Malam Ketiga

142 8 3
                                    

Hana berjalan menghampiri Andi dan Salleh yang baru keluar dari pintu wad kecemasan hospital. Baru sebentar tadi Andi diizinkan keluar wad selepas diperiksa doktor.

"Andi, Salleh, tu. Mak kamu berdua," kata Hana sambil tunding ke arah Puan Ariana - ibu Andi, dan Puan Fauziah - ibu Salleh, sedang berbual dengan En. Azri dan Puan Zu.

"Lah. Kenapa Puan Zu pun datang sini juga?" Salleh garu kepala.

"Salleh, awak jangan lupa. Apa yang kita lalui sepanjang hari ini dah jadi berita besar, tahu! Seluruh Malaysia heboh," kata Hana.

"Hmm... Awak lupa satu benda. Saya mana ada terlibat," kata Andi perlahan. "Satu apa pun saya tak ingat sejak pengsan di StarMall semalam." Kepalanya ditunduk ke atas lantai.

Salleh tepuk bahu Andi. "Nanti kami cerita, ya. Jangan terperanjat pula."

Andi hanya angkat kening. Hebat sangat ke pengalaman mereka sampai boleh buat dia terkejut?

"Kejap. Mak ayah kamu, tak tengok kamu ke?" Salleh tiba-tiba tanya.

"Dah balik dah. Baru je. Nasib baik rumah saya dan Zel sebelah-menyebelah. Ibu bapa kami konvoi datang sini tadi," kata Hana selamba.

(...)

Bray dan Safuan berjalan keluar dari kafe hospital, baru sahaja selesai makan, menuju ke ruang menunggu utama hospital itu. Di wajah mereka terpamer riak kelegaan. Menurut Raz yang menunggu di wad tadi, Syam sudah melepasi fasa kritikal, namun masih belum sedarkan diri. Dia kini ditempatkan di Wad Kebergantungan Tinggi.

Mereka ternampak Andi dan Salleh, juga sedang berjalan kembali ke ruang legar hospital selepas bersalaman dengan ibu masing-masing di ruang tempat letak kereta. Hana, Zel dan En. Azri sedang menunggu mereka di situ, mahu bergerak pulang ke asrama tempat mereka menginap.

Dahi Bray berkerut seketika melihat gelagat Andi. Dia perasan sesuatu. Ada sedikit kelainan pada sikapnya dengan lelaki yang berani menyerang Erzen menggunakan teknik 'jurus kerusi terbang' siang tadi.

"Hm. Mungkin dia tak stress macam siang tadi, kot?" Bray berkata perlahan. Safuan pandang Bray.

"Stress?"

"Oh. Tak ada apa-apa. Alang-alang dia ada di sini, apa kata kita minta maaf kepada dia? Dia dah nampak okey sikit tu," cadang Bray.

"Minta maaf?" Safuan tanya semula. "Ah ya! Baru aku ingat pasal semalam!"

(...)

"Er... Bro, aku... Nak minta maaf."

Andi pandang Safuan yang sedang garu belakang kepalanya. Siapa dia ni, ya? Andi cuba korek memorinya namun gagal.

"Nak minta maaf?" Andi kehairanan. "Kenapa, ya?"

"Er... Yalah. Aku yang hempuk muka kau pakai bug zapper semalam, masa di Mr DIY," kata Safuan, tersengih-sengih.

"Oh!" Salleh yang berdiri di sebelah Andi terkejut mendengarnya. "Nanti sekejap. Kau juga yang pergi baling batu kat semak masa jungle trekking siang tadi, kan? Sebab kau, kita semua kena kejar babi hutan."

Safuan mengangguk, mengiakan ayat Salleh, kekal tersengih. "Maaf, ya?"

Andi mengangguk, walaupun masih keliru. Salleh pula tenung Safuan. Lama.

"Kau tunggu situ," kata Salleh. Wajahnya kosong tanpa emosi. Salleh masuk ke tandas di sebelahnya, sebelum keluar membawa batang mop yang tersandar di belakang pintu tandas itu. Mata Safuan terbeliak.

"Sebab kau, HIDUP AKU JADI KUCAR-KACIR SATU SETENGAH HARI!" Batang mop diayun ke arah Safuan yang sempat mengelak.

"KAU! MARI KE SINI!" Jerit Salleh.

Safuan terus buka langkah seribu, dikejar Salleh dari belakang, di laman berhadapan tandas di hospital itu. Andi terpinga-pinga kehairanan, manakala Hana, Zel dan Bray mula ketawa. En. Azri hanya perhatikan sahaja Salleh melepaskan geramnya itu.

(...)

Safuan pegang kepalanya yang benjol diketuk Salleh, mengaduh perlahan. Bray hanya tersengih-sengih melihat Safuan dari tempat duduk sebelah pemandu. Kereta yang dipandu Raz berhenti di hadapan rumah Safuan. Safuan terus keluar dari kereta, membawa beg sandangnya bersama.

"Okey. Terima kasih, ya, Abang Raz," kata Safuan, masih meraba kepala yang benjol. Pintu kereta ditutup. Kereta Raz mula bergerak ke rumah Bray pula.

"Bray, boleh aku tanya sikit?"

"Tanya apa?"

"Mereka tu," kata Raz, merujuk kepada empat orang yang sama-sama sesat bersama Bray dan Syam dalam hutan. "Mereka tahu tak pasal..."

"Ya. Mereka dah tahu pasal Erzen. Siap jumpa lagi."

Raz hela nafas berat.

"Tapi kan, bila fikir balik, mereka macam... Tak terkejut pun. Macam... Dah biasa. Pelik," kata Bray lagi. "Oh ya, lagi satu, perempuan yang bertudung tu, dia boleh nampak fikiran orang."

"Serius?" Raz pandang Bray. Di wajahnya terpamer rasa tidak percaya. Bray angguk sekali, mengiakan kata-katanya tadi. Kereta itu kemudian berhenti di hadapan rumah Bray. Bray turun, mengucapkan terima kasih lalu masuk ke rumahnya.

Raz keluarkan telefon bimbitnya. Nombor telefon En. Azri terpapar di skrin.

(...)

"Kamu serius ni?"

Andi angguk yakin.

"Kamu tahu, kamu boleh ikut Puan Zu balik dulu. Nanti saya rakamkan video."

Dia ketawa kecil. "En. Azri, kalau saya tak nak ikut, awal-awal lagi saya tinggal kat KST tu."

En. Azri mengeluh.

"Beria-ia sungguh kamu ni," katanya perlahan, senyum kecil terukir di bibir. "Kagum saya dibuatnya."

Andi sengih.

"Dah. Pergi rehat. Esok nak pergi melawat tapak. Dahlah banyak sangat benda berlaku hari ini," kata En. Azri lalu bangun dari kerusi.

"Okey. Terima kasih, En. Azri," kata Andi, tunduk sedikit lalu mula menapak ke biliknya di bangunan asrama tempat mereka menginap itu. En. Azri hanya memerhatikan sahaja pelajarnya nan seorang itu berjalan menjauh.

"Harapnya hari esok berjalan lancar," katanya perlahan.

Telefon bimbit En. Azri tiba-tiba berbunyi. Dia melihat nama pemanggil di skrin. Dahinya berkerut seketika. Kenapa dia telefon malam-malam ni?

Panggilan itu dijawab sambil langkahnya dibuka menuju ke bilik penginapannya.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now