Special chapter (Eid)

20.8K 1.8K 341
                                    

"Anyak!"

"Pakailah, Emir. Cantik! Tengok ni, cantik!" Bertubi-tubi sudah kata pujian yang diucap Haura untuk menarik minat si kecil namun semuanya tidak membuahkan sebarang hasil. Hampir setengah jam sudah sesi pujuk memujuk, Emir masih lagi berkeras. Ikut perangai siapa lah agaknya. Degil betul!

Tangan kecil Emir terus menerus menolak sampin di tangan Haura. Bertaut kening si kecil, semakin tembam kelihatan kedua belah pipinya. "Mir anyak!" Terkedek-kedek Emir menapak pergi, laju langkah diambil biarpun terhuyung-hayang.

Keluarnya Amsyar dari bilik air, kedengaran bunyi mengekek si kecil.

"Emir Raees! Ish!" Kuat suara Haura memanggil , tangannya masih lagi memegang samping kecil.

"Adda!" Masuknya Emir ke bilik, kaki Amsyar terus dipeluk erat. Meleret-leret tawa yang keluar dari mulut si kecil sambil cuba bersembunyi di belakang Amsyar.

"Abang, tengok Emir ni!" adu Haura.

"Kenapa, sayang? Main kejar-kejar ke pagi raya ni?"

"Ish, bukanlah! Dia tak nak pakai samping!" Geramnya pada anak tapi suami yang dijeling tajam. Lengan Amsyar dicubit berulang kali.

"Aduh! Sakit, Haura." Laju tangan Amsyar memaut lengannya yang menjadi tumpuan serangan. "Daripada Haura cubit abang sampai lebam, baik Haura tolong abang pakai samping. Boleh, sayang?"

"Samping Emir ni?" Anak mata Haura turun pada si kecil yang masih memaut erat kaki si suami.

"Anyak!" Bergoyang-goyang tapak tangan si kecil. Giliran Emir pula menjeling pada Haura.

Laju tangan Haura naik mencubit pinggang Amsyar sekali lagi. "Ish, geramnya Haura!"

Merunduknya wajah Amsyar, terkelip-kelip si kecil. Melopong mulut Emir seolah-olah faham dengan apa yang ditutur Haura.

"Abang tunggu sekejap tau, Haura ambilkan samping."

"Emir lah ni. Habis daddy kena marah." ujar Amsyar pada si kecil sebaik sahaja si isteri masuk ke ruangan almari baju.

"Mir?" Tapak tangan Emir kini ditekap pula pada badannya sendiri.

"Emir lah, siapa lagi? Tak Emir, daddy. Tak daddy, Emir. Kita dua je yang selalu buat mommy bebel. Kenapa tak nak pakai samping, sayang?" Bertinggung Amsyar di hadapan si kecil, samping yang diberi si isteri tadi diangkat semula. "Bagi daddy pakaikan, boleh?"

"Anyak!"

"Okey, okey, tak payah pakai. Jangan lari, jatuh nanti, Emir." Berat nafas yang dihela Amsyar apabila si kecil mula menapak mengelilingi bilik.

"Abang nak pakai yang mana satu?" Dua helai samping diangkat separas wajah Haura.

"Haura rasa yang mana lagi sesuai?" Sesaat anak mata Amsyar dibawa pada si kecil yang terumbang-ambing berjalan mengelilingi si isteri.

"Haura rasa...kalau abang pakai yang kiri, lagi handsome!"

"Okey, abang pilih yang kiri." Kedua belah kaki Amsyar menyarung samping yang dihulur isteri, sekali sekala diperhatikan si kecil. Bukannya boleh si Emir ni. Pantang leka, ada sahaja yang hendak dikutip masuk ke dalam mulut.

Berdiri semula Haura berhadapan dengan suami, bahagian kiri dan kanan samping Amsyar dicapai. Tangan kiri ya menarik tegang bahagian samping sebelum dibawa ke bahagian tengah, ditindan pula dengan bahagian kanan.

Sibuk Haura merapikan samping suami, ralit juga Amsyar meneliti wajah isteri. Ulas bibir Haura yang seakan mencebik tatkala terlampau fokus akan sesuatu sentiasa menjadi sebab di sebalik senyuman Amsyar.

Peluang Kedua Buatku [𝒸]Where stories live. Discover now