Terima Kasih, Tuhan

4 0 0
                                    

Tuhan menyampaikan pesan-Nya dengan cara-cara yang menimbulkan musykil. Pada satu masa, Dia menghantar pesan dengan bisikan perlahan sewaktu kau duduk diam di dalam gelap, menyampaikan nasihat-nasihat yang kau fikirkan sebagai alunan indah yang tidak diketahui asal usulnya. Pada masa yang lainnya, Dia memaksa kau menerima hentakan dalam emosi yang tidak stabil, agar kau sedar bagaimana hebat pun seorang manusia, Dia tetap ada bersemayam di atas kesemuanya, dan bagaimana berkuasanya seorang insan yang dikatakan mampu menghadap semua, tetap ada yang omnipotent dalam segalanya.

Pesan-pesan Tuhan itu datang dalam keadaan luar sedar, dan tertakluk kepada kau, sama ada kau sedar ataupun tidak tentang pesan-pesan yang sampai. Mungkin, pada masa itu kau berfikir yang Dia itu mungkin entah ada ataupun tidak, kerana Dia seperti tidak pernah hadir dalam memberi bantuan tiap kali kau merayu dan merintih kasih.

Tiap kali ragu itu sampai, duduklah sejenak dan fikirkan tentang perkara-perkara sepintas lalu yang mungkin kau terlepas pandang. Perkara-perkara yang andainya tiada yang menunjuk dan melakukan pencerahan, maka terduduklah ia di satu sudut yang tenggelam, kerana pesan-pesan Tuhan itu adalah sesuatu yang misteri dan rahsia.

Hari ini, pesan Tuhan kepada aku sampai dalam kesakitan yang sudah lama aku lupakan. Tuhan berbicara dengan memori yang aku cuba lupakan, kerana aku sendiri makin melupakan Dia. Dia sampaikan pesan dan nasihat dengan membawa aku kembali ke tempoh masa yang palingaaku ragu dengan diri sendiri, dan gelungan masa di mana aku paling takut untuk disakiti.

Hari ini, pesan Tuhan merenjat aku kembali ke realiti yang setelah sekian lama aku lupakan, kerana aku dibuai dengan dunia terlalu lama. Aku dihenyak dengan kasar untuk kembali, kerana Tuhan tau aku semakin lupa diri. Tuhan itu adalah Ar-Rahman dan Ar-Rahim, dan pesannya sentiasa ada bersama dari awal hidup sampai ke akhir nanti.

Terima kasih Tuhan, kerana menyampaikan pesan dan memberi aku peluang untuk menghirup udara selama ini. Pada hari ini, aku sedar tentang diri sendiri, tentang cerita-cerita sesudah mati. Tuhan, sampaikan pula pesan aku kepada mereka-mereka yang memerhati, kerana pesan Mu adalah sesuatu yang dinanti. Andai tiba masa untuk aku melabuhkan tirai dan mengucap selamat malam pada hari ini, aku berterima kasih kerana masih sudi menyampaikan pesan dengan penuh kasih.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now