Ensemble Tanpa Penonton

13 0 0
                                    

Seorang yang memegang baton berwarna putih, yang berdiri megah di hadapan konserto yang lengkap setiap seksyen-nya, pasti mengharapkan audiens yang setia mendengar tiap-tiap not yang menari keluar daripada bar dan stave yang terpacak di hadapannya, di atas stand yang dilimpahi cahaya dari lampu sorot di atas pentas. Mahukan mereka-mereka yang menutup mata sambil telinganya terbuka luas, cuba untuk mentafsir cerita dan kisah yang disampaikan olehnya. Mungkin kisah tentang seorang anak yang mencari kuburan ibu-bapanya; semestinya diteman gesekan sayu dari barisan biola dan cello di hadapan. Ataupun, tentang peluru tidak bermata yang melanggar membabi buta; seharusnya diagah dentuman snare, timpani dan bass drum di belakang. Atau juga, tentang pasangan suami isteri yang baru sahaja kehilangan anak pertama; perlu dialun dengan alunan melankolik daripada basoon dan alto saxophone di barisan tengah.

Tapi, malam ini dia berseorangan di atas pentas. Mengalun batonnya seperti pedang yang tidak bermata, menjadi ketua pada alat-alat musik yang tidak ada operatornya. Dewan hening yang hanya diisi dengan bunyi geseran udara tiap kali tangannya memancung ruangan kosong di hadapan, sambil matanya merah mencari penonton yang tidak mungkin ada. Pada dahulunya, dia menceritakan tentang kisah mereka yang lainnya, dan sudag tentu ramai sahaja yang mahu mendengar. Dan, pada ketika itu dia memilih untuk bercerita tentang kisah dirinya sendiri, tentang bagaimana dia terpaksa berdiri sendirian di hadapan ruang yang kosong, dan memberitahu pada orang yang tiada, bahawa cerita dan kisah tentang dirinya sendiri tiada signifikasi untuk didengari oleh mereka semua.

Ceritanya tiada pengiring; tiada double bass untuk memberi degup pantas, tiada flute untuk membisikkan kisah tidak kesampaian, tiada euphonium untuk menggetarkan tulang mereka yang mendengar, tiada cymbal untuk mengejutkan mereka perihal dirinya yang kasihan.

Lalu pada malam ini, dia memainkan sendiri ensemble yang disusun tentang dirinya, dan penonton yang ada hanyalah lampu sorot yang kekal menerangi not dan stand di hadapannya.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now