mulus, Anan ketap bibir kawal esakan. Tangan di sisi, dikepal kuat melawan getaran membungkus diri.

"Dia ada. Sentiasa ada untuk hamba-Nya," ujar Ummar, senada.

Saliva diteguk payah, celah kerongkongnya perit mahu keluarkan suara. Bibirnya koyak senyum tanpa perisa. Nanar dengan balasan Ummar, Anan cuba berbicara biarpun tekak tandus ditimpa gurun.

"Anan tahu. Cuma..." Peti suaranya pedih. Dipaksa diri menelan liur, berkali-kali sebelum menyambung bicara, "Anan terkilan dengan diri Anan."

Postur tubuh ditegakkan, posisi diubah menghadap sisi Ummar. Perjaka itu tenang bersilang tangan, memakai topi di jemala menutup sebahagian pandangan. Bebola mata Anan meratah fitur tegap lelaki tersebut, fikiran menerawang apakah Syaf masih sama seperti dahulu. Andai hadapan dia kini ialah Syaf, sungguh Anan tak teragak-agak mahu memeluknya erat.

Dia rindu susuk kesayangan yang telah jauh. Saujana entah mana, meskipun niatnya ingin sahaja menjerkah dan memarahi mengapa Syaf lakukan sebegitu. Namun di hadapan ini Ummar, ada kemungkinan tinggi dia ketahui keberadaan Syaf tetapi sengaja diam membisu memberitahu. Sekonyong-konyong, bibirnya rabak dengan senyuman halus.

Kepala didongak tinggi, dipanah tajam dan tidak dikalihkan waima secubit.

"Anan tak tahu wasiat terakhir mereka. Anan nak tahu, kenapa ibu bencikan mama sampai Anan jadi punca. Kenapa ayah ambil Anan sedangkan mereka dah lama berpisah? Kenapa Karin pergi dalam keadaan luka? Kenapa Nina mati depan mata Anan?" nada Anan melantun kuat, bertalu-talu dengan getaran. Cuba menggamit perhatian Ummar agar mendengarkan luahan hati.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now