Hari Ketiga (2)

124 10 6
                                    

Hajar berdiri di hadapan ibu pejabat polis daerah (IPD). Nafasnya mengah. Dengan gigihnya dia curi-curi keluar asrama dan naik bas untuk ke sana. Dan, dia memilih untuk lakukan semua itu selepas melihat isi kandungan pemacu pena yang diberi Ainul itu di sebiji komputer riba milik salah seorang pekerja kantin Wirda Kejora yang sebelum ini pernah menghuni rumah anak yatim itu. Pekerja itupun bersetuju untuk membantunya keluar secara sembunyi dari asrama itu tepat jam 8 pagi.

Dia lakukan semua itu, selepas teringatkan pesanan Ainul beberapa jam sebelum diculik. Dia juga baru menyedari yang tiada sesiapa di pihak pengurusan yang peduli dengan penculikan Ainul di hadapan mata Hajar malam tadi. Penat dia menjelaskan kepada pihak pengurusan, namun diabaikan. Siap didesak tunjuk bukti lagi. Dan, bagaikan kebetulan, CCTV di lokasi Ainul dilarikan itu rosak pada petang semalam.

Pemacu pena kelabu itu digenggam erat. Nafasnya diatur supaya percakapannya lancar. Kakinya melangkah masuk ke IPD itu. Dia berdoa, agar apa yang akan diberitahu kepada pegawai bertugas itu dapat membantu Ainul yang entah ke mana dibawa lari.

"Assalamualaikum, puan. Saya nak buat laporan," katanya kepada seorang pegawai polis wanita yang berada di kaunter.

(...)

"Assalamualaikum! Ooo... Assalamualaikum!"

Bray dan Safuan berdiri tegak di pintu pagar rumah Syam. Pintu rumah utama dibuka, Raz memunculkan diri di balik pintu.

"Waalaikumsalam. Masuklah dulu. Syam tengah bersiap tu," kata Raz sambil membuka pintu pagar. Bray dan Safuan terus melangkah masuk ke perkarangan rumah.

"Syam, kawan-kawan kau ni dah sampai. Cepatlah sikit!" Raz melaung dari tingkat bawah. Syam di biliknya cepat-cepat memakai kemeja T. Bahu kanannya disentuh. Entah dari mana datangnya calar yang panjang dan terasa pedih itu. Jadi, dia cuma sapu antiseptik untuk mengelakkan jangkitan kuman dan tutup kawasan calar itu dengan plaster.

Jaket windbreaker berhud berwarna kelabu gelap disarung ke badan, zip di depan dibiar terbuka. Beg yang berisi segala keperluan untuk jungle trekking disandang ke bahu. Matanya memandang sekilas ke arah pedang samurai yang berbalut kemas di tepi katilnya. Hatinya terasa tidak selesa. Dengan segera dia ambil pedang itu dan masukkannya ke dalam almari lalu terus menguncinya. Dia kemudian terus melangkah keluar dari bilik dan menutup pintu.

"Yo, geng! Lama tunggu?" Syam menegur Bray dan Safuan dengan nada ceria.

(...)

Cuaca pagi itu cerah, namun tidak panas. Beberapa kumpulan manusia berkumpul di tanah lapang berhadapan pejabat renjer hutan di Hutan Lipur Tanjung Pangku itu. Ada yang meregangkan badan supaya tidak kejang sewaktu jungle trekking nanti. Ada juga yang berbual sesama sendiri. Tidak kurang juga yang duduk di pangkin berdekatan, buat hal sendiri.

Malik termenung panjang, penat ber'saya-awak' dengan mereka yang tidak tahu apa-apa tentang dirinya. Matanya mengerling ke arah novel 'Dark Hunter' yang sedang dibaca Salleh. Watak utama novel itu menyebabkan dia teringat kepada 'hantu katana' yang menyerang mereka malam tadi. Penanda buku yang terjulur ditarik secara tiba-tiba.

"Hei!" Salleh terkejut. Malik membelek-belek penanda buku itu.

"Kau jumpa penulis novel tu?" Tangan Malik menunjukkan bahagian belakang penanda buku yang siap berautograf itu.

"Yalah. Kenapa?"

"Bila kau jumpa dia?"

"Semalam. Masa kat StarMall. Kau tak... Oh, lupa. Maaf," kata Salleh. Manalah si Malik ni tahu. Dia baru keluar malam tadi.

Malik tenung lama penanda buku itu. "Ada sesuatu yang tak kena," katanya perlahan.

(...)

Kereta diparkir di ruang meletak kereta yang disediakan. Bray keluar dahulu, terus ke pejabat renjer hutan, membawa dokumen berkaitan. Syam, Safuan dan Raz keluar seketika kemudian.

"Bagus cuaca hari ini. Memang sesuai sangat untuk jungle trekking," kata Raz sambil pandang kawasan sekitar yang tidak banyak dicemari kemodenan itu. Dia pernah datang ke hutan lipur ini beberapa kali sebelum ini bersama kawan-kawannya, jadi bolehlah dikatakan dia tahu serba sedikit selok-belok hutan lipur itu.

Bray datang semula seketika kemudian. "Okey, aku baru lepas daftar nama kita semua dekat renjer hutan, jadi sekejap lagi kita boleh mula jungle trekking," katanya.

"Tu, ramai-ramai kat tanah lapang tu, buat apa?" Syam bertanya, perasan akan kewujudan kumpulan manusia di hadapan pejabat renjer hutan itu.

"Oh, tu budak-budak kolej mana entah. Mereka pun nak buat jungle trekking juga. Siap minta guide lagi sebab mereka tak pernah masuk hutan tu," kata Bray bersahaja. Syam mengangguk faham.

"Er... Habis, kita ni, tak ada guide ke?" Safuan bertanya pula, baru sahaja menyandang beg yang dikeluarkan dari but kereta.

"Inilah guide kita," kata Bray sambil menunding ke arah Raz. Raz terus senyum. Terasa kembang sekejap hati Raz dibuatnya.

(...)

Pemacu pena itu dihulurkan kepada seorang pegawai polis berpangkat ASP. Hajar menunduk. Segalanya sudah diceritakan. Tanpa disangka, pegawai polis yang dipertanggungjawabkan untuk menyiasat kes kehilangan anak-anak yatim sejak kebelakangan ini bertugas di IPD tersebut. Maka, laporan Hajar terus diberikan kepada pegawai polis itu.

"Terima kasih, adik Hajar. Inilah kepingan akhir untuk menyelesaikan teka-teki ini," katanya sambil senyum.

"Jadi, tuan..."

"Jangan risau, dik. Kami akan uruskan semuanya."

Hajar mengangguk. Kedua telapak tangannya yang terasa sejuk dek kedinginan hawa dingin di IPD itu digosok laju.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now