Hari Ketiga (9)

134 10 2
                                    

Naufal terdengar bunyi riuh rendah di bilik tempat dia mengurung Hana, Zel dan Bray. Dia terus berjalan ke arah pintu besi itu. Kelihatan asap berkepul-kepul keluar di celah bukaan pintu.

"Macam mana boleh terbakar ni?" Naufal tergamam. Pintu itu dibuka secara tergesa-gesa lalu dia masuk ke dalam. Asap tebal di dalam bilik itu menyukarkan pandangannya. Tiba-tiba kakinya tersandung sesuatu dan dia jatuh tertiarap. Belakang kepalanya kemudian dihentak sesuatu dengan keras. Pandangannya terus gelap.

"Bagus, Bray. Pengsan terus dia kamu buat," puji Hana yang berada tidak jauh darinya, sebelah tangan memegang tali rafia yang siap-siap dibawa dalam begnya, dan sebelah lagi memekup mulut dan hidungnya dengan sapu tangan lembab. Zel pula memegang hujung tali yang satu lagi, menutup bahagian hidung dan mulut dengan bandana yang selalu dibawanya. Bray yang memakai topeng muka dan memegang sebatang kayu yang dijumpai dalam bilik itu hanya mengangguk.

"Dah, mari keluar. Kita cari kanak-kanak yang dikurung tu," kata Zel. Telefon bimbit mereka bertiga diambil dari saku seluar Naufal yang masih tidak sedarkan diri. Tangan Naufal diikat. Mereka terus keluar dari bilik itu, mengunci pintu lalu berjalan pantas ke tangga yang menghala ke ruang bawah tanah. Kunci bilik itu turut dibawa sekali bersama mereka.

"Hana, kamu pasti mereka semua ada di basement ni?" Bray tanya Hana yang cuba mengecam laluan yang digunakan mereka itu berdasarkan apa yang dia 'nampak' sewaktu dia merenung mata Naufal sebelum ini.

"Positif. Tapi, saya beritahu awal-awal, jangan terkejut."

Bray dan Zel hairan. Kenapa terkejut pula?

(...)

Masuk sahaja ke bilik paling besar di ruang bawah tanah itu, Zel terus memekup mulut. Bray pula rasa mahu termuntah dek bau hanyir yang menguasai ruang itu. Hana sahaja yang tidak memberi sebarang reaksi.

Ada dua sangkar yang besar dan sebuah pendiang api yang sangat besar di dalam bilik itu. Sangkar pertama menempatkan beberapa orang kanak-kanak yang sudah keletihan. Mereka kelihatan seperti sudah beberapa hari tidak makan. Apa yang berada di sangkar kedua itu yang menimbulkan reaksi tidak selesa dari Zel dan Bray itu.

Di dalamnya juga ada beberapa orang kanak-kanak. Namun, ada yang tiada kedua belah tangan, ada yang tiada kaki, dan ada yang dipotong lidah dan hidung serta dibutakan kedua belah matanya. Di badan mereka ada banyak parut kesan disebat dengan kuat di sana sini. Balutan pada bahagian yang dipotong itu pula kurang kemas, bertompok darah kering dan berbau busuk.

"Apa ni? Apa semua ni?" Bray menggumam perlahan. Dia cuba tahan rasa loya yang semakin membuak.

"Saya dah cakap, jangan terkejut," kata Hana perlahan.

"Mereka culik kanak-kanak ini untuk diseksa? Sadisnya!" Zel mendesis marah. "Apa mereka dapat dengan buat semua ni?"

"Inilah dia Exotika. Nama sebuah laman di Dark Web, bertumpu kepada aktiviti penyiksaan. Dan, mereka juga dapat untung buat semua ini. Banyak pula tu untuk seorang kanak-kanak," kata Hana sambil berjalan menghampiri sangkar pertama. Mangga sangkar diperiksa. Tiada yang sepadan dengan kunci yang diambil di pintu bilik tempat mereka dikurung tadi.

"Untung besar? Besar mana?" Zel tanya, hidungnya sudah mula serasi dengan bau bilik yang hanyir itu.

"Yup. Satu Bitcoin untuk satu bahagian anggota badan yang dikerat. Harga meningkat kepada tiga Bitcoin, jika kanak-kanak itu diseksa sampai mati," jawab Hana yang memeriksa mangga untuk sangkar kedua. Hana kemudian mengeluh melihat mangga itu. Mangganya sama jenis dengan mangga sangkar pertama. Jadi, tiada kuncinya juga.

"Banyak tu je? Tiga Bitcoin untuk nyawa seorang kanak-kanak?" Bray tanya skeptik.

"Satu Bitcoin, nilainya sekitar USD5600, buat masa sekarang. Kalau tukar ke matawang negara kita, agak-agak berapa?" kata Hana. Bray terus terdiam.

Zel keluar sebentar dari bilik itu, dan masuk semula sambil membawa sesuatu yang panjang dan berwarna hitam. "Tengok apa aku jumpa di bilik sebelah. Gudang senjata weh!"

Hana dan Bray pandang ke arah Zel yang mula tersengih-sengih sambil mengangkut selaras senapang jenis Colt M16 di tangannya itu. Wajah masing-masing berubah pucat. Itu... Senapang sebenar, kan?

"Er... Zel, bukan Pak Teh pesan, jangan pegang senapang langsung ke?" Hana tanya Zel dengan berhati-hati. Seram pula tengok tingkah laku Zel yang sudah macam kena rasuk hantu itu. Zel pula kekalkan sengihnya, bagaikan tidak mempedulikan kata-kata Hana.

"Macam-macam ada. Senapang ada, pistol ada, bom tangan ada, pedang samurai pun ada! Rotan yang ada di penjara tu pun ada! Banyak saiz pula tu!" Zel tiba-tiba mula ketawa mengekek. "Diorang ni seludup senjata juga ke?"

Bray tiba-tiba teringatkan Syam di saat Zel menyebut 'pedang'. Dia okeykah?

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now