Bab 26

267 19 0
                                    

PINTU pejabat ditolak. Kaki dibawa melangkah ke meja miliknya di kawasan hujung. Sebaik sampai, beg terus diletak pada meja. Syaf tarik kerusi dan duduk selesa. Dia renggangkan batang tubuh ke belakang dengan tangan diangkat tinggi.

Ummar kebetulan dari kawasan pantri, mendekati susuk Syaf yang hampir dua minggu lamanya tidak bersua. Senyum pendek diukir dan ditepuk bahu kanan rakannya. Tergemap, Syaf kaku seketika sebelum menoleh.

"Alhamdullilah, hidup lagi ya ukhti. Welcome back to work," tegur Ummar bersahaja. Cawan berisi bancuhan Nescafe di tangan selamba menumpang di meja Syaf yang masih kemas itu. Dia bersilang tangan memerhati figura Syaf yang tampak berseri. Lebih tepatnya, hampir keseluruhan berkaitan Syaf luar biasa auranya.

Syaf gulingkan mata. Menyampah.

"Muka kau nampak lain. Semua pasal kau beza sangat, mungkin aku yang dah lupa pasal kawan aku sendiri. Dah kau pun lama sangat menghilang dari radar mata aku," tutur Ummar. Senyum senget terlukis di mukanya sebelum Ummar mencapai semula cawannya dan dihirup air Nescafe memasuki ruang esofagus. Lega.

Syaf menyunggingkan senyum sinis. Dia turunkan tangan dan dibawa ke meja. Jari-jemari saling mengetuk permukaan meja menghasilkan bunyi ketukan berupa melodi. Entahlah, Syaf sendiri pun dapat merasakan perubahan dalam dirinya.

"Kau pun sama, Mar. Asal aku tengok kau serupa zombie aje, tak bermaya semacam. Ni kau minum lagi kafien..." bebel Syaf. Namun malangnya tumpuan Ummar sudah melayang ke dunia sendiri. Haram walau sebutir diksi rakan yang berceloteh tanpa henti memasuki indra pendengaran.

"Kau dengar tak, Mar?" Syaf memetik jari di hadapan wajah Ummar. Serta-merta Ummar terpempan. Mata coklat itu membulat besar dan disapa fitur ayahnya mencerlung tajam dari jauh. Tanpa aba-aba, segala ketenangan kian direnggut kasar. Air muka Ummar berubah keruh tapi cepat-cepat dikawal dengan mengukir senyum tipis.

"Stop, nak borak anything yang berkaitan luar dari hal kerja kita bincang nanti. Aku gerak dulu, Syaf." Ummar meminta diri, tergopoh-gapah dia menuju ke tempatnya semula. Syaf kerut dahi dengan perubahan mendadak sang rakan. Dia angkat bahu, membiarkan pemergian Ummar.

Segera Ummar mengorak langkah ke arah mejanya. Seakan setiap derap kaki kini diperhatikan oleh Tuan Hulaif. Dia mengepal tangan kuat sehingga uratnya menimbul. Cuba mengumpul secebis kekuatan. Ummar faham maksud di sebalik ekspresi lelaki tua itu. Ayah mahu dia melakukan sesuatu yang pernah ditentang hebat olehnya. Mungkin dahulu dia bisa lari tetapi tidak buat masa sekarang.

Ummar mengintai sedikit kelibat Tuan Hulaif. Ternyata sang ayah memberi pandangan misteri. Gajet enam inci di tangan sengaja ditunjukkan dan digoyangkan dengan kadar perlahan. Ada efek drama slow motion di situ.

Telefon di dalam poket berbunyi. Pantas Ummar mengalihkan perhatian dan menarik keluar Vivo miliknya. Dia menatal skrin dan satu mesej daripada sang ayah dibuka. Ummar membaca sepintas lalu dan senyum sinis ternaik di bibirnya. Dia angkat wajah semula, Tuan Hulaif telah pergi dari situ.

Sekali lagi dia membaca. Senyuman Ummar pudar.

+Aku rasa kau dah tahu plan seterusnya. Teruskan lakonan kau.

"Yakin sangat aku akan ikut segala arahan dia. Aku akan gagalkan rancangan mereka, sahabat. Cukuplah apa yang keluarga aku pernah buat kat keluarga kau," tutur Ummar perlahan. Lebih kepada bermonolog dengan diri sendiri.

Nafas dihembus kasar. Rambut diramas dan muka diraup lelah. Ummar bersandar kepenatan apabila mengenangkan tujuan asal mendekati Syaf hanyalah kerana ayahnya. Ada kisah lama yang masih belum terungkap. Rahsia hitam yang tersimpan rapi dengan baik sekali.

Namun seiring dengan waktu, hubungan mereka semakin akrab. Dia sering menasihati Syaf agar tidak terpesong dan mengikut dendam yang membara. Mulutnya pedas dan sarkastik tetapi semua itu kerana dia menyayangi persahabatan mereka.

Penawar Kasih Pawana | CWhere stories live. Discover now