Sehari Sebelum

169 11 0
                                    

"Betul kamu nak ikut ni?" Puan Zu bertanya untuk kesekian kalinya kepada Andi. Andi mengangguk yakin. Salleh di sebelahnya hanya memandang mereka berdua tanpa berkata apa-apa.

Asalnya mereka ke pejabat Puan Zu di Studio Alam Bina untuk hantar tugasan subjek Pengukuran 3 yang diberikan Isnin lepas, namun ditahan daripada beredar apabila Puan Zu dapat tahu Andi mahu ikut serta ke lawatan tapak pada keesokan hari.

"Kalau ada apa-apa jadi, bagaimana?" Pensyarah berusia separuh abad itu bertanya dengan nada risau.

"Tak apa, puan. Saya boleh kawal diri," kata Andi, masih yakin. Puan Zu memandangnya skeptik.

"Kamu pernah kata begitu sebelum pergi ke Kem ProPel tahun lepas. Ingat apa jadi lepas tu?"

Andi sengih sambil garu kepala. Memorinya kosong pada malam hari kedua kem. Tahu-tahu sahaja dia terlantar di hospital. Salleh sendiri yang beritahu yang dia tiba-tiba bangun dari tidur sekitar jam 2 pagi, pakai hoodie sweater biru tua milik Salleh yang dijadikan selimut, kemudian tinggalkan pintu khemah terbuka, pergi ke empangan air berhampiran tapak kem dan terus terjun ke dalam kolam tadahan. Mujurlah En. Azri ternampak dia keluar dari tapak kem dan sempat selamatkan dia dari lemas.

"Kali ini saya yakin, puan. Lagipun, Salleh ada. Dia boleh jadi 'assistant' saya," kata Andi. Mata Salleh mencerlung ke wajah Andi, tidak puas hati. Amboi, banyak cantik muka kau!

Puan Zu mengangguk perlahan sambil hela nafas. "Baiklah kalau kamu yakin. Saya takkan halang kamu. Kamu dah cukup matang untuk tentukan keputusan sendiri."

"Terima kasih, puan," kata Andi, senyum manis. Salleh hanya membisu.

(...)

Andi pandang Salleh yang masih merenungnya tajam di celahan rak buku fiksyen di perpustakaan. Senaskah novel 'Vampire Rites', salah satu siri trilogi novel Inggeris karya Darren Shan ditarik keluar dari rak di hadapannya.

"Kenapa pandang saya macam tu?" Andi bertanya.

"Kenapa aku pula kena jadi 'assistant' kau ni untuk site visit esok?" Salleh bertanya, geram.

"Dalam ramai-ramai orang kat kolej ni, awak saja yang pernah hadap 'mereka semua'," kata Andi sambil tersengih. "Awak mesti dah tahu apa nak buat kalau 'mereka' ambil alih, kan?"

Salleh terdiam. Betul juga. Setakat ini dia sahaja yang pernah jumpa dan dah cukup faham perangai ketiga-tiga 'alter' budak Andi ni di kolej ini. Ya. Tiga orang semuanya, buat masa ini. Tak tahulah kalau ada yang lain tapi tak perasan, kan. Dr. Fitri sendiri pun jumpa tiga saja.

"Sekarang ni, aku rasa nak lepuk saja muka kau ni tanpa belas ihsan. Hisy, sabar jelah," bebel Salleh perlahan, masih tidak puas hati. Andi tersengih.

"Hana dengan Zel pun tahu juga pasal 'masalah' kau ni, bukan aku je," kata Salleh lagi, merujuk kepada dua orang rakan perempuan sekelas mereka.

"Tapi, mereka tahu saja, kan? Jumpa tu, belum lagi."

"Diorang dah jumpa. Tiga-tiga sekali," kata Salleh bersahaja. "Zel siap bertumbuk dengan Malik si kaki gaduh tu lagi."

Muka Andi terus berubah. "Serius?"

Salleh angguk sambil hela nafas. "Kau memang tak perasan, kan?"

Andi hanya membisu. Salleh sambung melihat-lihat deretan novel yang tersusun di rak fiksyen Melayu di hadapannya. Sebuah novel bertajuk 'Next Stage' karya Syam Syahrul Azmi yang separuh lunyai walaupun dibalut kemas dibelek-belek.

"Perpustakaan ni pun satu hal, bila entah nak update database. Dekat database, available dua naskah. Bila dicari, tak ada," bebel Salleh perlahan.

"Novel apa?" Andi tiba-tiba bertanya. Salleh pandang Andi sebelum meletakkan novel itu semula di rak.

"Novel 'Dark Hunter'. Baru saja terbit. Dalam... Dua bulan lepas, lebih kurang."

"Tu novel Bahasa Melayu ke?"

"Yep. 'First Stage', 'Next Stage' dan 'Dark Hunter'. Siri novel thriller yang berjaya tambat hati aku pada fiksyen Melayu, walaupun dia bedal pakai tajuk Inggeris," kata Salleh, bangga.

"Apa kata awak beli saja novel tu di kedai buku? Sebagai tanda sokongan kepada penulis," kata Andi. "Dia tulis novel tu bukannya petik jari terus dapat ilham."

"Betul juga ya..."

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now