AKU: Seorang Yang Gagal

366 12 0
                                    

Mungkin, terlalu ekstrim untuk aku perkatakan yang aku ini seorang yang gagal. Seorang yang, entah. Terlalu takut untuk melanggar norma, untuk bercerita tentang apa yang aku lalui sedari dulu selaku seorang yang terpaksa bersembunyi di dalam gerobok, tanpa mempunyai ruang dan peluang untuk keluar; melainkan untuk menunjukkan tentang hakikat aku yang gagal.

Tidak mampu untuk mengubah destini sendiri, tidak mampu untuk menukar arah ke mana takdir membawa aku. Hanya berharap pada satu entiti yang aku percaya tidak akan berubah sama-sekali; telah ditetapkan untuk sebegitu sampai akhir nanti. Tidak akan lari daripada apa yang aku bayangkan sebagai satu jalan tidak berlampu di kanan kiri.

Secara dasar, aku memerlukan sesuatu (baca: seseorang) untuk aku jadikan sebagai tongkat tempat aku berpegang-paut ketika aku sedang mencari jalan. Sesuatu yang bagi aku, lebih dari suatu objek semata yang aku gunakan untuk meraba dan menunjuk jalan. Sesuatu yang secara harfiahnya, adalah pembantu yang tidak jemu.

Kerana, untuk aku berevolusi sebegitu, aku memerlukan pemangkin yang tidak bosan dalam menunjuk jalan buat panduan aku; tidak bosan untuk membantu aku kembali berdiri bila mana aku mengambil keputusan untuk duduk diam tanpa meneruskan perjalanan. Yang akan menggantikan cahaya yang hilang semasa aku menelusuri jalan yang gelap.

Sesuatu yang ada di saat aku jatuh terjelepok, yang kekal menjadi anduh untuk aku meneruskan perjalanan, teman untuk aku meluahkan segala. Teman untuk aku bercerita tentang mereka-mereka yang celaka. Teman untuk aku menjadi manusia biasa yang punya rasa. Teman untuk aku beri separuh nyawa.

Dan, tiba hari itu, AKU: Bukan Seorang Yang Gagal.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now