Hari Ketiga (13)

132 11 4
                                    

"Kau jangan main-main dengan aku! Aku anak ketua komando, tahu!"

Hana dan Bray hanya membatu melihat Zel yang baru sahaja melepaskan tembakan rambang ke arah Nazmi yang sekarang ini mencangkung, kotak yang dipegang diangkat melepasi kepala. Mujurlah tiada walau satu pun peluru itu terkena lelaki itu.

"Er... Anak komando ada diajar guna senjata ke?" bisik Bray kepada Hana.

"Tak. Tapi sepupu saya tu memang minat sangat dengan senapang. Lagipun dia tu jaguh sukan paintball. Tu yang ayah dia tak nak dia ikut jejak langkahnya jadi tentera. Awak dah nampak kan sebabnya."

Bray terus bungkam.

"Kau, ke mari!" Zel melaung. Nazmi yang menggeletar itu bangun lalu menghampiri Zel.

"Pergi buka mangga kunci sangkar tu. Dua-dua sekali!" arah Zel, berkelakuan sebiji macam pengganas. Nazmi patuh. Mangga kedua-dua sangkar ditanggalkan dan pintu sangkar dibuka.

"Mari. Ikut akak. Kita keluar dari sini," ajak Hana sebaik sahaja pintu sangkar pertama dibuka. Namun, kanak-kanak itu tidak memberi sebarang reaksi langsung.

"Adik?"

Masing-masing buat tidak peduli dengan ajakan Hana. Seolah-olah mereka tidak mahu keluar dari sangkar itu. Hana melangkah masuk ke dalam sangkar, menghampiri salah seorang daripada kanak-kanak yang terkurung itu, matanya direnung dalam-dalam. Lama.

Seketika kemudian, Hana keluar dari sangkar itu. Kepalanya tunduk ke lantai. Berat rasanya apa yang dia hadapi kali ini.

"Kenapa?" Bray bertanya. Naik hairan juga melihat tingkah laku kanak-kanak itu. Macam patung.

"Mereka dah 'dibunuh' awal-awal lagi," kata Hana perlahan.

"Maksud kamu?" Zel tanya, senapang di tangan diturunkan.

"Mereka dah tiada beza dengan zombi. Sebab tu mereka sendiri tak kisah nak tinggal di sini, walaupun mereka berhadapan dengan ajal sekalipun."

"Maaf, masih tak faham," kata Bray sambil garu kepala.

"Harapan."

Hana, Bray dan Zel menoleh ke arah Nazmi yang mencangkung berhampiran sangkar yang terbuka, membuka kotak yang dibawanya dan mengeluarkan bungkusan roti dari dalamnya. Dia berjalan masuk ke sangkar lalu mengedarkan roti itu kepada kanak-kanak itu.

"Cuma satu perkara yang membuatkan seseorang bersemangat untuk terus hidup. Harapan," kata Nazmi sambil mengusap rambut salah seorang dari kumpulan kanak-kanak itu dengan lembut. "Harapan mereka semua, awal-awal lagi sudah dimusnahkan. Mana taknya, bila lari, sekejap sahaja ditangkap semula. Seolah-olah ada orang yang dapat kesan ke mana mereka pergi. Mereka yang ditangkap semula itu pula, ada yang diseksa di hadapan mereka. Siap dirakam lagi. Sebab tu mereka jadi seperti sekarang."

"Dan kau suka mereka jadi begini?" tanya Zel, muncung senapang diacu ke arah Nazmi yang pandang Zel dengan pandangan kosong.

"Kalau aku kata, aku pernah cuba selamatkan mereka dulu, tentu kamu semua tak percaya, bukan?" Nazmi ketawa kecil. "Manusia tipikal. Serang dulu tanya kemudian."

Nazmi keluar dari sangkar itu. Pintu sangkar dibiarkan terbuka. Dia berjalan mengambil air minuman dan masuk semula ke dalam sangkar, mengagihkannya supaya setiap orang dapat satu, sebelum berjalan keluar.

