Bab 50: Akhir

1.8K 200 32
                                    

5 bulan kemudian

Adan menghirup kopinya sambil melihat pemandangan dari balkoni rumahnya. Dia dapat melihat bangunan-bangunan tinggi dan jalan raya yang berselirat. Semua kenderaan yang berpusu-pusu menuju ke destinasi masing-masing, cuma bezanya adalah cepat atau lambat mereka tiba ke destinasi.

Terdapat getaran pada poket seluarnya. Dia menyeluk dan mengeluarkan telefon pintar.

Adan masuk kembali ke ruang tamu. Cawannya diletakkan di atas meja kopi kaca. Dia duduk di atas sofa sambil melihat skrin telefon bimbit.

Terdapat satu mesej dari nombor yang dikenalinya. Dia menarik nafas panjang sebelum membuka mesej itu.

'Kami dah berjaya bunuh Jerry, terima kasih kepada kau sebab bagi maklumat. Seperti yang kau minta, aku dah dapatkan fail oren tu'

Adan membaling telefon pintarnya ke atas sofa di sebelah. Dia bersandar dan dia tersenyum. Akhirnya dia berasa sangat tenang. 

Polis tidak dapat menangkap Jerry, tetapi dia tahu orang jahat seperti Jerry mempunyai banyak musuh. Musuh-musuh inilah yang akan membuat apa sahaja untuk mendapatkan Jerry. Sebagai orang kanan Jerry, dia mempunyai pelbagai maklumat berharga yang boleh diberikan.

Adan bangun. Dia membuka pintu dan melihat sebuah fail oren lusuh di lantai. Sempat dia melihat ke kiri dan kanan, namun tiada sesiapa.

Fail oren itu diambil dan dia masuk ke ruang tamu semula.

Dia membuka fail oren itu dengan berhati-hati.

Kes #19960410

10/04/1996

Misi: Mendapatkan kembali bukti-bukti dari Huzir dan membunuh Huzir.

Lokasi: Huzir melarikan diri ke Nest Apartment bersama bukti-bukti.

14/04/1996

Setakat ini sudah 13 orang gagal mendapatkan Huzir dan mati di Nest Apartment disebabkan dubuk-dubuk yang berkeliaran. Mustahil untuk memasuki apartment itu.

16/04/1996

Mula menghantar helikopter untuk memantau setiap blok. Kelibat Huzir masih tidak kelihatan.

19/04/1996

Berjaya membunuh Huzir. Namun begnya yang mengandungi bukti tidak dijumpai sama sekali.

20/04/1996

Bukti-bukti itu sudah diperolehi polis dan wartawan. Misi gagal.

Adan menutup kembali fail oren lusuh itu. Dia menghirup kopinya. Dia sedar, misi itu gagal 21 tahun dahulu kerana dialah orang yang bertanggungjawab memberikan bukti-bukti itu kepada polis, dan membuatkan Jerry terpaksa hidup sebagai pelarian.

Namun, Jerry tidak tahu tentang itu. Disebabkan itulah, Jerry dengan angkuhnya menghantar dia dan yang lain untuk mendapatkan Huzir dan bukti-bukti itu.

Jerry mahu mengubah masa depannya, tetapi hakikatnya dia tidak mengubah apa-apa.


🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤🐤

Setahun kemudian (2018)

Aleya berdiri sambil sebelah tangannya memegang pemegang tren LRT. Dia hanya memandang ke arah luar tingkap, dan telinganya disumbatkan fon telinga untuk mendengar Spotify.

Enam TerpilihWhere stories live. Discover now