Surat-Surat Yang Lewat

4 0 0
                                    

Di pagian itu, kantor yang sibuk itu kian bingit dengan keluh-kesah mereka-mereka yang sedang berjalan perlahan menuju ke hari yang bosan, sama seperti hari-hari yang telah lepas; di mana derapan kaki mereka, kiri kanan, hanyalah atas dasar langkahan secara automatik, tanpa ada sebab yang berbeza dari hari ke hari. Muka mereka sama sahaja; terletak sama ada terus ke depan, meski tidak nampak yang lain selain hala tuju semata-mata, atau tertunduk ke bawah, melihat porno-porno berwatakkan wang ataupun berita sensasi yang tidak ada signifikasi. Itu adalah porno bagi mereka yang otaknya telah diprogram sebegitu; mencapai klimaks di dalam minda semata kerana alat sulitnya telah dipagar dengan masa dan kudrat kerja.

Di perhentian keretapi di kantor itu, terdapat satu sudut kecil yang bersih, dan tersusun di situ jilidan kertas yang dibalut pembalut keras, disusun tinggi sehingga tertutupnya wajah penjaga di belakang, yang juga tersembunyi di balik sebuah jilidan yang serupa dengan yang tersusun di hadapannya. Lusuh pakaiannya, tetapi tetap kemas tanpa debu-debu, yang hanya terduduk nipis di jilidan paling atas dalam susunan. Tertulis dengan tulisan tangan yang cantik di hadapan susunan itu; "Surat-Surat Yang Lewat. Harga: Percuma".

Meskipun aku pada ketika itu juga seperti mereka-mereka yang terkejar dengan garis mati, aku terpanggil untuk singgah sebentar untuk berbasa-basi dengan penjaganya. Pada pemikiran aku, jilidan seperti itu adalah asing sekali, kerana di dalamnya tiada porno untuk mereka-mereka nikmati. Aku baru sahaja ingin menegur penjaganya, tapi jilidan itu direndahkan, dan aku melihat inzalnya wajah penjaga itu, seperti baru sahaja melihat porno di petak kecil bercahaya yang seringkali aku jadikan sebagai tempat tayang porno.

Aku hairan. Bagaimana penjaga itu boleh mencapai inzal hanya dengan melihat jilidan? Aku cuba mencapai satu daripada susunan itu. Asing. Sungguh asing. Di tanggan aku, aku dapat merasa berat yang sangat berbeza. Aku cuba menyelak helaian jilidan itu, dan aku didatangi perasaan yang sama ketika melihat porno-porno sebelum itu. Aku mencapai tahap hampir inzal melihat susunan perkataan yang terduduk rapi di setiap helaian. Aromanya lain. Sungguh berbeza dengan apa yang aku alami selama ini.

Aku hairan. Aku menaikkan kembali kepala, dan aku melihat penjaga itu tersenyum simpul. Dia bangun tanpa berkata apa apa, dan berlalu pergi begitu sahaja. Aku mahu bertanya kepadanya, tetapi kerusi tempatnya duduk sebelum itu memanggil aku untuk duduk, dan terus membaca jilidan bertajuk Surat-Surat Yang Lewat, hingga nanti ada yang datang untuk mengambil tempat aku untuk menjaga jilidan yang tersusun itu.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now