Part 17

72.3K 3.5K 586
                                    

Sementara Amsyar menunggu Haura bersiap, badan disandar ke kereta. Tangan ralit pada telefon di tangan. Hawwas dari habis majlis hari tu, sibuk mengajak dia keluar. Katanya lama tak jumpa. Malas hendak melayan kerenah Hawwas. Memang lah sudahnya keluar dengan abang ipar sendiri, tapi tak akan lah sampai hari pertama kahwin pun hendak bersua muka. Naik muak.

Kata Hawwas, beberapa hari lepas dia terserempak dengan Ameera. Ditanya lagi tentang Amsyar. Bila ditanya kenapa, tak ada jawapan. Hanya sekadar senyuman.

Hari Ameera datang ke rumah, mama sudah pesan dari awal. Rahsiakan lah hal yang lepas daripada Haura. Benda tak penting, tak perlu diungkit. Serba salah pula. Bagi dia, Haura berhak tahu biar tak timbul syak wasangka.

Dalam pada Amsyar berfikir, Haura menghampiri, terus dibuka pintu kereta bagi si isteri masuk.

"Abang fikir apa?" Soal Haura. Dari raut wajah tadi macam ada yang tidak kena.

"Tak ada apalah, Haura. Abang singgah pangkalan sekejap lepas beli barang, boleh?" Dua tahun lepas, dia tak dapat ikut serta. Ikutkan tahun ni nama dia sepatutnya naik.

"Boleh. Haura nak baca senarai mama bagi ni. Abang dengar betul betul!" Sebelum dia keluar tadi, mama ada lekatkan pad memo pada peti ais. Semua ditulis. Berapa yang perlu diambil, besar mana, berapa biji. Lebih terperinci daripada senarai Mek Jah hari tu. Rindu pula pada Mek Jah. Siapa agaknya nak melayan mengidam dia sana sini.

Tiba sahaja di Econsave, Haura lebih ralit memandang para isteri. Tampak sangat arif memilih barang itu ini. Sikit pun tidak berpaling pada suami meminta tolong. Tidak macam dia. Haura sedar, banyak kekurangan diri sebagai seorang isteri. Banyak yang perlu belajar. Memo pad berwarna kuning di tangan digenggam erat. Segan pula bila dia minta bantuan Amsyar.

"Mama suruh beli apa tadi, sayang? Abang nak tengok senarai kejap." Tangan Amsyar dihulur pada isteri, lupa semua barang yang Haura baca dalam kereta tadi.

"Tak boleh." Nota di tangan dibawa jauh dari tangan Amsyar.

"Kenapa?" Haura ni suka berdolak dalih agaknya. Rasanya tadi diminta tolong untuk cari barang basah. Dah sampai, tak bagi tengok pula senarai tadi. Tak akan hendak main kaut pula. Soalan Amsyar dihiraukan.

"Sayang, abang nak tengok senarai barang sekejap, boleh?" Sekali lagi Amsyar pinta, tangan dihulurkan semula.

"Haura nak cari sendiri."

"Kata nak abang tolong?" Amsyar mengedipkan mata biarpun Haura menetapkan pandangan ke hadapan. Entah apa yang ditengoknya.

"Tak nak lah, abang. Haura boleh cari sendiri."

Amsyar hanya mendiamkan diri. Kalau itu yang Haura cakap, dia turutkan sahaja.

"Abang tak percayakan Haura kan?" Biasanya percakapan dia dibalas dengan jawapan, kenapa Amsyar diam pula kali ni.

"Abang tak cakap apa, sayang." Dia bernafas sahaja pun dituduh. Lagi teruk dari mama ni.

"Habistu kenapa abang diam?"

"Abang..diam je? Haura, kenapa ni?" Tangan isteri dipaut, dibawa dekat ke badan. Bertalu talu dia dituduh, bernafas pun salah.

"Tak ada apalah. Abang tunggu sini. Haura pergi cari barang mama nak."

"Haura—" Pandang wajah dia pun tidak, Haura terus pergi meninggalkan dia seorang. Kalau ada orang goda, baru tahu. Amsyar menghela nafas sebelum dia mengatur langkah ke bahagian gula gula. Kalau tak nak dia tolong tak apa, dia cari mentos sour mix.

Dua bekas mentos sour mix di bawa dalam tangan. Mata liar masih mencari isteri yang entah ke mana.

Mata Haura tak lekang dari pad memo. Nasib lah, sesetengah bahan sudah bertulis nama. Senang dia cari. Dalam pada sibuk mencari, baru Haura perasan mama suruh beli ikan. Sudahlah dia geli dengan ikan. Hendak minta tolong Amsyar, jatuh imej dia. Padahal tadi dia juga yang terlebih yakin.

Sudah dicela, dipuji kembali. Akhirnya Haura mengatur langkah, menghampiri Amsyar yang masih berdiri di tempat yang sama dia tinggalkan, kali ini dengan gula gula di tangan.

Belum lagi dia buka mulut, Haura sudah mula rasa bahang naik ke pipi. Malu, segan.

Memo pad dan bakul yang digenggam Haura diambil oleh Amsyar tanpa sebarang kata.

