Part 26

70.2K 3.4K 697
                                    

Amsyar tersedar dari tidurnya yang lena pada sepertiga malam, tersentak bagaikan ada yang menarik rohnya pulang ke badan. Kepala menoleh ke isteri yang masih nyenyak dalam dakapannya. Entah kenapa, suka betul Haura dengan lengan dia. Bantal yang cukup empuk ada, hendak juga menyendeng pada Amsyar. Biarpun merungut dalam diam, dalam hati sebenarnya suka sangat. Betul lah kata mama, orang lelaki memang suka dengan sikap manja perempuan ni, lagikan pula isteri sendiri.

Terniat dalam hati untuk mengerjakan tahajjud. Mungkin dia tersentak dari mimpi merupakan panggilah dariNya untuk tunduk sujud padaNya. Seakan Dia tahu betapa beratnya hati dia sekarang. Perlahan kepala Haura diubah pada bantal sebelum Amsyar bangun mengambil air wudhu. Selesai dua rakaat, lama Amsyar duduk atas sejadah. Termenung. Perkataan mama kembali terngiang dalam kepala. Ya Allah, beratnya dugaan dia. Andai dia boleh belah diri dia. Sudah lama dibelah, satu diberikan sepenuh tanggungjawab sebagai seorang anak, satu lagi diberi tanggungjawab sebagai suami.

Kedua tapak tangan diangkat, mengingatkan diri dia hanyalah seorang hamba di muka bumi ini.

"Ya Allah, andai ada hati yang memandang isteriku dengan kebencian, Kau lembutkanlah hatinya.  Andai ada yang terluka kerana aku, Ya Allah, Kau sembuhkan sakitnya. Andai ada hati yang berniat untuk menyakiti isteriku, Kau hindarilah.

Aku mohon, Kau perlihatkanlah kebaikan isteriku andai ada hati yang memperlihatnya dengan keburukan..aku tak mampu mengubati hati manusia kerana sesungguhnya hatiku dan hati mereka milikMu sepenuhnya."

Haura memusingkan badan, menghadap ke kanan, hilangnya pelukan daripada Amsyar membuatkan dia terus terjaga. Bila dia bangun, anak mata menoleh ke arah ruang solat, nampak Amsyar atas sejadah, termenung seakan memikirkan sesuatu. Tangan menggosok mata, kaki dibawa melangkah perlahan ke suami.

"Abang? Kenapa abang tak kejut Haura. Kalau tak boleh tahajjud sama-sama..." Badan dibawa duduk bersimpuh sebelah Amsyar, kepala Haura disandarkan pada lengan. Dengan serta merta, Amsyar mengusap kepala isteri.

"Haura nampak lena sangat tidur, abang tak sampai hati nak kejut. Kenapa Haura bangun ni?"

"Haura pusing tak ada abang kat sebelah. Dah lah 2 minggu Haura kena tidur seorang.." Perkataan yang keluar dari mulut Haura menjadi kurang jelas kerana malas hendak buka mulut besar, menggunakan banyak sangat tenaga tengah malam ni. "Abang mengadu apa dekat Allah..?"

"Abang minta Dia jaga awak. Abang kan kena tinggalkan awak 3 minggu, siapa lagi yang abang boleh letak harapan melainkan Dia."

Ikutkan hati, hendak sahaja Haura menangis saat tu juga. "Abang nak tahu tak.."

"Tahu apa, sayang?"

"Dulu, waktu Daniel buang Haura macam sampah, Haura selalu ingat...tak ada orang yang boleh sayang Haura macam dia sayang Haura.."

Air mata Haura yang jatuh ke pipi diusap Amsyar. Tak pernah tak menangis agaknya isterinya ni kalau bercakap. "Abang ambil awak tak lari bagaikan sebuah berlian, sayang. Buanglah macam mana pun, dikeji lah macam mana pun, saya tetap rasa awak sempurna. Kesempurnaan yang melengkapkan hidup saya. Sebelum Haura setuju nak kahwin dengan Am lagi, setiap kali Am nampak Haura, Am selalu minta Dia untuk jagakan Haura untuk Am. Abang bangga Haura jadi milik abang. Dalam kurang dan lebihnya diri awak."

Tertawa Amsyar bila lebih banyak air mata Haura yang jatuh ke tangannya. Haura menoleh ke arah lain, segan bila dia asyiklah menangis depan Amsyar. Seakan budak-budak. "Jom, tidur? Kejap, bagi abang lipat sejadah dulu."

"Haura sayang abang.." Perlahan suara Haura sampai ke telinga Amsyar.

"Hm?"

"Haura— tak ada apalah." Terlepas cakap pula. Cepat Haura bangun untuk ke katil semula.

Peluang Kedua Buatku [𝒸]Where stories live. Discover now