Hari Kedua (2)

165 9 3
                                    

Bas KST berhenti di hadapan sebuah pusat membeli-belah. StarMall. Penumpang di dalam bas itu mula turun ke dataran jalan tar betul-betul di hadapan StarMall itu.

"Okey semua," laung En. Azri sambil melihat jam tangannya. "Kita ada satu jam setengah sebelum balik ke asrama. Jadi, kamu semua buatlah apa yang patut. Pergi makan ke, solat ke, beli apa-apa ke... Cukup sejam setengah, semua berkumpul di sini. Faham semua?"

"Faham!" Para pelajar menyahut bagaikan sekumpulan budak sekolah yang pergi lawatan sambil belajar. Mereka kemudian berpecah kepada beberapa kumpulan, mula berjalan-jalan di sekitar StarMall.

"Saya nak cari tandas," kata Andi.

"Dalam tu mesti ada punya," kata Salleh dengan selamba sambil menunding ke arah pintu masuk utama StarMall di belakang mereka. "Nak aku teman tak?"

"Tak apa. Saya boleh cari sendiri," kata Andi.

"Okey. Aku nak cari kedai buku."

Dia kemudian terus beredar, meninggalkan Salleh yang berdiri di pintu masuk itu. Salleh berjalan ke ruang informasi StarMall, terus tersenyum kecil.

"Hmm... Kedai buku Popular. Aras dua," gumamnya perlahan sebelum menghampiri eskalator berhampiran.

(...)

Tiga lelaki itu melangkah masuk ke StarMall yang tidak berapa sesak. Safuan sendiri yang mengajak mereka ke sana. Dengar khabar cawangan terbaru Mr DIY baru sahaja dibuka di situ hampir sebulan lalu. Jadi, dia mahu membeli kelengkapan untuk jungle trekking di sana.

Dan, disebabkan Safuan tidak tahu langsung tentang apa yang perlu dibawa untuk jungle trekking, Bray dan Syam sama-sama diangkut ke sana.

"Pergi Sports Direct atau Decathlon kan senang. Semua ada," rungut Bray. Syam hanya mengangguk setuju.

"Mr DIY murah. Aku nak berjimat. Bukan macam korang, anak orang kaya. Mak bapak sponsor semua," balas Safuan. Bray mengeluh lemah.

"Em... Kau berdua pergilah dulu, cari barang. Aku ada tempat lain nak pergi," kata Syam.

"Nak ke mana?"

"Tempat biasa," kata Syam berseloroh. Dia terus berjalan ke eskalator berhampiran ruang legar pusat membeli-belah itu.

"Hmph. Kedai bukulah tu," kata Bray perlahan. Dia terus ke Mr DIY bersama Safuan.

(...)

Hana berjalan laju ke arah eskalator, mengejar Zel yang tiba-tiba berada di kedai menjual barangan ala tentera yang terletak di aras tiga. Takut juga kalau-kalau dia pergi beli benda bukan-bukan. Bukannya boleh percaya budak Zel ni.

Dalam perjalanannya, dia berlaga bahu dengan seorang lelaki yang turut menaiki eskalator itu.

"Oh, maaf!" kata Hana dengan rasa bersalah.

"Tak apa," balas lelaki itu sambil tersenyum. Mereka bertentang mata. Dahi Hana berkerut seketika.

Sampai di aras dua, mereka berpecah, pergi mengikut haluan masing-masing. Hana terus tidak jadi naik ke aras tiga. Apa yang dia nampak tadi cukup untuk dia lupakan Zel buat seketika.

"Syam Syahrul Azmi, huh? Kesedaran dia pun 'pecah' juga?" kata Hana perlahan.

"Hana!"

Hana terus menoleh ke sisi kirinya. Zel berdiri di situ, tersengih-sengih.

"Jom turun. Pergi beli CoolBlog," kata Zel sambil paut lengan Hana.

"Apa yang awak beli tadi?"

Zel menunjukkan kotak kecil yang dibelinya. Hana terus mencebik.

"Beli ni je?"

"Ha-ah. Lupa nak bawa. Jadi, belilah kat sini. Eh, jomlah! Nanti ramai orang!" Zel tarik Hana turun ke aras 1, di mana CoolBlog terletak.

(...)

Andi, yang baru sahaja selesai qada hajat itu berjalan tanpa arah tuju di dalam legaran StarMall itu. Dia ternampak kedai Mr DIY dan terus masuk ke dalam. Dia hanya lalu sahaja melintasi rak-rak yang menempatkan beraneka barang itu. Sempat juga dia mengambil satu set sticky note di ruang alat tulis.

"Agak-agak, benda ni berguna tak?"

"Nak buat apa beli benda tu kalau ya pun?"

"Kata nak masuk hutan."

"Kita nak pergi jungle trekking, bukan pergi berkhemah."

Andi terus ke rak bersebelahan ruang alat tulis. Dua orang lelaki sedang berbincang di situ, membelakanginya, seorang daripada mereka memegang sesuatu seperti raket tennis yang dibuat dari plastik dan jaringnya dibuat dari dawai. Bug zapper. Ada label tertera perkataan 'Awas - Sampel Berfungsi' tergantung di hulu alat itu.

Sebaik sahaja Andi berada agak hampir dengan mereka, dengan tiba-tiba sahaja orang yang memegang bug zapper itu menghayunkan alat itu ke belakang. Jaring alat itu tepat mengenai wajah Andi. Andi dapat rasa renjatan arus elektrik yang kuat di wajahnya sebelum pandangannya kabur. Dia terus rebah ke atas lantai. Sticky note turut terlepas dari pegangannya. Lelaki yang menghayun alat itu tergamam, langsung tidak menyangka ada orang di belakangnya.

(...)

Safuan terkejut apabila bug zapper yang dihayunnya terkena muka seseorang. Bray di sebelahnya turut terkesima melihat lelaki yang tiba-tiba muncul di belakangnya itu terus rebah di atas lantai.

"Benda ni tengah on ke?" Safuan membelek-belek bug zapper di tangannya itu. Jarinya disentuh ke permukaan jaring. Terus jarinya direnjat elektrik. "Ow!"

Bray menghampiri lelaki yang pengsan itu, memeriksa keadaannya. Di wajahnya ada garis-garis jaring yang kurang jelas, kesan dihempuk alat yang dipegang Safuan tadi. Bray terus menggoyangkan bahu lelaki itu, cuba untuk membangunkannya dari pengsan.

Mata lelaki itu tiba-tiba celik. Bray tarik nafas lega. Namun, rasa lega itu tidak kekal lama apabila lelaki itu terus bangun, pandang sekeliling, tiba-tiba tersenyum lebar lalu berlari keluar dari kedai itu macam orang mabuk.

Bray dan Safuan terpaku di atas lantai, tidak percaya dengan apa yang mereka lihat.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now