Sebulan Kemudian (1)

144 9 5
                                    

Hana meregang tubuhnya yang kepenatan menjawab ujian subjek Pengukuran 3, yang membawa 20 markah. Subjek itu tiada peperiksaan akhir semester, jadi hanya tugasan studio dan tiga kali ujian yang menentukan markah akhir subjek itu nanti.

"Penat betul jawab soalan tadi. Dahlah aku tak sempat measure beranda," rungut Zel yang duduk sebelah Hana, dan tidak jauh dari Salleh.

"Okeylah beranda yang tercicir. Benda tu kecik sangat nak dipanggil beranda. Aku tercicir countertop sinki okey! Dengan sinki-sinki sekali aku lupa!" Salleh letakkan kepala di atas meja. Memikirkan elemen yang tercicir semasa membuat taking off rumah banglo itu cukup mendatangkan depresi. Mana sempat ukur dan siapkan taking off sebuah rumah dengan isinya sekali dalam masa empat jam!

Andi hanya diam sambil pandang sekeliling. Sebahagian besar dari mereka yang mengambil ujian itu sudah keluar dari Studio QS, untuk ke Kafe Embun. Seboleh mungkin dia tidak mahu fikir tentang ujian itu.

"Hana, Andi, korang macam mana?" Zel tiba-tiba bertanya.

"Hm? Saya tak sempat tulis penerangan untuk jenis tiling dapur, bilik air dengan cat dinding. Hm... Itu sajalah," kata Hana sambil topang dagu.

Kini, semua mata memandang Andi. Andi sedikit gelabah.

"Saya... Er... Lupa buat query list, tulis jenis jeriji dengan kira jumlah ironmongery." Andi terus sengih.

Suasana dalam studio hening untuk seketika.

"Habislah kau. Puan Zu tengok query list dulu, tahu? Tiada benda tu, terus kena potong 5 markah."

Andi terus tutup telinga.

(...)

Kafe Embun sesak dengan pelajar, seperti kebiasaannya. Hana dan Zel baru sahaja selesai makan, sedang menonton berita tengah hari di kaca televisyen kafe.

"Hana, tu! Berita pasal pengurus rumah anak yatim tu!" Zel berbisik sambil menunding ke arah televisyen. Milo ais dihirup laju.

"Bagus. Harapnya dia dikenakan hukuman yang setimpal," kata Hana pula, sambil minum air sirap limaunya.

Namun, apa yang diucapkan pembaca berita itu menyebabkan mereka hampir tersedak.

"Tuan Azazil dilepaskan dari tuduhan tanpa ikat jamin..."

"APA!"

Semua mata di kafe itu terus terpaku kepada Hana dan Zel.

(...)

Andi dan Salleh memerhatikan Zel yang mundar-mandir di ruang hadapan studio QS itu. Wajahnya merah padam. Hana pula hanya duduk termenung di kerusi tidak jauh dari mereka berdua.

Mujurlah hanya mereka berempat sahaja di studio itu. Asalnya Andi dan Salleh baru sahaja menyiapkan tugasan bagi subjek Kajian Perundangan 1, dan mahu bergerak pulang ke asrama, sebelum mereka ditahan Zel yang merempuh masuk ke studio secara tiba-tiba.

"Tak guna. Tak guna," bebel Zel. "Macam mana dia boleh terlepas?"

"Tak tahu..." Hana membalas perlahan.

Salleh mengeluarkan tablet dari beg dan mencari berita itu secara online. Dia membaca berita itu sebelum menghulurkan tablet itu kepada Andi. Andi juga nampak terkejut selepas membaca berita itu.

"Aku tak pelik sebenarnya," kata Salleh. "Dia memang orang berpengaruh. Banyak duit pula tu. Boleh je dia upah peguam yang handal untuk bela dia."

"Dalam berita ni, mereka yang terlibat semuanya cakap yang Tuan Azazil ni tak ada kena mengena langsung dengan Exotika," kata Andi pula. "Memang terlepaslah jawabnya."

"Mana boleh macam tu? Macam mana dengan Nazmi pula?" Zel berkata kesal. Inilah dia flaw dalam mahkamah sivil. Ada risiko tersalah hukum. Apa yang diperlukan cuma seseorang, atau sesuatu, yang boleh 'patahkan' fakta yang benar, supaya nampak salah.

Salleh keluarkan sebuah buku dari beg. "Bukan kita saja yang tak puas hati dengan keputusan mahkamah. Jangan lupa ini," katanya sambil menunjukkan buku di tangannya itu kepada Andi, Hana dan Zel.

Novel 'Dark Hunter'.

"Motif kau tunjuk novel tu?" Zel renung Salleh sambil berpeluk tubuh. "Kalau kau nak cakap pasal Syam dengan Bray, rasanya mereka pun tak dapat nak buat apa-apa."

"Entahlah. Mungkin... Aku harap sangat yang mastermind kes Exotika tu mati kena penggal, kot. Perangai serupa syaitan."

Ketiga-tiga pasang mata itu terus merenung Salleh.

"Apa?" kata Salleh, mula rasa tidak selesa dengan renungan mereka.

(...)

Akhbar yang baru sahaja dibeli dibentangkan di atas meja. Artikel berkenaan Tuan Azazil dibebaskan terpapar di halaman yang dibuka itu. Syam dan Bray topang dagu selepas membaca.

"Nazmi... Jadi 'kambing hitam' untuk Tuan Azazil. Kenapa?" Bray baca semula artikel yang penuh dua muka surat itu berkali-kali.

"Bukan ke kalau seseorang itu rasa bersalah yang teramat, dia akan mengaku yang dia lakukannya, walaupun bukan dia yang buat?" Syam menduga, akhbar yang terbentang dikemaskan supaya tidak berterabur.

"Tak. Ini bukan sebab rasa bersalah. Kalau tak silap, dia ada adik yang sedang koma di hospital," kata Bray pula. "Bila fikir balik..."

Mereka saling berpandangan.

"Boleh jadi..." Syam tidak habiskan kata-katanya.

"Dia kena ugut."

"Atau... Dia ditawarkan apa-apa."

Mereka sambung tenung akhbar di atas meja itu. Lagak masing-masing sudah seperti detektif rupanya.

"Assalamualaikum," suara Raz kedengaran di luar. Salam dijawab mereka berdua. Pintu masuk terkuak, Raz melangkah masuk ke dalam rumah.

"Eh, ada tetamu rupanya," kata Raz, sedikit terkejut.

"Ha. Alang-alang abang Raz ada, boleh tak nak minta tolong sikit?" Bray bertanya.

"Hm. Apa dia?"

"Tolong hantar saya ke penjara kejap lagi. Nak jumpa suspek utama kes Exotika tu," kata Bray.

"Boleh saja. Lepas Zohor, kita gerak."

"Aku nak ikut," kata Syam tiba-tiba.

Bray menggeleng. "Baik tak payah. Nazmi ingat kau tu Erzen. Dahlah Erzen nyaris bunuh dia hari tu. Mahunya dia diam je bila kita tanya nanti, sebab nampak muka kau."

Syam mengangguk lemah.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now