Bab 20: Kisah Lama

1.9K 182 8
                                    

Mereka berlima berehat di sisi sebatang sungai setelah hampir enam jam berjalan menuju ke kawasan hutan yang lebih tinggi. Setinggi mana, itu tiada sesiapa yang tahu, asalkan 'buah dewa' yang dikehendaki lelaki perigi yang aneh itu dapat ditunaikan.

Sejujurnya, kadar keberangkalian untuk menjumpai buah tersebut adalah 10 peratus, itu pun jika terdapat keajaiban yang berlaku. Matematiknya adalah, 'ajaib apabila perkara yang baik berlaku, dan aneh apabila perkara buruk berlaku'. Setakat ini, hanya terdapat perkara aneh sahaja.

Keadaan badan yang tidak selesa menyebabkan mereka membuat keputusan untuk membersihkan diri setelah sejak tiba di sini, mereka tidak pernah mandi walau sekali. Segala bau-bauan peluh masam daripada badan masing-masing terpaksa dihinggapi deria hidung dengan penuh tabah.

Aleya dan Hani pergi agak jauh daripada tempat berehat sementara mereka, untuk melindungi privasi. Keadaan kaki Fuad, Adan yang lemah akibat bermuntah darah, dan personaliti Ezlan yang dikenali Aleya, tidak mengkhuatirkan jika para lelaki itu mahu mengintai mereka atau apa pun.

Setelah 10 minit, Aleya dan Hani naik semula ke atas tebing dan memakai pakaian kering. Mujur, Aleya telah membawa segala peralatan mandi di dalam begnya. Jemputan misteri yang diterimanya membuatkan dia bersiap sedia jika dia perlu bermalam di Perlis. Ternyata, bukan di Perlis, tetapi di hutan aneh ini.

"umur awak berapa, Hani?" Aleya memulakan topik perbualan ketika mereka berdua sedang duduk di tebing sungai dengan rambut yang basah. Sudah dua hari mereka di sini, tetapi dia langsung tidak mengenali wanita genit bernama Hani ini.

"23. Awak?"

Mata Aleya dibeliakkan, "alahai, muda rupanya. Saya 26"

Hani tersenyum, "nak saya panggil awak kakak Aleya tak?"

"tak payah" kata Aleya pantas. Perempuan, biasalah... panggilan pangkat mengikut umur sangat penting walaupun beza hanya beberapa bulan.

"umur Ezlan berapa?"

"26 juga"

"26 dan tak kahwin lagi?"

"awak cakap pasal saya ke Ezlan ni?" Aleya terasa.

"yelah, kalau awak berdua sama-sama single, baik kahwin je. Senang cerita" cadang Hani sambil mengenyitkan matanya.

"memanglah senang cerita. Tapi tunang dia tu nak campak kat mana?"

Hani terkejut, "Ezlan dah bertunang?"

"saya dengar ceritalah. Tak tahu betul ke tak" Aleya berusaha membuat muka tidak kisah.

"oh, jadi selama ni awak update juga lah pasal Ezlan" Hani tersengih lebar.

"tak payah nak merepek. Bukan saya yang nak ambil tahu, tapi kawan-kawan saya yang bagitahu, okay?" bidas Aleya. Lingkungan kawan-kawan Ezlan adalah sama dengannya, jadi secara tidak langsung sekali sekala dia akan mendapat info tentang diri Ezlan. Kalau boleh mahu sahaja dia memadamkan nama Ezlan dalam hidupnya, tetapi itu tidak mungkin.

"yelah Aleya, saya faham" Hani tersenyum penuh makna.

Aleya tidak menjawab apa-apa. Baginya, Ezlan adalah salah seorang yang pernah menjadi sejarah hidupnya. Dia tidak kisah jika Ezlan mahu bertunang atau berkahwin sekalipun, kerana jika dia masih sukakan lelaki itu, dia tidak akan memutuskan hubungan mereka pada 7 tahun dahulu.

"satu lagi soalan"

"apa lagi?" Aleya berpura-pura bengang. Hani ini memang seorang yang pendiam, tetapi sekali sekala banyak juga soalannya.

"Apa benda yang awak paling rindu sekarang ni?"

"wow, randomnya"

"cepatlah, apa?"

Enam TerpilihWhere stories live. Discover now