Tuhan, Panjangkan Umur Aku

7 0 0
                                    

Aku adalah seorang yang tamak. Memikirkan langkah-langkah yang terkehadapan sambil meninggalkan perkara-perkara yang telah aku jeling dan katakan 'bedebah'. Seorang yang gagal dalam mengambil iktibar, dan seorang yang acap kali ketawa memikirkan mereka-mereka yang tidak sampai ke tahap untuk aku perkatakan sebagai 'layak'.

Dulu.

Aku sekarang acap kali duduk dan bertanya kepada diri sendiri. Segala langkah terkehadapan yang aku bayangkan, adakah aku akan mampu untuk melihat diri sendiri berjaya mencapainya? Atau aku akan menjadi seperti mereka-mereka yang aku ketawakan? Adakah aku bakal kecundang di tengah jalan dan hanya mampu meratap mengenangkan perkara-perkara itu yang akan sampai kepada mereka-mereka yang seperti aku? Mampukah aku terus memvisikan diri sendiri melihat perkara tersebut bakal menjadi, atau Tuhan akan menyampaikan salam sinis semasa tiba untuk aku meninggalkan segalanya di ceruk penjuru?

Iya. Aku pada hari ini sering mengharapkan supaya Tuhan, panjangkan umur aku, dan aku rela menjadi seperti mereka-mereka yang tenang menunggu perkara-perkara itu datang tanpa melihat terkehadapan seperti yang aku lakukan tiap-tiap hari. Tuhan, panjangkan umur aku supaya air mata yang sepatutnya keluar saat salam Kau sampai itu tidak akan pernah mengalir kerana penyesalan dan kesalahan dalam mengukur kemampuan diri.

Tuhan, panjangkan umur aku untuk terus merasa nikmat menarik dan menghembus nafas dengan tenang dan mudah.

Tuhan, panjangkan umur aku untuk terus bermimpi akan perkara-perkara yang terkehadapan.

Tuhan, panjangkan umur aku untuk terus membina mimpi yang walau ada sedikit peluang untuk terus berpijak lagi.

Tuhan, panjangkan umur aku.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now