Bab 25

359 23 0
                                    

SYAF mengerling sekilas Anan yang nyenyak dibuai mimpi. Bengkak memerah wajah kesayangan ditatap penuh sayu. Bagai menabrak lagi luka ke dalam hati sedia parah. Menyimbahkan asid pada Anan yang rapuh. Setiap kata meluncur di celahan bibir hakikatnya terlahir dari nurani yang paling dalam. Ya, dia mahu menjadi penyembuh buat gadis awan ini tetapi ada sesuatu menidakkan sehingga Syaf berasa tidak mampu menunaikannya.

Syaf berpaling menghadap raut polos Anan yang lena. Dengkuran halus dengan degupan jantung beralun tenang menandakan Anan dalam keadaan baik buat masa ini. Tangan kekar Syaf membelai rambut gadis awannya dan dibawa ke rongga nasal. Syaf pejam mata seakan asyik menghirup aroma wangian lily Anan terus memasuki sistem peparunya.

Kecanduan. Dia sukakan bauan isterinya sendiri. Syaf menghentikan perbuatannya kala sedar pergerakan Anan. Belahan bibir merah itu menggumam kecil seperti kurang selesa. Senyum tipis terlukis di wajah Syaf dan dia mendekatkan kepala sehingga dahi mereka saling bertemu.

"Don't expect too much from me, my cloud. Lebih banyak harapan kau tadahkan pada manusia, ia akan meranapkan hati kau di masa akan datang, awan. Maka, sandarkan segala pengharapan tu pada Dia. Allah takkan pernah mengecewakan hamba-Nya, sayang." Syaf menasihati dengan santun. Keluhan halus dihela perlahan.

Iris hitam pekat Syaf ralit menatap segenap inci wajah Anan bersama renungan kudus. Lubang-libu hati saat berduaan dan serapat ini membuatkan halkum Syaf bergerak-gerak. Ibu jari Syaf melukis alis nipis Anan sebelum dijatuhkan pada bawah mata isterinya dilingkari hitam. Keadaan Anan lesu sehingga ada titisan mutiara mengalir dari tepi mata mengejutkan Syaf.

Segera Syaf menjarakkan diri dan duduk bersila memerhatikan dengan air muka penuh kerisauan terhadap perubahan drastik isterinya. Anan meracau dengan air matanya yang semakin lebat luruh biarpun mata itu terpejam rapat.

Dada Anan berombak ganas dengan nafas yang tidak teratur. Sisi kepala Anan kian berkeringat dan dahi luas itu berkerut seribu. Batang tubuh Anan mulai meringkuk dan suara serak gadis awannya bergema memenuhi ruang kamar.

"Maafkan Anan, bu. Maafkan Anan," gumam Anan dengan pengucapan permohonan maaf berkali-kali meniti di bibir pucatnya bagaikan alunan zikir. Syaf pula sudah gabra pantas menggoncangkan lengan Anan agar sedar dari mimpi ngeri itu. Anan terus celikkan kelopak mata yang bengkak dan mengengsot menjauhi Syaf. Nafasnya tidak teratur bersama getaran mendakap seluruh tubuh. Dia sandarkan belikat di kepala katil dengan patella dilipat ke strenum sendiri. Tangan halusnya menggeletar memeluk lutut sendiri bersama bahu terhinjut-hinjut menempiaskan esakan. Raungan pilu bergema mengisi suasana.

"Anan tak buat semua tu, bu. Jangan pukul Anan lagi. Anan minta maaf, bu. Sakit..." Menggelugut hebat batang tubuh kecil Anan meraih simpati. Sesekali jeritan kesakitan Anan kuat menghentam gegendang telinga Syaf meluluhkan dia. Sayu dan pilu suara seorang gadis membuat rayuan tanpa henti agar dihentikan segalanya tetapi sia-sia. Butiran sahmura berlumba-lumba mengalir dari pelupuk mata. Anan tekupkan telinga dengan tangan kecilnya apabila suara jelek setiap insan membelenggu diri. Mereka yang menggelarkan dia dengan sesuatu panggilan buruk dan hina kian terngiang-ngiang menampan deria pendengaran.

"Awan sayang, pandang aku." Syaf mendekati dan direngkuh lembut rahang isterinya agar memandangnya. Dia dekatkan muka dan menghadiahkan kucupan pada dahi bersih Anan. Anan pula terkebil-kebil mengerdipkan mata bersama jejeran air mata. Keliru. Syaf jauhkan kepala dan ibu jarinya mengusap tepi bibir pucat Anan. Kering dan merekah. Sementalah tersedar, spontan Anan menepis kasar tangan Syaf. Anehnya, Syaf masih beriak tenang biarpun iris hitam itu sedikit berkocak.

Anan merunduk semula, membenamkan muka pada lututnya. Dia menyambung esakan persis anak kecil. Dia tidak suka berada dalam fasa sebegini. Lemah. Cengeng. Sungguh, Anan lelah dan mahu menghentikan segalanya.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now