"Di saat kau tahu tentang Exotika, kau cuma ada dua pilihan. Turut serta, atau mati dengan sangat perlahan. Kamu semua sangka aktiviti Exotika fokus kepada kanak-kanak sajakah? Ada saja orang dewasa yang pernah diseksa sampai mati di sini, terutamanya mereka yang datang untuk selamatkan mereka. Dan..." Tangan Nazmi menunding ke arah pendiang api besar berhampiran mereka. "Di sanalah pengakhiran mereka."

Masing-masing bungkam mendengar kata-kata Nazmi itu. Ada nada sedih dikesan dalam setiap patah katanya.

"Bagaimana dengan kamu?"

Nazmi memandang Hana. "Aku sedar siapa diri aku," katanya perlahan.

"Apa kamu fikir kalau kamu bekas banduan, kamu tak layak membantu masyarakat? Kamu fikir kamu patut bergelumbang dengan semua ini? Hanya sebab title banduan yang tidak sepatutnya kamu dapat?"

Mata Nazmi membulat. "Mana kamu tahu semua ini? Siapa kamu?"

Hana melangkah menghampiri Nazmi yang berundur beberapa tapak, terasa seram dengan apa yang bakal keluar dari mulut Hana.

"Saya tahu, kamu dipenjarakan kerana cuba mempertahankan diri. Saya tahu, sejak kecil kamu dipulaukan kerana kononnya kamu bermasalah, tapi sebenarnya kamu cuma ada masalah pembelajaran. Hm... sindrom Aspeger, kan. Saya tahu..."

Hana dan Nazmi berada sangat hampir di antara satu sama lain. Wajah Hana terpamer rasa simpati.

"...kamu terlibat dalam semua ini juga, semata-mata untuk selamatkan adik kamu yang sekarang ini koma disebabkan kes langgar lari, kan. Sudah setahun dia tidak sedarkan diri. Sudah setahun juga kamu terperangkap dalam Exotika ini juga."

Nazmi mengangguk lemah. Hana melepaskan keluhan sambil memeluk tubuhnya.

"Dahsyat sungguh orang yang libatkan kamu dalam semua ini, sampai mampu buat kamu fikir begini, ya." Hana pandang pula ke arah kanak-kanak yang sedang makan roti dengan rakus. "Kerana dia juga, kanak-kanak ini semua hilang harapan untuk terus hidup."

"Siapa?"

"Tuan Azazil. Betul kan, itu namanya?"

Nazmi mengangguk. Bray tersentak.

"Biar betul. Tuan Azazil kan penaung rumah anak yatim Wirda Kejora. Dia juga seorang filantropi. Dia dan kerja amal tidak dapat dipisahkan. Takkanlah dia terlibat dalam semua ni?" kata Bray, masih terkejut.

"Well... Dialah mastermind Exotika. Tak nak percaya, sudah."

"Aku tak tahu bagaimana kamu tahu semua ini, tapi aku minta, sementara ada masa ini, tolonglah tinggalkan tempat ni. Anggap saja semua ini tak pernah terjadi. Anggap saja kamu semua tak nampak apa-apa. Masa depan kamu semua cerah, jangan gelapkannya semata-mata mahu hentikan semua ini," kata Nazmi.

"Lagipun... Ada orang yang cuba hentikan semua ini. Buktinya dalam kes-kes orang dipancung sejak akhir-akhir ini. Saya tahu. Dan... Dia tentu akan terima nasib yang sama juga dengan mereka yang dah mati itu..."

Sekejap. Kes orang dipancung? Bray kerut dahi. Kalau pancung-memancung ni, cuma seorang sahaja yang terlintas di mindanya. Takkanlah dia!

Hana menggeleng. "Ada cara untuk hentikan semua ini. Dan kuncinya... Ada pada kamu, Nazmi. Sebab kamu cukup tahu bagaimana semua ini dilakukan, dan siapa yang terlibat dalam semua ini."

Nazmi pandang Hana, hairan. Begitu juga Bray dan Zel.

"Apa dia?"

"Awak kena 'tiup wisel'," kata Hana yakin.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now