Hari Ketiga (17)

133 10 3
                                    

Pedang yang ditolak jatuh itu cuba dinaikkan, namun ditahan kuat tangan kiri Salleh. Erzen ketap giginya.

"Berani kau..."

"Tak. Aku penakut."

Erzen terus pandang ke arah Salleh.

"Aku takut tinggi. Takut air dalam. Takut duduk sendiri dalam gelap. Takut dengar berita kematian. Takut lalu kubur waktu malam. Takut kawan baik aku merayau keliling kolej buat benda bukan-bukan lepas tu tak ingat langsung apa yang dia buat dan bala yang dia terjemput bila buat semua tu." Salleh pandang sekilas ke arah Malik yang sudah berdiri.

Malik mencebik. Nampak benar dia terasa.

"Tapi aku dah tak tahan. Kau dah melampau," kata Salleh lagi. Wajahnya memerah.

"Apa maksud kau?"

"Kau ada tengok dulu tak sekeliling kau sebelum buat sesuatu? Ke, kau main redah je ikut suka hati kau?" Salleh bertanya dengan nada mendatar. "Kau beria-ia nak hapuskan setiap penjenayah di atas bumi ni, tapi kau ada terfikir tak kalau-kalau mereka berniat nak berhenti buat jenayah?"

Erzen terdiam.

"Tu. Pintu sangkar terbuka. Mereka yang ada di sini tak apa-apa. Tu, kawan kau tu," bibir Salleh menjuih ke arah Bray yang masih berdiri di sebelah Nazmi, "tengah pujuk dia. Dan dia tidak pegang senjata pun. Kau masih nampak dia sebagai target untuk dibunuh?"

"Kau... Naif. Kau tak terfikir kalau-kalau mereka berpura-pura?" Erzen mendesis.

"Wei, dia dah setuju jadi saksi ya! Dan dia setuju sebelum kau tiba-tiba terjah dia, siap angkut pedang nak potong kepala dia!" Salleh berkata lagi, geramnya masih tersisa. Sempat dia pandang Hana untuk pastikan apa yang dikatakan itu benar. Hana angguk sekali.

"Kalau benar kau tu Erzen Laiss si pemburu kebenaran, macam yang aku baca dalam novel-novel Syam tu, kau akan lindungi orang yang nak dedahkan kebenaran, walaupun dia pernah bergelumang dalam jenayah. Sebab itulah aku follow novel-novel tu. Sebab aku hormat pada watak Erzen Laiss, walaupun aku tak setuju langsung dengan cara yang digunakan."

Salleh alihkan tangannya dari belakang pedang itu.

"Now, I rest my case. Kau fikirlah sendiri," kata Salleh, angkat kedua tangannya lalu berundur. Dia hela nafas berat. Erzen diam di tempatnya, bagaikan sedang berfikir.

"Poyo gila ayat kau," kata Malik tiba-tiba. Salleh menjeling ke arah Malik. Dia kemudian tarik nafas panjang.

"Gasaklah. Aku dah cakap apa aku nak cakap," kata Salleh sambil pegang kepala.

"Kau betul."

Salleh toleh ke belakang, ke arah Erzen yang meletakkan kembali pedangnya ke dalam sarung.

"Aku lepaskan dia. Sahaja. Tapi, yang lain, jangan harap."

Salleh senyum sambil angguk perlahan. Bray pula memapah Nazmi berjalan menjauhi Erzen yang masih berdiri di situ.

"Sekarang..." Hana pandang kanak-kanak yang masih buat tak reti dengan drama tadi. "Macam mana kita nak bawa mereka keluar dari sini?"

"Alah. Angkut je la diorang," kata Malik selamba.

"Kau larat ke nak bawa mereka semua sekali harung?" Zel tanya semula. Malik buat-buat tidak dengar.

"Kejap. Cerobong asap dari pendiang api tu, besar mana ya?" Salleh berkata perlahan, tertanya-tanya. "Saiz pendiang dia agak besar, jadi, cerobong dia pun patut sepadan dengan saiz dia, kan?"

"Cerobong asap?" Hana garu dagu. "Pergilah periksa."

Malik melompat masuk ke dalam pendiang api itu. Dia merangkak, melihat ke atas.

"Enam lubang. Bulat. Rapat."

"Saiz?"

"Kejap." Malik ambil sesuatu dalam pendiang itu lalu mengukur kelebaran lubang-lubang itu menggunakannya. Dia kemudian melompat keluar, membawa sekali benda yang digunakannya untuk mengukur lubang itu.

"Muat benda ni," kata Malik selamba, menunjukkan benda yang dipegangnya itu. "Obviously, badan mereka tak muat."

Suasana sepi seketika. Mata semua di dalam bilik itu tertancap pada benda yang dipegang Malik itu.

"Er... Kau ukur pakai tu?" Zel tanya, tangannya menunding ke arah benda di tangan Malik itu.

Malik angguk.

"Kau pakai benda tu?"

"Dah tu, nak ukur pakai apa? Ni je yang ada dalam tu. Banyak pula tu. Macam-macam saiz lagi," kata Malik, masih selamba.

"Pergi letak balik."

"Tak nak. Aku nak bawak balik. Buat ole-ole."

"Ole-ole tengkorak kau. PERGI LETAK BALIK TENGKORAK TU, SEKARANG!"

"Ish. Yalah!" Malik mencebik tidak puas hati, masuk semula ke dalam pendiang api itu, meletakkan tengkorak yang dibawa keluar tadi ke tempatnya semula.

"Sekarang, macam mana?"

Bunyi tapak kaki tiba-tiba kedengaran di koridor. Bau seakan benda terbakar pula mula menyelubungi ruang bawah tanah itu.

"Er... Kalau diingatkan semula, bilik yang kita bakar tadi tu, tak kalis api, kan?" Bray tiba-tiba bertanya.

"Kau bakar bilik? Seriously?"

(...)

Naufal masuk ke dalam rumah usang itu, yang kini dipenuhi asap. Dia terbatuk-batuk. Dua orang suruhannya sudah masuk terlebih dahulu, menyelamatkan apa yang patut di bilik-bilik yang mereka gunakan untuk operasi mereka.

Dia berjalan laju ke bilik kurungan bawah tanah. Namun langkahnya terhenti apabila bertembung dengan Zel di koridor ruang bawah tanah, senapang diacu tepat ke wajahnya.

"Whoa, gadis manis. Bukan main lagi kau pegang senapang tu. Pandai guna ke?" Naufal menyindir. Zel tiba-tiba tersengih jahat.

TRATRATRATRATRATRATRA!

Naufal berlari tidak cukup tanah, naik semula ke atas. Wajahnya panik. Mujurlah tembakan Zel tidak mengenainya langsung.

"Line clear. Jom, semua," kata Zel selamba. Mereka yang lain sekadar jenguk kepala sahaja di pintu.

"Habis, macam mana dengan mereka ni?" Hana renung kanak-kanak yang masih buat tidak peduli dalam sangkar itu. Biar benar budak-budak ni. Tak ada survival instinct langsung ke?

"Belakang sana ada troli," kata Nazmi, menunding ke sudut bersebelahan pendiang api. Sebuah troli yang kelihatan usang terlipat di situ.

(...)

"Tuan, apa tu?"

Seorang anggota penyelamat menunding ke arah asap yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah hutan itu. Sekarang ini bukan musim jerebu, jadi tentu asap itu hasil buatan orang.

"Mari. Kita ke sana!"

"Baik!"

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now