Tuhan

42 1 0
                                    

Aku melihat helaian lusuh berwajahkan Tun Abdul Rahman berwarna merah yang aku pegang sedari tadi. Sedang berkira-kira mahu membeli makan tengahari buat mengalas perut yang sejak tadi berkeroncong minta diisi. Aku memandang ke kiri, dan aku melihat restoran berangkai terkenal yang berlambangkan huruf 'M' berwarna emas. Aku melihat ke kiri, dan aku ternampak wajah seorang lelaki tua berambut putih bercermin mata melihat aku sambil tersenyum, dan aku melihat pula ke tangan aku. Hmm. Tak cukup ni.

Aku meneruskan perjalanan, mencari restoran mamak yang dijaga oleh lelaki-lelaki berbaju seragam yang mengambil pesanan sambil mengelap peluh yang merecik di dahi. Namun, sebelum aku tiba di kedai yang dituju, aku terlihat seorang lelaki tua asyik menyelongkar sebuah tong sampah yang terletak elok di tepi denai pejalan kaki itu.

Selaku seorang 'samaritan' yang baik, aku pun pergi ke arahnya, seraya menghulurkan not tadi. Tak apalah, aku berkata sendiri. Esok lusa adalah kembali rezeki aku. Pakcik ni entah berapa lama sudah tidak menjamah nasi, sedangkan aku tahu di rumah aku masih ada beras dan sedikit lauk untuk aku jamah malam nanti.

"Pakcik, ni saya ada duit sedikit. Pakcik ambil lah, buat makan tengahari nanti."

Pakcik itu merenung muka aku dan not itu berulang kali, silih berganti. Kemudian, dia hanya tersenyum kecil. Aku hairan. Takkan pakcik ni mahu menolak rezeki?

"Tak mengapalah, nak. Pakcik okay sahaja ni. Lagipun, pakcik tidak mahu menambah satu tuhan lagi di dalam hidup ni. Cukuplah satu Tuhan yang pakcik sembah. Pakcik pergi dahulu, ya?"

Aku terdiam mendengar kata-kata pakcik itu tadi, sambil melihat dia berlalu pergi, membawa tin-tin kosong yang dijumpai.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now