Extra : Sebulan Kemudian (3.4)

91 7 9
                                    

Pintu Bilik TV terkuak. Zel menjenguk ke dalam bilik yang hanya diterangi biasan lampu koridor itu, sebelum berjalan masuk. Televisyen yang diletakkan semula di atas rak seakan kabinet ringkas diperhatikan. Badan televisyen terasa suam, mungkin kerana baru sahaja dipadamkan beberapa minit lepas. Jam di dinding dilihat. Hampir tengah malam.

"Mujur tingkap tu lagi sempit dari TV ni. Kalau tak, mesti dia dah angkut ikut tingkap," gumamnya perlahan. "Tapi, tingkap tu... Kenapa bukaannya luas semacam?"

Langkahnya laju menuju ke arah tingkap yang sepenuhnya bertutup dengan langsir. Pistol paintballnya dibawa bersama, bersiaga menghadapi apa yang mendatang.

Langsir tingkap diselak. Mata Zel terus membulat. Ada satu lembaga hitam berdiri betul-betul di hadapan tingkap itu, sedang merenungnya.

"WAARGH!"

(...)

"Eii... Bodoh! Bangang! Bongok!"

"Zel, tak elok mencarut."

"Dia punya pasal la! Nasib tak gugur jantung ni dibuatnya."

Hana, yang mengenakan tudung sarung dan kardigan, tertawa kecil. Dia pandang Malik yang berpakaian serba hitam dengan hud menutup kepala, masih tercatuk di luar tingkap itu, dan sekarang ini sedang meneliti bahagian bingkainya.

Mujur sebahagian penghuni asrama sudah balik ke kampung dek cuti hujung minggu. Mujur juga Hana tergerak hati mahu ke bilik TV selepas menerima mesej dari Salleh. Dapatlah dia cover kemunculan Malik secara tiba-tiba itu dengan alasan 'lipas merayap' kepada penghuni lain yang terdengar jeritan Zel tadi.

"Tak ada orang report ke? Dah patahlah benda ni. Sebab tu tingkap ni boleh buka luas," kata Malik sambil menunding ke arah sekeping besi di bingkai tingkap - yang berfungsi sebagai pengehad bukaan tingkap - yang patah dua apabila dijentik.

Hana menghampiri tingkap itu. Dilihat besi yang patah itu lalu disambungkan semula. Nampak seperti tiada apa-apa yang pelik apabila disambung.

"Rasanya mereka tak perasan. Nantilah saya report," kata Hana kemudiannya.

"Eh, kejap. Macam mana kau boleh masuk sini?" Zel tiba-tiba bertanya, merenung Malik yang masih berada di luar tingkap.

"Gate kecil di hujung sana tu." Malik menunding ke arah hujung blok, di mana ada pintu pagar kecil menghala ke arah tempat letak bas.

"Bukan dah mangga ke?"

"Memang ada mangga. Tapi tak selak betul pun."

Zel terus pandang Malik dengan renungan tajam.

"Sini kan area aspuri. Tak pula kau kena tangkap macam dulu."

"Heh. Perlu ke aku jawab soalan tu?"

"Yalah. Ceroboh area aspuri kan. Itukan idaman semua pelajar lelaki untuk masuk ke asrama perempuan..."

Malik tersentak. Memori masa semester pertama - kejadian pertama yang memulakan perseteruan antara dia dan Zel - kembali bermain di minda.

"Apa sebenarnya yang kau cuba nak cakap?" Malik mendesis.

"Ala. Lelaki kan. Ceroboh aspuri sebab nak curi..."

Malik ketap gigi. "Aku tak macam tu la!"

"Tapi kau lelaki kan? All men are perverts." Zel memprovok.

"Bukan aku yang curi la! Aku berlanggar je dengan pencuri tu dulu, sebab sesat masa nak pergi rumah Puan Zu! Lagipun, kes ni dah settle dekat dua tahun lepas. Apahal kau ungkit balik?" Suara Malik ternaik satu oktaf dek berang yang cuba ditahan. "Lagipun, aku nak buat apa dengan benda tu? Potong dua, lepas tu buat mask?"

"Syy!" Hana tiba-tiba berbisik. " Perlahan sikit. Nanti pak guard datang."

