Keretapi Ipoh

84 2 0
                                    

2100 – Stesen KL Sentral

Aku masih termangu mencari hala tuju yang tidak pasti. Mencari jalan untuk mencari diri sendiri, yang pada pandangan aku, telah lama mati. Aku cuba teruskan perjalanan, menjinjit beg yang patut aku sandang, sambil menarik lemah beg troli yang sarat dengan kenangan. Aku teruskan langkah mencari sesuatu.

Hinggalah aku terserempak dengan seorang anak muda yang memegang tangan seorang wanita tua. Aku melihat, mereka yang di keliling seperti buta apabila melihat perkara itu. Berlalu pergi tanpa sekalipun menoleh ke belakang. Malah melanggar pasangan itu tanpa memandang kembali.

"Adik, banyak barang adik ni. Nak abang tolong pimpinkan tangan emak adik?'

"Eh takpelah bang. Boleh je ni. Lagipun ni bukan emak saya."

"Bukan emak? Habis tu siapa?"

"Entahlah bang. Saya pun tak kenal. Saya tolong je."

Entah mengapa, aku tersenyum sendirian mendengar balasan gadis molek itu.

Lalu, aku teruskan perjalanan.

2130 – Platform 3

Aku teringat gadis tadi itu. Aku selitkan sekeping nota merah di dalam begnya. Duit raya awal untuk dia. Walaupun tak seberapa, mungkin saja boleh membantu dia belikan tiket untuk wanita tersebut.

Usai perbualan mudah itu, aku terus ke kaunter. Membeli tiket untuk diri sendiri. Ke mana? Hanya Tuhan yang merancangkan perjalanan buat aku. Saat sampai giliran aku, terdetik untuk aku ke stesen hujung.

Ke Ipoh.

Ke tempat yang bagi aku, seorang yang sentiasa diulit kemewahan di dunia Kuala Lumpur, tempat yang pelik. Asing.

Tempat yang sesuai untuk aku alienisasikan diri sendiri buat sedetik masa. Mungkin cukup untuk aku mencari diri sendiri.

Jadi, di sinilah aku. Menunggu keretapi untuk ke Ipoh. Menunggu bermulanya perjalanan yang jauh. Bagi aku, cukup jauh untuk lari dari kesibukan Bandar metropolitan Kuala Lumpur.

2200 – Platform 3

"Perhatian kepada penumpang tren ke Ipoh, anda diminta untuk bersedia di platform kerana tren akan bergerak sebentar lagi."

Aku teringat ibu aku sendiri dahulu pernah bercerita, zaman dia menaiki tren dahulu. Zaman tren masih menggunakan arang batu dan kuasa asap stim untuk bergerak.

"Dulu, ibu naik tren, pernah sekali tu terjatuh dekat landasan. Masa tu, tren dah nak bergerak dah. Orang ramai sangat masa tu."

"Ish, kesiannya ibu! Sakit tak?"

"Mestilah sakit. Tapi masa tu, nasib ibu baik sangat"

"Kenapa?"

"Sebab masa tu, ada seorang lelaki ni, dia tarik tangan ibu sampai ibu dapat berdiri balik. Nasib baik tren tu lambat sikit bergerak."

"Wah, untunglah ibu. Siapa lelaki tu?"

"Boyfriend ibu lah! Hehe. Tu. Yang pakai kain pelekat baca surat khabar tu."

"Lah ayah ke? Ingatkan siapa lah tadi. Ibu ni kan!"

Air mata aku mengalir. Aku terdiam semasa aku melangkah naik ke koc aku untuk bergerak. Pada masa itu, ingin sahaja aku pura-pura jatuh ke bawah, untuk melihat siapakah yang akan menarik aku kembali naik.

Aku rindukan mereka. Mereka yang aku tinggalkan sehingga kini, demi wang dan pangkat yang aku impikan sejak kecil.

Ya. Aku sudah punya itu semua. Tapi puaskah aku? Gembirakah aku?

AKU: Seorang Yang GagalWhere stories live. Discover now