"Abang tolong, boleh?" Soal Amsyar.

"Haura takut nak pegang ikan.."

"Abang tahu, Haura. Jom, abang ambilkan." Tangan berpaut balik pada tangan Haura lantas langkah diambil menuju ke bahagian barang mentah. Tercuit sikit hati bila Haura datang pada dia dengan segan silu, bagaikan kanak-kanak. Tidak jadi dia hendak mengusik. Ada juga yang merajuk seminggu lama karang.

"If anything's ever too complicated for you, you do know that I'll do it for you, right, sayang? Lagipun abang suka tolong Haura carikan barang selagi abang tengah cuti ni. Esok lusa dah mula training, barulah Haura boleh cari sendiri."

••

"Takut pula saya, ye, bang?" Puan Khadijah menggigilkan bahu, bila terfikir balik cerita rakan lama dia tadi.

Niat sebenar ingin melawat orang sakit. Anak Puan Jenab terlibat dalam kemalangan, semalam baru dibenarkan pulang ke rumah. Serta merta, diajak suami untuk datang melawat. Terpaksa jugalah ditinggalkan pasangan pengantin di rumah.

"Awak takut apa, Jah?" Soal Encik Ilham, melihat reaksi si isteri.

"Menantu si Jenab tu. Apa agaknya dalam kepala dia bila dibenarkan si anak kahwin dengan perempuan macam tu. Itulah, sebelum diberi restu, tak soal selidik terlebih dahulu. Tak pasal pasal, menantu lari dengan cucu, ditinggalkan anak sendiri terkontang kanting hanya kerana tergila gilakan lelaki lain. Murah betul harga diri perempuan sekarang. Tak tahu saya kalau Amsyar jadi macam tu. Nasib baiklah, Haura tu sebaik baik wanita. Satu cacat cela pun tiada."

Encik Ilham menggelengkan kepala, kesal, tidak sangka isteri dia sampai mengungkit hal rumah tangga orang sampai macam ni sekali. "Mungkin itu dugaan dia, Jah. Awak jangan cakap lebih. Kena dekat batang hidung sendiri, baru awak tahu. Hidup ni, kita tak boleh duga simpang siurnya di mana."

"Eh, Haura tu baiklah, bang. Tak macam menantu si Jenab tu ha. Dah berapa kali bersama dengan lelaki lain, anak si Jenab tu orang ke berapa agaknya. Alhamdulillah, Amsyar pandai pilih perempuan nak dibuat menantu, kan, abang?"

Encik Ilham diam, dibiarkan isteri borak seorang diri. Sudah ditegur, tidak mahu dengar. Bukanlah dia mendoakan benda buruk atas rumah tangga Amsyar, anak dia sendiri. Elak kerana mulut Puan Khadijah, rumah tangga Amsyar yang diduga. Sudahlah orang tu baru berkahwin.

"Eh, tapi betul lah, abang. Buatnya si Amsyar tu tak berkenan dengan si Haura. Dikutip nya perempuan entah dari mana nak dijadikan isteri. Abang rasa saya nak benarkan ke?" Tambah Puan Khadijah.

Anak mata Encik Ilham hanya pada jalan raya di hadapan. "Kalau perempuan yang dibawa balik tu sebenarnya dah berubah, apa salahnya."

"Abang gila? Amsyar tu baik budaknya. Saya ada hak buat pilihan dalam hidup dia. Saya yang bentuk dia macam tu."

"Habistu, maksud awak sekarang, perempuan tu berubah lah macam mana pun, awak tetap akan tengok pada kisah silam dia?" Tegur Encik Ilham. Jauh terpesong pemikiran isterinya.

"Kisah silam seseorang tu membentuk perangai dia yang sekarang. Orang ni boleh berlakon, bang. Kadang dia berlagak aja baik, dalam diam, masih sama dengan dia yang dulu. Abang tengok menantu Jenab tu. Siap bawa lari cucu sebabkan jantan lain."

"Habis itu semua orang tak layak ada kisah silam ke, Jah? Awak ni cakap main lepas aja."

"Saya tak cakap macam tu, bang. Maksud saya, kalau seseorang tu pandai membuat pilihan dengan elok, tak adanya kisah silam dia teruk." Terang Puan Khadijah.

"Tak baik awak cakap macam tu. Mahupun si Amsyar tu dijodohkan dengan perempuan kisah silamnya hitam, itu pilihan dia. Pandailah dia buat pilihan, pandailah dia pikul tanggungjawab dia." Tegur Encil Ilham lagi.

"Saya tak kisah. Syurga Amsyar, terletak di kaki saya, abang. Besar macam mana pun, dia patut pertimbangkan saya dalam pilihan hidup dia. Minta dijauhkan hidup anak saya daripada perempuan yang tak reti jaga harga diri, ya Allah. Baik masa silam dia sekalipun."

"Habistu, awak tak ada kisah silam, Jah? Awak tak pernah buat dosa?" Soal Encik Ilham.

"Abang ni, mulalah. Tak ada kena mengena dengan saya."

Peluang Kedua Buatku [𝒸]Where stories live. Discover now