Permata Hati

58 2 0
                                    

Ayah dan ibu

Ayah dan ibu

Itulah permulaan kami

Entah. Setiap kali aku terdengar bait itu, dada menjadi sebak. Aku sungguh bersyukur, Alhamdulillah kedua-dua ibu dan ayahku masih ada di sisi. Masih ada bilamana aku keseorangan tanpa hala tuju, bilamana dunia menolak aku ke tepi seperti anak patung buruk yang dimamah usia.

Pernah juga aku terbayang masa bila mereka sudah menyahut panggilan Ilahi kelak. Bagaimana aku selaku anak yang pertama, harus menjadi tiang seri buat isi rumah yang tiada pemulanya? Dan tiap kali aku membayangkan perkara itu, tiap kali itulah mimpi buruk datang menjengah tidur aku, yang pada aku tak pernah lena.

Baru beberapa hari lepas. Seorang sahabat kehilangan bapanya kerana strok. Aku melihat dia begitu tabah menghadapi. Dan sekali lagi, aku terbayang yang aku ada di tempat dia. Tempat di mana aku sungguh berharap, yang tidak akan aku jejaki sampai bila-bila.

Tapi mustahil. Ya aku tahu semua itu mustahil. Kerana yang ada pasti akan pergi. Yang hidup pasti akan mati suatu hari nanti. Cuma, aku berharap yang aku akan mampu menghadapi ujian itu, menghadapi sesuatu yang pastinya akan menjadi asing.

Di balik harapan itu, aku tak pernah putus untuk berdoa agar Tuhan panjangkan umur permata hati aku. Ya, mungkin pada dasarnya aku seorang yang tidak layak diberikan ibu dan ayah semulia mereka. Dangkal dan penuh dengan dosa, tapi aku tahu, bukan salah mereka menjadikan aku begini. Bak kata orang tua-tua, jangan disalahkan ibu yang mengandung. Jangan dibencikan ayah yang menanggung.

Tentang dua insan, yang sedari aku lahir memandang dunia, dengan tangisan pertama aku didiamkan dengan laungan azan oleh ayah yang gembira, berlinangan air mata, sambil diperhati ibu yang kepenatan bertarung nyawa. Aku masih terlalu kecil untuk menghargai. Hanya mampu merengek tangis minta dipeluk dan dicumbui.

Tentang ayah.

Tentang superman yang sentiasa aku kagumi. Tentang seorang hero selama aku berada di bawah jagaan seorang abi. Aku seorang yang degil sedari dulu. Seorang yang mungkin orang yang melihat akan memperkatakan tentang aku yang suka memberontak. Tentang aku yang tak kenal mengalah.

Tapi itulah yang membuatkan aku bangga menjadi aku.

Sifat memberontak dan tidak mahu mengalah yang aku ambil dari ayah. Seorang yang degil dalam menegakkan kemahuan, sorang yang tidak akan berhenti selagi tidak mendapat apa yang dimahukan.

Ya. Aku bangga menjadi hasil dari dua permata.

Tentang ibu.

Insan yang pertama. Insan yang terutama. Insan yang bertarung dengan nyawa. Insan yang ada 50-50 saja talian hayatnya. Lemah lembut tutur katanya. Jauh sekali mahu meninggi suara. Seorang wanita berjiwa perkasa. Bijak dalam berkata-kata, juga seorang insan yang sama seperti suaminya, tidak pernah berputus asa.

Seorang wanita gagah yang tak pernah mementingkan dirinya.

Allahu. Aku paling takut kehilangan ibu. Kerana ibu itulah yang ada bilamana ayah keluar mencari rezeki. Aku mewarisi sifat lemah lembut, dan lemah lembut dalam tutur kata. Mungkin lebih dari itu, mungkin ada sifat yang tidak aku tahu.

Cuma yang aku tahu, dua permata itu takkan layu.

Kerana saat mereka pergi, saat itu jiwa aku separuh mati.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now