Malik terus berjalan ke arah dinding bersebelahan tingkap yang dilindungi pokok, lalu bersandar. Nafas ditarik dalam-dalam, seboleh mungkin cuba menghilangkan amarah.

Hana kemudian pandang ke arah Zel yang masih berdiri tidak jauh darinya.

"Really, Zel?"

Zel mencebik. "Apa? Betullah."

"Dia ke sini sebab nak tolong awak tangkap pencuri tu la."

"Itu tak bermakna dia patut berada di sini. Lelaki tak sepatutnya berada di area aspuri. Saya cuma katakan apa yang betul," kata Zel selamba.

Hana membisu sambil menggeleng lemah.

(...)

Seseorang berjalan mundar-mandir di dalam sebuah bilik yang gelap. Nafasnya deras, bebelannya langsung tidak dapat didengari butir bicaranya.

Langkahnya kemudian diatur ke luar, matanya mengerling ke arah sebuah bilik yang terletak bersebelahan. Pintunya terbuka, mendedahkan longgokan bekas segi empat tepat berwarna putih, kepingan injap dan pelampung berbentuk bola bersepah di dalamnya. Komponen pam tandas yang masih elok walaupun tidak digunakan.

Sesekali dia menggigit kukunya, resah menerpa jiwanya. Dia sendiri tidak tahu apa yang mendorongnya. Nafsu? Iblis? Jin? Dia tidak pasti. Yang dia tahu, dia rasa amat seronok jika melakukannya. Sensasinya mengkhayalkan, terasa sangat nikmat.

Dan, sesalan hadir tidak lama kemudian. Namun, dia takut hendak mengaku. Apa alasannya mahukan semua itu? Apa alasannya melakukan semua ini? Tiada.

Dan... Kitaran itu berulang lagi. Langsung tidak dapat dikawal.

Kerana itu, dia berjumpa En. Rossa. Namun, apakah kaunselor kolej itu juga pandang serong terhadap masalahnya, sepertimana dia cuba mendapatkan bantuan dahulu? Adakah dia akan menolong, atau memperlekehkan?

Dia tidak tahu.

Sensasi itu datang kembali. Sensasi sama yang mendesaknya membawa lari televisyen semalam. Sensasi yang mencandu mindanya jika dilakukan.

Dan dia tiba-tiba mengukir senyum nipis.

(...)

Pintu belakang blok itu terkuak selepas beberapa kali cuba dibuka. En. Rossa melangkah masuk, diikuti pengawal keselamatan itu. Lampu suluh masing-masing menyuluh ke dalam bangunan asrama yang usang itu. Setiap bilik dibuka pintunya, lalu dilihat bahagian dalam.

"Berani betul En. Rossa ni," bebel pengawal keselamatan itu. En. Rossa berpaling, menghadap pengawal keselamatan yang jelas takut-takut.

"Apa yang nak ditakutkan, sebenarnya? Blok ni ada cerita angker ke?" En. Rossa bertanya, masih memeriksa bilik-bilik di dalam bangunan itu. Pengawal keselamatan itu tersentak.

"Seriuslah En. Rossa tak tahu?"

"Tahu apa?"

Pengawal keselamatan itu terus hela nafas lemah.

"Blok ni ditutup dah lama. Dekat 18 tahun kalau tak silap. Semuanya disebabkan satu kejadian yang... Mengaibkan. Sejak itu blok ni jadi 'keras' sampai kena tutup. Pihak pengurusan kolej yang lama sibuk nak cover kes tu. Pengurusan sekarang tak tahu sangat pasal kes tu."

"Dan pakcik tahu?"

"Secara umum je."

"Kes apa tu?"

Pengawal keselamatan itu tarik nafas dalam-dalam.

"Di salah satu bilik di blok ni... Ada pelajar perempuan bersalin. Tumpah darah. Meninggal terus. Khabarnya yang buntingkan perempuan tu, pekerja dari pengurusan lama."

En. Rossa terus bungkam. Tiba-tiba sahaja dia terasa seram. Segera dia melangkah ke arah pintu belakang tadi, diikuti pengawal keselamatan itu.

Namun, langkah masing-masing mati apabila ternampak kelibat putih melintasi pintu itu, dan terus ghaib di celahan semak.

Exotika : Haru BiruWhere stories live. Discover now