Part 2 (edited)

95.4K 4.8K 666
                                    

Melangkah sahaja ke luar rumah, anak mata meneliti setiap kepala untuk mengenal pasti Hawwas di antara para tetamu. Ramai betul tetamu yang diundang mama, daripada wajah yang tidak asing hingga wajah-wajah baharu, dia sendiri hingga tidak kenal para-para tetamu undangan.

"Was," Bahu Hawwas Muazam ditepuk sebelum Amsyar melabuhkan punggung di sebelah kawan baiknya yang ralit dengan telefon di tangan.

"Leka betul dengan telefon. Layan buah hati ke?" Tergelak kecil Amsyar apabila melihat raut wajah Hawwas yang berkerut. Biasanya kalau melayan teman wanita, hujung bibir boleh sampai ke telinga. Kali ini terbalik pula.  Berkerut seribu kening Hawwas sambil menghadap skrin telefon.

"Cinta hati apanya, Am. Kau tak payah cakap akulah. Kau tu? Kau tak jemput ke girlfriend datang kenduri hari ni? Teringin juga nak jumpa perempuan mana yang jadi pilihan kau." Telefon di tangan diletakkan di atas meja sebelum dia menumpukan perhatian penuh pada Amsyar. Bukan selalu dapat jumpa pilot seorang ni. Sibuk betul sejak ada pangkat ni.

"Aku mana ada masa, Was. Lagipun belum masanya lagi lah. Aku rasa belum puas lagi aku bahagiakan mama dengan papa aku. Banyak dia orang berjasa untuk kejayaan yang aku ada sekarang."

Hawwas hanya mampu membalas ayat Amsyar dengan senyuman. Sejak kecil, mama kerap membandingkan dirinya dengan Amsyar. Lebih lebih lagi sewaktu berjiran dengan Amsyar dahulu. Katanya, Amsyar ini baik sungguh, sejuk perut ibu mengandungkan dia tapi Hawwas tidak pernah terasa hati kerana dia juga bersependapat. Walaupun umur mereka sama, namun ada kalanya dia akan datang pada Amsyar sekiranya dia memerlukan nasihat dan Amsyar, tak pernah henti memberikan kata semangat biarpun jauh.

"Haura habis belajar dah ke?" Soal Amsyar pada Hawwas bila habis sahaja topik perbualan awal tadi.

"Lah, kau dengan dia tadi tak ada tanya apa apa ke?" Hawwas menjegilkan mata. Bukan nak tanya tuan badan, dia pula yang kena soal siasat. Ingatkan bila dah lama tak bersua muka, perbualan lebih kepada topik yang melibatkan dia, ini tidak, Haura pula yang ditanya.

Amsyar menyandarkan belakang badan pada kerusi, air sirap yang diambil tadi diteguk. Susah betul nak jawab soalan pun. Jawab je lah, Hawwas ni pun. "Aku hantar dia pergi dapur je, Was. Bukan lepak setable."

"Habis dah. Baru lagi. Tapi, entahlah." Kata-kata Hawwas terputus, membuatkan Amsyar tertunggu-tunggu akan sambungan ayat.

"Entahlah apa? Kau cakap bagi habis lah. Separuh separuh, naik jugak darah aku ni." Ringan betul tangan Amsyar kalau nak diangkat sekarang terus ke belakang kepala Hawwas. Nasib baik sedar diri dia sedang dikelilingi tetamu yang sibuk menjamu selera. Mahu diherdik mama pula tak reti jaga adab depan orang.

"Sabarlah. Kau ni pun. Aku baru nak berdrama ni." Kerusi yang diduduki Hawwas ditolak sedikit ke belakang supaya dapat dia meluruskan kedua belah kaki dengan selesa. "Haritu, aku dengar mama cakap Haura nak bawa lelaki jumpa mama dengan papa aku. Tapi dia dah habis belajar ni...Diam je.."

"Kau tak try tanya?" Amsyar memang jarang bertemu dengan anak gadis Dato' Azham dan Datin Suhaila. Dulu, kerap kali dia bersua dengan Haura pun hanya kerana Hawwas kerap mengajak dia singgah ke rumah setiap kali pulang dari kelas tambahan. Inikan pula bila dia mula sambung belajar, memang hilang terus khabar berita. Dia hanya berkongsi panggilan telefon dengan Hawwas. Tak manis rasanya jika hendak meminta nombor telefon Haura. Kata mama, perempuan ni mudah jatuh hati.

"Kalau Am tak suka dia. Jangan bagi dia harapan. Mama tak nak nanti kalau jadi apa-apa, dah bermasam muka. Serba salah pula mama dengan Datin Suhaila nanti."

"Aku tanya haritu, dia diam je. Nampak muka macam tak selesa nak bercakap soal tu. Aku memang tak suka masuk campur tentang kisah peribadi dia walaupun aku rapat dengan dia, Am. Tapi aku rasa macam ada benda tak kena. Apa kata kau tanya dia?"

Peluang Kedua Buatku [𝒸]Where stories live. Discover now