Bungkusan Berlabel 'Hati'

37 1 0
                                    

Bayangan di cermin itu masih kekal senyum sinis melihat air mata yang tidak mahu berhenti; tiap garisan yang ada di pipi sepertinya tidak mahu langsung diseka. Sebagai peringatan kepada diri sendiri, mungkin; tentang apa yang akan berlaku pada jiwa-jiwa yang sepertinya, yang hanya mampu untuk menyelak sedikit pintu, dan ditutup kembali tanpa membenarkan lebih dari sekadar jengukan sementara.

Sekadar memberikan pandangan kepada yang mahu mencuba nasib, tentang betapa hati itu telah acap kali dirobek-koyak tanpa belas, sehinggakan ianya sudah tidak mempunyai rupa hati secara harfiahnya; hanya sekadar gumpalan daging yang sudah tidak berupa, penuh dengan kesan jahitan baru dan lama. Apa yang disalut diluar, hanya secebis nipis kulit yang sempurna rupa luarannya, buat alas supaya yang melihat sahaja tidak nampak ketidaksempurnaan yang disorok dalam.

Mungkin, dalam seribu atau sejuta yang menjenguk, akan ada satu atau dua yang gigih mahu melihat dalam, kerana perasan akan jahitan di tepi yang aku tidak mampu untuk aku sorokkan secara total. Lalu, dimasukkan perlahan tangan untuk dirasa-raba setiap pelusuk untuk mencari pelipatan yang digunakan untuk menyorok bekas jahitan. Pada masa itu, aku biarkan sahaja dia dengan sifat ingin tahunya; sengaja aku berikan peluang untuk dia masuk lebih jauh, untuk aku melihat adakah dia mampu untuk melihat isi dalam tanpa melatah dan merasa renyah.

Namun, seperti biasa, aku adalah seorang yang sangat kejam pada orang keliling dan diri sendiri. Aku tutup kembali hati itu secara total dengan jeriji yang berduri, dan aku biarkan tangan yang cuba masuk itu luka dan berdarah tanpa belas; pada masa yang sama melukakan jiwa sendiri dengan jeriji tajam yang dengan mudah menembusi lapisan nipis yang aku jahitkan di luar. Jadi, terjadilah luka baru yang ada masa nanti aku akan jahit perlahan dengan benang dan jarum yang sama sepertimana jahitan-jahitan sebelumnya.

Tapi, ada suatu masa, satu tangan ini tetap tidak mahu untuk mengalah, meskipun ianya sudah berlumuran dan dipenuhi luka-luka dalam yang darahnya berwarna merah pekat. Dia mengeluarkan sebentar tangannya, lalu tetap memasukkan kembali, kali ini dengan membawa seberkas kunci untuk dicuba tiap satunya pada mangga yang membuatkan dawai itu kekal pada tempatnya. Walau salah, tetap dicuba tanpa lelah, tanpa menghiraukan pedih yang datang tiap kali jemarinya tersentuh duri dan dawai yang menutup segenap ruang.

Dan, menyedari yang duri dan dawai itu turut menyakiti hati aku, dia tanpa ragu terus-terusan mencuba untuk membuka mangga itu, tapi kali ini dengan beralaskan secebis kulit yang dirobek dari hatinya sendiri sebagai alas untuk aku tidak merasakan sakit bila mana dia cuba untuk masuk ke dalam sedikit demi sedikit. Hatinya sendiri tidak berpenjaga, hanya supaya hati yang dia cuba explorasi itu tidak disakiti dalam usahanya mahu memenangi.

Tibanya satu masa, dia berjaya juga membuka mangga itu, tetapi pada masa itu, tangannya sudah tidak lagi mampu untuk bergerak mahupun untuk menyambut hati aku yang kini terbogel dan terbuka luas untuk diambil pergi. Lalu, aku mengambil keputusan untuk mengeluarkan sendiri hati aku, dan aku letakkan di dalam satu bungkusan yang diluarnya berlabel 'Hati'. Meski aku tahu yang ianya akan membuatkan aku sendiri terluka lagi, aku biarkan sahaja sebegitu. Biarkan ia luka pada tangan yang cedera untuk mendapatkan aku, dari lumat di tangan yang mulus penuh dengan racun di celahan kuku.

Sebelum sempat aku memberinya bungkusan itu, tangan yang terluka itu dibukanya perlahan, dan terletak di tengahnya di dalam satu bungkusan serupa yang juga berlabel 'Hati', aku melihat segumpal sesuatu yang sebegitu serupa dengan apa yang ada di dalam bungkusan yang aku kelek sedari tadi. Yang berbezanya, gumpalan itu tidak ada sesuatupun untuk melindungi luarannya; hanya secebis di tepi untuk melindungi lubang kunci yang tertutup rapi. Aku melihat pada cebisan kulit yang digunakan tadi, dan aku melihat ianya sama seperti sedikit yang ada di gumpalan miliknya.

Aku keluarkan kedua-duanya, dan meletakkan di dalam satu bungkusan baru; berlabel 'Hati', tetapi kini mempunyai dua jiwa yang sama bersemadi.

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now